Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

RAJA AHMAD ZAINUDDIN RAJA OMAR (kanan) memberikan cenderamata tali leher kepada Pengadil Malaysia, S
RAJA AHMAD ZAINUDDIN RAJA OMAR (kanan) memberikan cenderamata tali leher kepada Pengadil Malaysia, Subkhiddin Mohd. Salleh (dua dari kiri) sambil diperhatikan Datuk Azzuddin Ahmad (kiri) dan Kamaruddin Sakhari semasa sidang media mengenai pengadil pertama Malaysia ke Piala Dunia di Wisma FAM, pada 31 Mei 2010. – UTUSAN/ Shaifudin Mohd. Nor

PEMERGIAN Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar hari ini amat mengejutkan setelah beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.30 pagi akibat jangkitan kuman ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak.

Kematiannya tidak dijangka kerana bekas Ahli Parlimen Larut berusia 61 tahun itu tidak menderitai sebarang penyakit serius malah selama ini berada dalam keadaan sihat dan ceria. Jenazah beliau dibawa ke rumah ­keluarganya di Kampung Seri Ampang B di Ipoh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara selepas solat Jumaat.

Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada dunia sukan, politik dan kewartawanan di peringkat nasional dan Perak. Walaupun Allahyarham pernah aktif dalam politik sehingga bergelar Ahli Parlimen Larut namun beliau lebih dikenali sebagai tokoh pengurusan sukan bola sepak di peringkat kebangsaan dan bersama pasukan Perak yang tiada tandingannya.

Di peringkat kebangsaan, selain menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), beliau dilantik sebagai Jawatankuasa Kewangan dan Jawatankuasa Pertandingan FAM bagi penggal 2010-2014 oleh Pre­siden FAM ketika itu, Sultan Ahmad Shah selain pernah menjadi pengurus pasukan kebangsaan.

Namun sumbangan terbesar Allahyarham yang terus diingati sehingga kini adalah kejayaannya mengangkat pasukan Perak sebaris dengan pasukan handalan dalam saingan bola sepak tempatan.

Semasa menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan Pengurus pa­sukan Perak dari tahun 1989 hingga 2000, Raja Ahmad Zainuddin membawa Perak menjulang ­Piala FA pada 1990, Piala Malaysia pada 1998 dan 2000. Malah mungkin ramai yang tidak mengetahu beliau adalah pencetus kepada slogan ‘kejor yeop kejor’ pasukan Perak setelah beberapa kali bergegar di Stadium Merdeka di Kuala Lumpur dalam perlawanan melibatkan pasukan negeri itu.

Beliau juga adalah pelopor kepada pasukan gendang setiap kali pasukan Perak beraksi apabila membiayai pembelian gendang untuk kumpulan penyokong.

Bekas pemain Perak yang pernah menjadi anak didik Allahyarham, iaitu Isham Shahruddin, 51, menyifatkan Perak kehilangan tokoh pengurusan bola sepak yang tiada tandingan kerana banyak menyumbang kepada kejayaan bola sepak negeri itu.

“Kami terhutang budi kepada beliau kerana mengangkat martabat dan maruah bola sepak Perak ke tahap tinggi yang sukar untuk dilakukan oleh orang lain. Di bawah pengurusan beliau, kami bukan sahaja belajar sebagai seorang pemain bola sepak tetapi juga kami belajar sebagai individu,” kata Isham.

Walaupun tidak lagi terlibat dalam bola sepak Perak, Raja Ahmad Zainuddin tetap sayangkan bola sepak Perak. Ini diterjemahkan oleh beliau apabila secara konsisten memberikan idea dan teguran serta pandangan terhadap prestasi pasukan Perak.

Malah kira-kira sebulan lalu, Raja Ahmad Zainuddin sempat mengadakan sidang akhbar di Ipoh meluahkan kebimbangan terhadap prestasi pasukan ­negeri itu yang merudum sejak kebelakangan ini.

Apa yang menarik, beliau sang­gup mengadakan dua sesi sidang akhbar iaitu pada ­sebelah pagi dan petang setelah ada kumpulan wartawan yang tidak sempat menghadiri sidang akhbar beliau yang pertama pada sebelah pagi.

Begitulah sayangnya beliau terhadap pasukan bola sepak Perak malah sehingga akhir ­hayatnya, masih berharap pasukan itu bangkit daripada kelesuan prestasi.

Selain bola sepak, Allahyarham dikenali dalam bidang politik iaitu sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut, Ahli Parlimen Larut selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 sebelum bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah dalam PRU 2008.

Selepas itu, beliau menyepi daripada politik dengan jawatan terakhir yang dipegangnya adalah Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak.

Dalam pertemuan dengan beliau baru-baru ini, penulis pernah bertanya, apakah beliau tidak berminat atau ada keinginan untuk kembali aktif dalam politik?

“Minat tu (aktif semula dalam politik) masih ada. Kalau saya dipanggil semula, bolehlah saya pertimbangkan... Itupun kalau masih ada yang hendak lagi,” ujarnya.

Sementara itu, hubungan beliau dengan para wartawan di Pe­rak begitu erat lantaran sikapnya yang merendah diri, mudah bergaul malah membantu aktiviti media di Perak. Hubungan erat yang terbina di antara beliau dan media amat mudah terjalin de­ngan mesra kerana beliau memahami dunia kewartawanan.

Allahyarham pernah menjadi Ketua Editor Berita Perak (1988-1999), Penasihat Jabatan Pengarang Mingguan Watan, penulis di akhbar di Berita Harian sejak 2002 dan penulis ruangan ‘Kejor Yob Skor’ di akhbar Sinar Harian dalam ruangan ‘Dari Tinta Raja Ahmad’ sejak 2010.

Sesungguhnya jasa dan sumbangan beliau tidak akan dilupakan dan hanya Allah yang membalasnya.

Pemergian beliau pada hari Jumaat di bulan Ramadan merupakan tanda-tanda kerahmatan Allah ke atas roh beliau.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain