Peningkatan itu berlaku ekoran peluang pekerjaan yang makin perlahan dalam pertumbuhan ekonomi yang lebih sederhana, menurut Laporan Tahunan Bank Negara 2016 yang diterbitkan Khamis lalu.

Dalam kalangan penganggur berkenaan, graduan merupakan bilangan terbesar iaitu 23 peratus.

Apakah anda mengangguk kepala memperakui hakikat yang dibentangkan oleh Bank Negara itu, atau masih menggaru kepala yang tidak gatal sebenarnya?

Laporan Bank Negara begitu terperinci. Syarikat-syarikat perniagaan tidak mengambil pekerja disebabkan sentimen perniagaan yang tidak menentu dengan prestasi ekonomi yang perlahan.

Golongan graduan muda ini lazimnya, merupakan kategori akhir yang akan dipertimbang untuk diambil bekerja, berbanding mereka yang memiliki pengalaman dan kemahiran.

Seandainya berlaku sesuatu yang buruk kepada syarikat, golongan ini juga yang pertama dalam senarai untuk dilepaskan atas sebab kekurangan pengalaman dan pengetahuan serta lemah menyalurkan kemahiran mereka secara berkesan kepada majikan.

Sesuatu yang harus diberi perhatian ialah statistik yang dibentangkan oleh Bank Negara mengenai tahap pendidikan. Bagi belia berusia antara 15 hingga 24 tahun, hanya 16 peratus memiliki pendidikan tinggi manakala 84 peratus hanya sekolah menengah.

Tetapi peratusan kumpulan yang terbesar tidak mempunyai pekerjaan adalah mereka yang berpendidikan tinggi iaitu 23 peratus. Kadar penganggurannya jauh lebih tinggi iaitu 15.3 peratus berbanding bukan berpendidikan tinggi 9.8 peratus.

Dalam konteks ini, Bank Negara mendapati peluang pekerjaan tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran pertengahan dan rendah, dengan industri tempatan tidak berganjak daripada aktiviti bernilai tambah rendah yang menekankan kecekapan kos dan kebergantungan kepada buruh murah, bukan memburu inovasi untuk tumbuh pesat.

Ternyata dasar bagi menangani isu pengangguran belia perlu dikaji semula dari semasa ke semasa serta perlu bersifat fleksibel, pantas serta responsif terhadap pasaran pekerja akan datang.

Ini termasuk dasar dan program khusus untuk memupuk budaya keusahawanan dan inovasi, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta menambah baik kesesuaian tenaga kerja dengan perubahan arus industri.

Malah, dalam usaha memperlengkapkan generasi muda menghadapi cabaran masa depan, laporan tersebut mencadangkan supaya usaha menangani punca masalah sebagai agenda tetap negara.

Aspek seperti pendidikan berkualiti, termasuk sektor pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan latihan berkesan adalah penting bagi pembangunan modal insan.

Pembaca setia Merrepak mungkin hairan dengan topik serius yang diketengahkan hari ini berbanding kelaziman tema ringan dan santai. Hari ini mohon pengecualian. Isu pengangguran dalam kalangan graduan begitu dekat di hati, apatah lagi secara umumnya kita berasa `tidak patut’ wujud pengangguran sebegitu besar dengan segala peluang yang ada di negara ini terutama perniagaan.

Ini juga antara faktor akhbar Utusan Malaysia memperkenalkan ruangan Graduan Usahawan setiap Jumaat, yang ditulis sendiri oleh mahasiswa dan siswi Universiti Putra Malaysia yang berniaga sambil belajar. Matlamat utama menerusi perkongsian pengalaman serta panduan para pelajar tersebut, ialah mencetus inspirasi kepada golongan belia untuk aktif dalam keusahawanan.

Sekian lama yang menjadi alasan umum tidak dapat berniaga ialah tiada modal atau permohonan pembiayaan ditolak tetapi para siswazah tersebut mengetengahkan pencapaian mereka yang bermula dengan modal yang sangat kecil, menerusi perniagaan atas dalam talian. Buanglah nafsu mahu terus berniaga juta-juta demi untuk membeli Mercedes-Benz sekelip mata.

Satu spesies yang merebak besar sekarang ialah spesies graduan desperado yang menghantar permohonan kerja kepada 100 syarikat serentak. Mana-mana syarikat yang dulu terima, dia ambil. Tapi bukan niat untuk tetap. Matlamat utamanya ialah syarikat tersenarai atau Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Tidak salah. Ramai mengidam menganggotai badan eksekutif negara. Masalahnya, tindakan sedemikian iaitu `bekerja sementara’ di syarikat lain demi mengejar pekerjaan yang diidamkan, secara tidak langsung menafikan hak orang lain yang benar-benar mahukan pekerjaan itu atau tidak bercita-cita sedemikian elit. Di pihak syarikat pula, akan berdepan dengan kerugian masa melatih serta takut mengambil kakitangan dari universiti tertentu.

Satu lagi aspek ialah terlalu memilih kerja. Tamat saja pengajian, terus mengidam kerja di Petronas. Belum sempat konvokesyen mahu jawatan pengurus. Belum rasa duduk jauh dari mak bapa sudah minta gaji RM5,000 minimum.

Bila tidak dapat, lepaskan kemarahan dalam Instagram. Tulis panjang-lebar dalam Facebook. Semua orang disalahkan. Kerajaan dimaki. Sekolah dicaci. Jalur lebar perlahan dikeji. Astro ulang tayang berkali-kali diperli. Diri sendiri? Mana boleh salah sama sekali.