Setuju atau tidak, realitinya kedua-dua perkataan itu seakan susah hendak dizahirkan, lebih-lebih lagi 'memohon maaf’. Dan jika memohon maaf sekali pun, ia dinyatakan dalam nada yang dapat dikesan betapa ia tidak ikhlas atau insaf. Individu terbabit memohon maaf setelah 'kantoi’ atau dibelasah secara berjemaah di dalam media sosial. Ini realiti zaman ini.

Mengikut definisi sains kemanusiaan, memohon maaf memiliki dua elemen utama iaitu; mempamerkan rasa bersalah dan maka itu, insaf untuk tidak mengulangi kesalahan dan kedua, memperakui tindakan anda telah mengakibatkan kesulitan, keperitan dan kesakitan terhadap orang lain.

1 Bagaimana pula jika sesuatu itu dilakukan dengan sengaja untuk menyakiti hati orang, kemudian dengan mudah sekadar memohon maaf, sebelum mengulangi perkara serupa di masa hadapan? Banyak kes seumpamanya hari ini yang meliputi semua kategori masyarakat.

Bagaimana pula spesies manu­sia yang enggan sama sekali memo­hon maaf? Disebabkan dia merasakan tindakannya tidak salah dan dipaksa meminta maaf oleh tekanan ramai. Maka diarahnya pengurusan syarikat untuk meminta maaf mewakilinya.

Memang boleh diterima permo­honan maaf sedemikian tetapi tidak akan sama berban­ding dia sendiri melafazkan permo­honan maaf. Orang akan ingat.

Jadi kita sebenarnya, perlu belajar untuk memohon maaf secara tertib dan teratur. Anda yang menepis saranan ini dengan alasan 'saya hendak minta maaf apa? Saya tidak buat apa-apa salah pun’, adalah manusia kategori `super ego’.

Kita ini manusia, tidak akan sempurna. Tidak buat apa-apa pun, dalam beberapa konteks boleh mencetuskan kesilapan, sama ada dengan niat sengaja atau tidak.

2 Beza memohon maaf ikhlas dengan terpaksa

Susah sebenarnya hendak membezakan sama ada permohonan maaf itu ikhlas atau tidak. Kadang-kadang seseorang itu benar-benar ikhlas tetapi tidak pandai menyusun ayat dengan nada suara yang betul, maka tindakannya dicurigai.

Cara terbaik menilainya ialah selepas pengucapan maaf dilakukan dengan menilai gerak tindaknya. Orang yang memohon maaf tahu dia perlu memulihkan kepercayaan dan keseimbangan dalam hubugan dua hala anda berdua.

3 Banyak kelebihan 
memohon maaf

Selain disaran oleh agama, ahli psikologi juga menggalakkan perbuatan memohon maaf sesama manusia atas beberapa faktor seperti berikut:

* Pernyataan maaf membuka dialog antara anda dengan orang berkaitan. Kesediaan anda mengakui kesilapan memberi peluang orang itu untuk meneruskan komunikasi dengan anda.

* Bila memohon maaf, anda mengakui diri anda telah melakukan kesilapan. Ini membantu anda membina kepercyaan dan memulihkan hubungan dengan orang lain. Ia juga memberi peluang untuk anda berbincang mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

* Apabila anda mengaku kesalahan anda, ia mengembalikan maruah kepada orang yang anda sakiti. Ini seterusnya melancarkan proses pemulihan, termasuk memastikan orang itu tidak menyalahkan dirinya sendiri terhadap apa yang berlaku. Ini bermaksud murung dan kemungkinan membunuh diri!

* Pernyataan maaf yang tulus menunjukkan anda seorang yang bertanggungjawab terhadap tindakan anda. Ini boleh mengukuhkan keyakinan diri, maruah diri dan reputasi. Anda akan rasa lega dan satu daripada cara mengembalikan maruah anda di mata orang lain.

4 Kesan enggan memohon maaf

Ramai manusia begini. Hari-hari kita jumpa. Kenapa sulit hendak memohon maaf, pun kita tidak faham. Mungkinkah ibu bapanya mendidik bahawa memohon maaf itu suatu dosa besar?

Kesan pertama keengganan memohon maaf ialah, hubungan yang keruh dengan orang yang kita ada perselisihan itu akan berlarutan. Ia seterusnya boleh menjejaskan hubungan dalam keluarga, merosakkan reputasi, mengehadkan peluang kerjaya dan menurunkan keberkesanan anda , bermakna tiada siapa mahu bekerja dengan anda.

Ia juga menjejaskan pasukan anda jika degil tidak mahu memohon maaf. Tiada siapa mahu bekerja di bawah bos yang tidak mengaku kesalahan. Dan bila berlarutan, mengakibatkan rasa curiga, ketegangan dan kebencian yang mencetuskan persekitaran kerja yang toksik untuk semua.

5 Punca enggan memohon maaf

Ada orang merasakan jika mengakui kesilapan, ia meletakkan diri mereka di dalam kedudukan yang amat lemah iaitu terdedah kepada tuduhan, serangan atau cemuhan. Selain itu orang juga percaya mereka akan berdepan dengan penghinaan dan rasa malu jika memohon maaf.

 

Memohon maaf secara teratur

1 Menyatakan kekesalan dengan memohon maaf.

* Nyatakan secara jujur dan asli. Jujur kepada diri sendiri mengenai alasan sebenar anda memohon maaf. Jangan lakukannya jika anda ada alasan tersembunyi atau strategi.

* Tempoh masa sangat genting. Mohon maaf segera adalah lebih afdal.

2 Menanggung kesalahan

* Akui kesalahan dan sanggup tanggung kesan daripadanya.

* Ambil sikap empati terhadap orang yang anda sakiti, dan tunjukkan anda memahami apa perasaan mereka.

* Jangan main teka-teka, 
tetapi cuba letakkan diri anda di mana mereka berdiri dan bayangkan perasaan mereka.

* Semasa memohon maaf, ramai cenderung hendak mencari alasan ke atas tindakan mereka. Ia boleh membantu jika ia berbentuk penjelasan. 
Ia jadi tidak betul bila penjelasan bertukar menjadi 'alasan’.

* Jangan tunding jari kepada orang lain.

3 Memulihkan keadaan

* Memulihkan situasi yang anda rosakkan pasti menghapuskan kemarahan awal.

* Jangan beri janji kosong atau buat tidak tahu hanya merumitkan lagi.

* Jangan beri pampasan berlebihan, takut nanti dilabel sebagai rasuah atau membeli.

4 Janji tidak mengulanginya

* Lafazkan ikrar untuk tidak mengulangi perbuatan atau tingkah laku itu.

* Pastikan komitmen anda dipenuhi. Jika tidak, orang 
akan mempersoalkan reputasi anda dan melabel anda sebagai 'tidak boleh dipercayai’.

Maafkan saya kerana tidak tampil dengan tema April’s Fool di dalam Merrepak hari ini sebab tema itu agak ketinggalan zaman.