Satu persatu isu diulas yang dikaitkan dengan politik. Belanjawan 2019 oleh Kerajaan PH juga terkena tempias politik kerana ada kaitan dengan ‘harapan’ yang diberikan kepada rakyat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Begitulah politik di negara ini. Nampaknya sepanjang empat atau lima tahun ini, rakyat akan terus ‘berpolitik’, bukan sekadar mengenai parti tetapi isu-isu lain yang dicetuskan oleh parti sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pelbagai isu ‘dilambung tinggi’ untuk ‘disambut dan dibahaskan’ terutama dalam kalangan masyarakat orang Melayu. Maka tidak habis-habis, orang Melayu terutamanya membahaskan isu-isu yang dikatakan boleh menggugat agama, bahasa, ekonomi, pendidikan dan macam-macam lagi.

Sesetengahnya isu lama yang diulang kembali. Mereka terus berbahas melalui pelbagai medium tanpa penyelesaian tuntas. Ingat peribahasa ‘Kita baru mencari pengayuh, orang sudah tiba di seberang’ atau ‘Pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan sampai ke seberang’. Apabila berlaku perubahan kepemimpinan negara - penyerahan ‘baton’ Perdana Menteri, sekali lagi di sana sini, orang akan terus berpolitik. Ketika ini, masih ada yang bermain politik dalam isu ini walaupun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim. Ketika ini cerita lompat atau keluar parti belum selesai. Kisah ini semakin panas apabila keluar kenyataan bahawa 40 orang anggota Parlimen UMNO akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Bagaimanapun setakat ini hanya seorang yang meninggalkan UMNO dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas diluluskan permohonannya dalam masa yang singkat. Masih ada yang menaruh harapan tetapi Bersatu tidak mahu dilihat terlalu gelojoh. Mungkin mereka ini ibarat pemain simpanan yang boleh dipanggil masuk pada bila-bila masa. Setakat ini UMNO kehilangan enam wakil rakyat yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN). Episod ini bermula setelah UMNO menjadi pembangkang.

Menyelak kembali episod ini, ia bermula pada 24 Jun lalu apabila anggota Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali mengisytiharkannya sebagai wakil rakyat Bebas. Ini diikuti Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) 27 Jun; Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) 1 Julai; Mustapa Mohamed @ Tok Pa (Jeli) 18 September; Anifah Aman (Kimanis) 19 September dan akhir sekali Rozman Isli (Labuan) 11 Oktober. Selain Tok Pa yang diterima Bersatu, Rozman pula memilih Warisan. Siapa lagi yang akan melakukan ‘penghijrahan positif’ ini? Di sebalik kecaman dan andaian dibuat, enam wakil rakyat ini memberi pelbagai alasan bagi mewajarkan tindakan mereka. Apa yang pasti, mereka yang ‘bermuka tebal’ itu tidak yakin lagi kepada UMNO walaupun kemenangan mereka disebabkan keyakinan pengundi terhadap BN. Mereka tidak peduli dituduh sebagai pecah amanah.

Bersatu pula mengalu-ngalukan kemasukan anggota Parlimen UMNO walaupun pelbagai kenyataan dikeluarkan sebelum ini. Ada ketikanya mereka mengalu-ngalukan dan ada masanya, mereka meletakkan pelbagai syarat termasuklah berintegriti. Penyertaan mereka akan disaring bagi memastikan mereka bersih. Maknanya mereka di dalam Bersatu ketika ini benar-benar ‘bersih’, umpama kain putih. Urusan ‘jual beli’ orang politik ini akan berlarutan dalam politik tanah air. Bagi anggota UMNO yang tidak kuat semangat dan yakin parti itu tidak lagi relevan seperti dakwaan pelbagai pihak, mereka akan ‘angkat kaki’. Penghijrahan mungkin lebih pantas sekiranya mereka bosan dengan beberapa tindakan yang dianggap sebagai ‘pergolakan dalaman’ yang tidak ada pengakhirannya. Musuh akan sentiasa mengambil kesempatan dan tidak akan berdiam diri jika melihat UMNO dalam keadaan stabil. Matlamat mereka mahu menguburkan UMNO dan hasrat itu akan lebih cepat jika wakil rakyat berpaling tadah dan diikuti pengikut-pengikut setia mereka. Jika dalam kalangan yang bergelar pemimpin begitu cepat berputus asa dan kecewa, inikan pula yang tidak ada apa-apa kecuali semangat. Pelbagai usaha akan dilakukan bagi melemahkan UMNO sama ada dari luar atau dalam parti. Siri pendakwaan yang dilakukan ke atas kepemimpinan parti itu juga boleh melemahkan UMNO.

Ketika kepemimpinan yang ada cuba mempertahankan kewujudan UMNO, pada masa yang sama sokongan mantan veteran UMNO terhadap Bersatu juga turut mempengaruhi anggota parti. Bagi sesetengah veteran UMNO, masuk, keluar, masuk dan keluar parti tidak memberi apa-apa makna. Mereka sudah memegang pelbagai jawatan dalam tempoh yang lama sehingga ruang untuk diisi oleh orang muda UMNO begitu perlahan berbanding parti lain. Akibatnya tindak tanduk veteran ini terutama yang sudah meninggalkan parti itu menyebabkan anggota yang masih kekal bertambah keliru. Jika dahulu mereka sering memberi nasihat supaya mengutamakan parti tetapi hari ini keadaan sudah berubah.

Mungkin syarat-syarat yang ditetapkan Bersatu bersifat sementara kerana parti itu memang memerlukan lebih ramai anggota parti. Begitu juga yang sedang dilakukan oleh DAP dan Amanah. Ketika Bersatu bersedia menerima anggota Parlimen UMNO bagi mengukuhkan kedudukan di dalam PH, komponen lain seperti DAP gusar dengan hasrat tersebut. DAP tidak setuju dengan tindakan lompat parti yang disifatkan sebagai tidak sihat. Tidak pasti apakah asas kebimbangan atau penolakan itu. Adakah DAP bimbang Bersatu akan bertambah kuat atau risau ‘budaya’ UMNO meresap ke dalam parti sehingga boleh mencetus masalah?

Hakikatnya, DAP pernah menyarankan supaya MCA meninggalkan BN sekiranya tewas dalam pilihan raya kecil DUN Balakong pada 8 September lalu. Malahan DAP bersedia mempertimbangkan sekiranya MCA mahu menyertai PH. Jika ini berlaku, lompatan ini adalah lebih besar berbanding lompatan anggota Parlimen UMNO.