Legasi namanya yang membawa perutusan Melayu sebagai satu bangsa tetap terpahat dalam sejarah perjuangan umat yang penuh dengan semangat waja dalam menjalankan amanah membawa keunggulan nama bangsa, bahasa dan budayanya yang begitu panjang.

Seingat saya, Utusan merupakan akhbar Melayu pertama yang pernah menyiarkan tulisan saya semasa saya masih belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir sekitar 1966-1967. Saya masih ingat satu peristiwa yang menimpa diri saya ketika saya menulis sebuah rencana pendek tentang kehidupan sosial di Mesir yang membawa saya ke Pejabat Universiti Al-Azhar atas alasan bahawa saya telah menyentuh maruah rakyat Mesir, tetapi saya hanya diberikan peringatan.

Namun penglibatan saya yang lebih serius ialah ketika menjelang masa kelahiran institusi yang memperjuangkan agama orang Melayu dan budaya tingginya iaitu Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 yang segera disambut oleh akhbar Utusan sebagai wadah utama untuk menjadi obor dan medan dalam membawa konsep kefahaman Islam dan agenda bagi menjelaskan sarwajagat agama Islam yang masih diselubungi oleh kefahaman yang agak sempit ketika itu.

  • IKIM

Utusan segera memberikan ruang yang amat selesa untuk IKIM melahirkan pandangan dan pencerahan yang luas bagi konsep sarwajagat Islam sebagai agama yang luas ruang lingkupnya iaitu sebagai peraturan dan sistem hidup manusia yang mencakupi urusan dunia dan akhirat, kebahagiaan jasmani dan rohani, akal dan wahyu Allah SWT, yang menjamin kebahagiaan manusia sejagat.

Kehadiran saya sebagai penulis tetap ruangan IKIM semenjak 1992 dialu-alukan oleh Ketua Pengarang Utusan ketika itu iaitu Tan Sri Johan Jaaffar dan seterusnya barisan pengarang Utusan sehingga ke saat ini yang terus menerus memupuk semangat kami untuk mengisikan ruang itu dengan pengisian yang menjadi agenda utama kefahaman Islam menurut kaca mata institusi yang baru dilahirkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

IKIM yang mengambil kesempatan daripada penerbitan Utusan yang bermutu itu dan pengedaran luas ke seluruh negara dengan pembacanya yang berkualiti, segera menerima sambutan orang Melayu dan rakyat negara yang amat ingin memahami konsep agama Islam sebagai agama holistik. Dr. Mahathir yang mengasaskan IKIM dan mempengerusikannya sering menjelaskan tentang visi IKIM dalam membetulkan imej Islam yang telah dicemarkan oleh sebahagian media Barat iaitu ketika Islam digambarkan sebagai agama yang menggalakkan keganasan dan kekejaman sesama manusia termasuk sesama umat Islam sendiri, dengan melakukan peperangan dan kekejaman bagi manusia tidak berdosa. Hal ini telah dijelaskan hakikatnya setiap minggu dalam ruangan khas Utusan dengan disokong oleh penerbitan IKIM sendiri hasil daripada penyelidikan serta persidangan yang sering diadakan di dalam dan luar negara anjuran IKIM dan badan-badan intelektual antarabangsa.

  • Perubahan minda orang muda

Keunggulan Utusan, akhbar kebangsaan ini banyak membawa perubahan dalam minda dan kefahaman generasi muda Melayu sendiri, yang segera memahami perutusan agama mereka, Islam, sebagai cara hidup lengkap umat Islam. Dan segera menolak kefahaman salah tentang Islam yang dimomokkan oleh kalangan tertentu sebagai agama yang hanya menyeru kepada keganasan.

Angkatan muda Melayu sendiri telah menerima cara hidup dan menghayati budaya serta ilmu Islam yang mendidik mereka menjadi manusia yang kuat dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, juga memilih hidup sebagai ahli profesional yang mencakupi berbagai-bagai bidang ilmu dalam membangunkan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang berperadaban, tamadun dan penuh etika.

Kebangkitan Islam dalam kalangan remaja Melayu bukan untuk menjadi para pejuang yang akan bertindak membunuh orang bukan Islam seperti yang berlaku di beberapa daerah dan negara Islam yang lain. Tetapi mereka berbangga dengan ilmu dan pengetahuan sendiri, terutamanya ketika mereka merasakan bahawa sebagai umat Islam, maka mereka juga harus mahir dalam bidang perniagaan, perubatan, kejuruteraan dan kepimpinan. Malah menyedari bahawa ajaran Islam sentiasa mementingkan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat, termasuk perutusan Islam yang menyeru umatnya supaya menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad dan menuntut ilmu sampai ke Cina.

  • SEMANGAT KEMELAYUAN

Sumbangan Utusan dalam menjana pemikiran positif dan kreatif generasi muda umat Islam amat tinggi melalui ruangan IKIM dalam akhbar ini. Semua Ketua Pengarangnya telah memberikan kerjasama yang amat tinggi dan menggalakkan kepada ruangan kami, malah disiarkan pula temuramah serta liputan berita tentang kegiatan IKIM sepanjang masa. Hal ini amat banyak menimbulkan kesedaran kepada umat Melayu di negara kita bagi memahami Islam sebenarnya, amat jarang sekali cuba ditekankan di negara Islam yang lain ketika itu.

Saya sendiri amat terhutang budi dengan Utusan kerana semenjak kelahiran IKIM pada 1992 dan berterusan sehingga penamatan khidmat saya dengannya pada 2002, saya secara berterusan tanpa berhenti diberikan ruang di dalam Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Malah saya amat bersyukur selepas perkhidmatan dengan IKIM, saya masih berkesempatan menyumbang rencana kepada Utusan atas nama institusi yang lain sehingga ke saat ini, ketika Utusan menyambut hari lahirnya yang ke-80.

Kini akhbar yang bersemangat waja itu telah menjangkau usianya yang panjang. Dan amatlah diharapkan bahawa akhbar ini akan bertambah matang dan berwibawa dalam membawa amanah asalnya untuk perjuangan mendaulatkan umat Melayu dan memperjuangkan semangat kemelayuannya dalam segenap aspek kehidupan umat ini, sambil meneruskan pembinaan negara dan bangsa yang telah ditonjolkan oleh dunia sebagai negara contoh yang aman damai sebagai negara berbilang kaum dan bangsa di seluruh dunia ini.

PENULIS ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).