Dia sudah menetapkan sasaran untuk memasuki dunia hiburan selewat-lewatnya pada usia 24 tahun. Apabila program Lawak Solo diperkenalkan pada tahun ini, Mohamad Danial menyatakan kepada dirinya, inilah peluang untuk dia bertapak dalam industri hiburan tanah air.

Juruvideo Utusan Online yang mesra dengan panggilan Danial itu nekad mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan semata-mata bagi mencapai cita-citanya dan pengorbanannya itu berbaloi selepas muncul juara program tersebut.

Meskipun sudah popular, Danial masih lagi merendah diri seperti dahulu. Ikuti temu bual wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZA R AHMAD TERMIZI dan ZULKARNAIN OTHMAN dengan DANIAL ketika pelawak itu berkunjung ke pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur baru-baruini.

MINGGUAN: Bagaimana Danial boleh tergerak hati untuk menyertai program Lawak Solo?

Danial: Semasa kecil, memang saya minat menyanyi. Kalau ikutkan, suara pertama yang saya tiru ialah Mawi. Memang serupa tetapi itu dahululah semasa suara belum pecah.

Bila saya masuk kolej, saya ambil jurusan penyiaran dan filem. Kita banyak buat filem pendek dan adalah filem pendek lawak yang kita buat.

Saya banyak berlakon sebagai orang komedi dan kawan-kawan kata saya lawak. Dalam masa yang sama, saya cuba tiru personaliti kawan.

Daripada situlah saya mula tiru personaliti artis seperti Ady Putra dan Syamsul Yusof.

Saya minat hendak jadi seorang penghibur. Tidak kisahlah sebagai pelakon, penyanyi, pengacara, penyampai radio atau pelawak.

Macam mana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, macam itulah saya hendak jadi.

Kenapa Danial mahu menceburi dunia seni?

DANIAL: Yang pertama, saya belajar bidang ini. Jadi, minat saya memang ke arah hiburan termasuk filem dan drama.

Memang sekarang saya lahir sebagai seorang pelawak tetapi cita-cita saya ke arah menjadi pelakon filem. Kalau boleh saya hendak tengok filem Malaysia diangkat ke tahap seperti Hollywood yang orang boleh banggakan. Macam Harith Iskander berjaya mengangkat nama Malaysia dalam pertandingan Laugh Factory’s Funniest Person in the World.

Selepas menang Lawak Solo, apakah perancangan Danial pada tahun 2017?

DANIAL: Perancangan jangka masa pendek, saya ikut sahaja apa yang Astro Talent jadualkan untuk saya. Sebab saya terikat dengan Astro Talent selama tiga tahun.

Kalau saya diberi peluang beraksi di Maharaja Lawak Mega (MLM), saya akan buat yang terbaik sebab itu pentas yang besar untuk seorang pelawak dan berprestij.

Saya mahu menang dalam MLM sebab sudah beberapa musim, pelawak solo tidak pernah menang tetapi semuanya sketsa. Saya mahu cuba memecahkan tradisi.

Kalau diberi peluang dalam MLM nanti, saya akan cuba bawa komedi stand-up tetapi dalam masa yang sama saya buat sketsa. Ini sesuatu yang baharu yang tidak pernah orang buat lagi.

Apakah Danial sudah ada teman wanita? Sekarang sudah popular, mungkin ramai perempuan mahu berkenalan dengan Danial.

DANIAL: Dari dahulu sampai sekarang saya ‘single’. Saya tidak pandai mengorat perempuan dan perempuan yang selalu mengorat saya.

Bila baru masuk dunia hiburan, saya kena pandai menjaga diri. Saya tidak mahu jadi macam sesetengah artis yang mengalami kejutan budaya seperti pergi ke kelab malam. Terus terang saya cakap, saya tidak pernah pergi ke kelab malam.

Hadiah kemenangan Lawak Solo berupa wang tunai RM80,000 agak lumayan. Apakah perkara pertama yang Danial ingin lakukan dengan wang tersebut?

DANIAL: Sebelum saya masuk Lawak Solo dan menang, saya sudah beritahu kalau saya menang, saya hendak bawa emak saya pergi menunaikan haji. Sekurang-kurangnya sebelum dia pejam mata, dia dapatlah rasa kebahagiaan.

Sebelum ini emak hidup susah dan saya akan cuba beri kebahagiaan kepada dia secepat yang mungkin. Harta boleh cari tetapi ibu bapa tidak ada ganti.