Beliau yang lebih mesra dengan gelaran Pak Samad mengakui kurang sihat (bengkak kaki) yang agak membataskan pergerakannya, untuk berjalan kaki ke sana sini seperti dahulu. “Bapak sebenarnya kurang sihat. Bapak masih dalam rawatan (susulan)” katanya.

Beliau mencadangkan ketua-ketua jabatan sastera di universiti tempatan juga perlu ditanya pandangan mereka mengenai hala tuju perkembangan sastera Melayu mutakhir kerana pada hematnya, mereka lebih maklum soal isu-isu kesusasteraan.

“Saranan Bapak antaranya, ditanyakan apakah sastera Melayu kontemporari sempat merakam peristiwa genting atau sastera terbisu?” ungkapnya. Pak Samad selanjutnya menjelaskan sasterawan atau penulis yang tidak memiliki keberanian mengkritik pemerintah dan menegakkan kebenaran, beliau menyatakan: “Jadi, kita kira masyarakat sastera bacul!”

MINGGUAN: Sastera terbisu, bacul? Boleh Pak Samad jelaskan makna ungkapan tersebut?

A. SAMAD. SAID: Sepanjang pemerintahan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai Perdana Menteri, sastera langsung mengelak berkata-kata tentang perjuangan seni. Ruangan seni akhbar utama tanah air membisu berkata-kata tentang keadilan.

Akhbar yang membisukan. Kini akhbar cuba menjeritkan. Apa ertinya ini? Kita berani kerana benar.

Tapi, tentulah kita maklum. Ini perlawanan perlu sedia berkorban. Ini yang nihil. Sastera Melayu kontemporari tampak tidak bersuara khusus media utama yang membisukan.

Bukankah, ada juga suara-suara editor, penulis atau sasterawan berbicara soal keadilan ini?

A. SAMAD SAID: Saya tidak menafikan wujudnya suara keras yang membina. Tapi, suara itu ‘terpenjara’ di media utama, cuma diberi tempat terhimpit dalam media kecilan.

Saya maklum realitinya, tapi apabila realiti sebenar tidak tercermin dalam media utama ia menjadi wajah bohongan. Dan ini tidak menolong.

Pak Samad, ada juga editor sastera yang berani mempersoalkan salah guna kuasa pemimpin dan pemerintah?

A. SAMAD SAID: Benar, ada pemberani yang terkorban. Tapi, itulah caranya kita merubah. Tanpa keberanian sedemikian, seniman lebih berhak sembunyi di sebalik pintu.

Saya merasa merana. Itu saja. Tapi, kita jangan tiba-tiba melonjak ria. Kita bertahun, baru kita benar-benar berjumpa pejuang tulen. Kita tidak perlu selesa.

Perlukah satu revolusi sastera dilakukan seperti ASAS 50 bagi menyemarakkan kembali sastera Melayu? Pada hemat Pak Samad, sejauh mana gerakan dan persatuan sastera membantu melahirkan karya bermutu?

A. SAMAD SAID: ASAS 50 cuma sejarah. Semangatnya barangkali boleh dicontohi. Tapi, kita perlu sastera yang lebih berfaedah dan berisi. Merakam realiti sejujur zaman yang menuntut.

Sebenarnya, pada tiga tahun kebelakangan ini, kita jarang-jarang menyaksikan majlis seni yang besar. Malah Pena (Persatuan Penulis Nasional), dan Gapena (Gabungan Penulis Nasional) pun seperti tidak ada.

Realitinya, penulis hari ini ada yang menulis semata-mata untuk menang sayembara. Oleh itu, karya tiada roh atau hala tuju.

A. SAMAD SAID: Saya kira masih ada sastera yang berfaedah. Sejauh ini yang kurang menggoncang ialah semangat perjuangannya. Saya tidak fikir ramai yang mengejar hadiah.

Dengan perubahan iklim, penulis bukan lagi ‘carmawan’ melulu. Saya saksikan lebih ramai di demonstrasi Bersih daripada di ruang sastera.

Pada pandangan Pak Samad siapakah penulis muda yang mampu meneruskan kesinambungan atau legasi Sastera Melayu?

A. SAMAD SAID: Saya hanya pandang (nampak) S.M. Zakir. Tampaknya, konsisten dan berisi. Yang kebanyakannya main skating (ice skating) putar-putaran. Kita perlu sasterawan, bukan sekadar pencatat.

Kita ada penulis berbakat besar seperti Faisal Tehrani, malangnya ada beberapa buah karya beliau diharamkan di negara ini. Komen Pak Samad?

A. SAMAD SAID: Faisal Tehrani satu fenomena lain. Sangat serius (berkarya) dan sangat kontroversi. Kita tidak mudah menyenanginya jika kita bukan pembaca yang global.

Sebagai Sasterawan Negara apa harapan terhadap kerajaan Pakatan Harapan dalam usaha mengangkat Sastera Nasional?

A. SAMAD SAID: Pakatan Harapan tentu saja lebih sibuk dengan pencapaian awalnya (berkuasa). Parti siasah tidak terpesona dengan sastera. Terkadang sastera jadi bahan ketawa.

Apakah Pak Samad optimis sastera Melayu perlu digemilangkan semula?

A. SAMAD SAID: Sastera Melayu perlu dikasihani dulu. Tidak cukup dengan hadiah-hadiahan musiman. Karya wakilannya, wajib diulang cetak, ditempatkan di perpustakaan sekolah seluruh tanah air.

Karya Ibrahim Omar, contohnya novel Desa Pingitan satu khazanah sangat berharga, pernah kita dengar ia dicetak semula?

Sebagai Sasterawa Negara apa wasiat atau pesan Pak Samad untuk penulis, sasterawan, karyawan dan khalayak sastera tanah air?

A. SAMAD SAID: Sebagai penulis kita cuba merakam realiti seikhlasnya tanpa lupa mempersubur pesanannya. Sasterawan wajib berani kerana benar. Dia (sasterawan) wajib jujur. Kita mengembang bukan menguncup.

Apa resipi jadi calon penulis atau sasterawan berjaya?

A. SAMAD SAID: Resepi? Hayati dan renungi kehidupan. Nikmati laranya, syukuri bahagianya. Hirup yang baik, muntahi yang najis.

Kita cuma datang sekali. Lara atau ria. Kita sudah dianugerahi, wajib bersyukur.