Seperti biasa kami disambut mesra diselangi gelak ketawa beliau yang masih mengingati kami walaupun agak lama tidak bersua. Itulah sifat dan karakter sebenar negarawan yang mesra di sapa 'Pak Lah' itu. Sifat merendah diri, berterus terang dan kemesraan beliau yang semulajadi menjadikan Pak Lah terus dihormati dan dikasihi. Malah melihat sosok negarawan berusia 78 tahun itu pasti mengingatkan kembali jasa dan bakti beliau semasa memimpin negara ini.

Lebih kurang 10 tahun lepas ketika masih menjadi Perdana Menteri beliau pernah ditekan secara berulang kali supaya meletakkan jawatan atas dakyah politik. Dua tahun kemudian beliau memberi laluan demi memartabatkan kembali UMNO walaupun mungkin terbit kesal di hatinya.

Namun jelas, jati diri Pak Lah berbeza dengan pemimpin sebelumnya. Tidak ada istilah merajuk atau khianat dalam diari negarawan ini. Dan lebih membanggakan beliau dengan tegas menyatakan akan terus hadir dalam apa jua urusan mahupun keraian yang melibatkan parti keramat itu, walaupun dirinya kini semakin dicemburui usia tua yang memamah kesihatannya.

Apatah lagi adakalanya terbit batuk-batuk kecil yang menakutkan kami tentang keadaan sebenar kesihatan dirinya. Namun di sebalik kisah dan teladan, sepak dan terajang serta kasih dan sayang yang beliau tumpahkan, nilai kesetiaan dan keikhlasan kepada UMNO tidak sesekali akan dikorbankan.

"Saya fikir kita juga perlu kurangkan perhatian kepada bekas pimpinan atau ahli UMNO yang telah memihak kepada pembangkang. Sebaliknya kita perlu terus memberikan fokus yang tidak berbelah bahagi melalui khidmat kepada rakyat. Ini adalah penting agar rakyat terus memberikan sokongan kepada UMNO untuk memimpin negara," katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI serta jurugambar JEFRI IRAN yang berkesempatan menemubual beliau pada Khamis lalu, beberapa jam sebelum beliau berangkat menyertai Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-71 di Stadium Bukit Jalil.

 

MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat sumbangan UMNO dalam membangunkan negara dan rakyat selama 71 tahun?
Abdullah:
Perjuangan UMNO diasaskan atas kebangkitan orang Melayu terhadap penindasan yang dilakukan oleh penjajah British. 
Ini membawa kepada perjuangan menuntut kemerdekaan sehinggalah kepimpinan UMNO yang telah membangunkan dan memajukan negara ini dengan sokongan kaum lain. 
Perjuangan UMNO masih lagi belum tamat dan saya berkeyakinan bahawa parti keramat ini masih lagi mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk terus berjuang dalam usaha memodenkan lagi negara ini khususnya dalam membela nasib orang Melayu di bumi bertuah ini.

 

MENANGANI PERSEPSI

Meskipun sumbangan UMNO terhadap negara begitu besar, tapi  ada pihak cuba menafikan jasa parti itu kepada negara? 
ABDULLAH:
 Ini soal persepsi dan interpretasi masyarakat. Hakikatnya, jasa UMNO dalam pembangunan negara bangsa diakui kawan dan lawan. Perjuangan UMNO tiada titik noktah dan selagi hayat dikandung badan.
Ahli UMNO perlu membetulkan segala persepsi negatif ini melalui khidmat yang ikhlas agar rakyat terus menyokong kita dan bukan hanya sekadar retorik kosong.

Ada suara-suara yang mengatakan perjuangan UMNO sudah tidak lagi relevan dalam konteks masa kini terutama dalam kalangan generasi muda. Bagaimana pula pandangan Tun dalam hal ini?
Abdullah:
Saya berpandangan masih ramai lagi anak muda menyokong perjuangan UMNO. Sejarah perjuangan UMNO yang diwarisi generasi sekarang akan terus dikenang.
Anak muda zaman kini terdedah dengan pelbagai cabaran dan sudah semestinya ia perlu ditangani dengan penuh berhemah dan berhikmah. Jiwa yang didedahkan kepada elemen negatif akan membawa kepada keruntuhan peribadi.
Oleh sebab itu UMNO khususnya Pergerakan Pemuda perlu mengambil langkah proaktif supaya golongan muda akan terus menyokong parti ini dan akhirnya membentuk modal insan yang terbilang.

 

TEGURAN UNTUK UMNO

Apakah UMNO perlu membuat perubahan supaya terus segar dan diterima semua golongan. Aspek apakah yang perlu diberikan perhatian?
Abdullah:
Keikhlasan dan ketelusan adalah dua elemen penting yang perlu ada dalam kepimpinan UMNO. Niat yang ikhlas dalam setiap perjuangan membela nasib agama, bangsa dan tanah air pastinya akan disokong oleh rakyat.
Para pemimpin UMNO juga perlu menjauhi sikap hipokrit dalam menyelesaikan masalah rakyat. 
Selain itu, sekiranya ada sengketa dalam parti, ia perlu diselesaikan tanpa memberi mudarat kepada masyarakat.
Saya yakin rakyat akan terus menyokong UMNO selaku tonggak utama kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya kepimpinan UMNO dapat menunjukkan keikhlasan dalam memberi khidmat kepada rakyat.

 

TANGANI PROVOKASI

Hubungan antara kaum sekarang adakalanya dilihat agak tegang. Banyak provokasi sengaja dilakukan bagi menghangatkan keadaan.  Bagaimana UMNO sebagai parti teras perlu menangani hal ini bagi memastikan keamanan negara tidak terancam?
Abdullah:
Kita harus mengenalpasti punca dan dalang kepada isu ini dan mengambil tindakan tegas.
Tragedi rusuhan kaum pada 1969 perlu diambil iktibar oleh semua pihak supaya tidak menyemarakkan kebencian kaum. Tiada pihak yang untung, sebaliknya semua akan rugi sekiranya tragedi seperti itu berulang. 
Saya terlibat secara langsung dalam usaha memulihkan keadaan dengan penubuhan MAGERAN dan saya berdoa dan berharap ia tidak berulang lagi.
Sejarah telah membuktikan bahawa pimpinan UMNO pada tarikh itu telah berjaya memulihkan keadaan melalui kerjasama antara parti komponen seperti MCA dan MIC. 
Saya menyeru kepada semua pihak agar provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dielakkan. Segala tutur kata dan tindakan perlu menggunakan kewarasan fikiran.
 Pastikan emosi yang keterlaluan tidak memandu tindakan kita.