Semasa diwawancara oleh wartawan SAHIDAN JAAFAR dan FARHANA JONI, Kemala yang juga Presiden Persatuan Sasterawan Melayu Raya (Numera) melahirkan rasa sedih kerana sastera Melayu sekarang dianaktirikan dan Sasterawan Negara semacam tidak dihargai. “Apabila Sasterawan Negara dinobatkan, karya diterbitkan adakah hasilnya sampai kepada rakyat? Adakah mereka turun jumpa rakyat? Saya usaha sendiri jumpa rakyat, saya memberi secara percuma buku-buku saya sebab dana untuk bidang sastera telah dianak tirikan kerana momokan yang bukan-bukan,” luahnya kepada Mingguan Malaysia.


Sebabnya oleh pengaruh politik bahasa kita. Bahasa kita tidak ada kuasa ekonomi. Apa lagi bila diremehkan, dimomokkan dan bahasa Inggeris menyaingi, bahasa Mandarin juga menyaingi.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat sastera di Malaysia. Apa yang berlaku kepada sastera Melayu sekarang? Benarkah sastera Melayu dianaktirikan?

KEMALA: Soal sastera Melayu dianaktiri ini adalah konotasi pelbagai makna, seperti Sasterawan Negara bila dinobatkan, tidak ada kesinambungan untuk menjustifikasikan penobatan tersebut.

Dan macam tidak dihargai. Sasterawan Negara tidak dihantar ke seluruh negara untuk membaca karyanya, untuk mendekati rakyat, kecuali bagi yang sedar dia ada inisiatif sendiri turun dengan biayanya sendiri.

Tidak ada bajet! Tidak ada peruntukan untuk menghantar sasterawan yang masih hidup sekarang seramai enam tujuh orang, iaitu A. Samad Said, Muhamad Haji Salleh, Baha Zain, Anwar Ridhwan, Kemala dan Zurinah Hassan. Noordin Hassan sakit sekarang.

Apabila Sasterawan Negara dinobatkan, karya diterbitkan adakah hasilnya sampai ke rakyat? Adakah mereka turun jumpa rakyat? Saya usaha sendiri jumpa rakyat, saya beri secara percuma buku-buku saya sebab dana untuk bidang sastera telah dianaktirikan kerana momokan yang bukan-bukan.

Banyak tanggapan salah, sepatutnya mereka yang mengambil aliran sains perlu juga belajar sastera seperti di luar negara. Mereka belajar perubatan tetapi turut belajar syair-syair Shakespear.

Di sini mereka tak tahu sastera tempatan, belajar perubatan tapi tak tahu hikayat, sastera negara. Pemimpin kita pun sama, begitu juga.

Jadi, alangkah baiknya kalau ada jadual ataupun peruntukan untuk mereka (Sasterawan Negara) ini berkunjung ke seluruh negara, bukan satu dua tempat saja, ke seluruh negara untuk program tersebut.

Tak perlu ramai-ramai, ada giliran dua orang sekali itu ini bukan saja di Semenanjung tetapi juga ke pedalaman, seperti daerah-daerah di Sabah dan Sarawak.

Orang di sana juga hendak berkenalan dengan Sasterawan Negara. Kalau ada program diatur untuk sasterawan itu lebih baik.

Sejauh mana masyarakat sekarang kenal sasterawan berbanding era 1960-an atau 1970-an?

KEMALA: Dulu, tahun 1960-an Sasterawan itu selebriti. Usman Awang, Keris Mas, A. Samad Said, nama-nama ini bila keluar surat khabar, majalah mereka disanjung tinggi masyarakat pada waktu itu.

Jadi masing-masing nak jadi sasterawan. Novel-novelnya dihebohkan walaupun tidak dibaca. Saya semasa belajar di Sultan Idris Training Center (SITC) Tanjung Malim, mula membaca Salina karya A. Samad Said.

Wow! Salina telah sampai ke peringkat antarabangsa kata Sarjana Sastera, Profesor Dr. A. Teeuw. Samad Said masa itu usianya 20-an, baru kerja di Utusan Melayu. Memang ketika itu kita ikuti puisi-puisinya. Bagus-bagus misalnya, Di Bawah Bintang Mengerdip, Angin Damai Dari Timur.

Usman Awang pula dengan sajak Bunga Popi, Gelombang Ke Makam Bonda, drama Uda dan Dara begitu juga Masuri S.N dengan sajak Awan Putih dan Kota Singaku. Masa itu penulis-penulis jadi selebriti, idola masyarakat.

Penyanyi-penyanyi sudah ketinggalan masa itu kecuali P. Ramlee dan Saloma masih diminati ramai. Sebab yang menguasi akhbar masa itu, sasterawan.

Minda di belakangnya ialah A. Samad Ismail yang menjadi Timbalan Pengarang Utusan Melayu, sebagai perancang sastera bagi mempopularkan Keris Mas sebagai cerpenis yang bagus. Usman Awang, sebagai penyair yang hebat. Masa itu semua orang nak jadi Usman Awang. Semua nak jadi Keris Mas. Saya pun nak jadi sasterawan masa itu. Bila keluar sajak saya yang pertama di Utusan Zaman, bertajuk Pertimbangan tahun 1961, saya pun jadi popular. Ada satu lagi sajak bertajuk Kali saya tujukan kepada Masuri S. N.

Guru saya di SITC Tanjung Malim, Shaari Isa juga tahu saya penulis sajak. Waktu itu penulis jadi idola. Kawan-kawan dah kenal Kemala jadi penyair. Ketika itu, saya dilantik jadi Pengarang Cenderamata di SITC, Pengerusi Persuratan Melayu dan Pengarang majalah Penuntut.

Bagaimana pula kehidupan sasterawan sekarang? Bolehkah Sasterawan Negara hidup dengan royalti karya-karya yang dihasilkan?

KEMALA: Memang karya-karya Sasterawan Negara banyak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan kita mendapat royalti.

Tapi royalti dalam tahun 1970-an, 1980-an bagus. Dalam setahun itu kita dapat hidup dengan royalti kita. Tapi sekarang buku kita sudah empat tahun tak terbit di DBP. Itu sebabnya, saya sekarang berusaha terbitkan sendiri melalui Persatuan Sasterawan Melayu Raya (Numera).

Misalnya buku 1,000 Pantun Puitis: Mencari Diri Mencari Erti (2016), saya terbitkan melalui Numera. Ini royaltinya bagus. Ini gabungan 12 buku sajak saya dan sajak-sajak yang belum pernah diterbitkan ada dalam buku ini seperti sajak 13 Mei.

Kalau dulu 1970-an, 1980-an kita boleh dapat royalti dalam satu tahun RM15,000 atau RM20,000 senaskah buku. Kalau buku dijadikan teks untuk sekolah dapat RM10,000 hingga 15,000 juga. Tapi sekarang dalam satu tahun tak dapat dalam RM2,000 atau RM3,000.

Apa sebabnya?

KEMALA: Sebabnya oleh pengaruh politik bahasa kita. Bahasa kita tidak ada kuasa ekonomi. Apa lagi bila diremehkan, dimomokkan dan bahasa Inggeris menyaingi, bahasa Mandarin juga menyaingi.

Sedihlah. Surat khabar kita juga terancam. Surat khabar Utusan Melayu, pun begitu juga.

Apa sebab, kalau kuasa ekonomi tidak diberikan kepada bahasa kita, akan jatuhlah. Karya-karya kita dalam televisyen akan merosot begitu juga. Asyik-asyik cinta saja.

Macam mana Datuk melihat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) sejak tiga dekad lalu?

KEMALA: Ini adalah satu kesinambungan jasa Utusan Melayu melahirkan sasterawan-sasterawan negara. Saya sendiri pernah menang puisi hadiah utama dan esei utama dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Keris Mas, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Arenawati, Muhamad Haji Salleh, Noordin Hassan, Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan, Anwar Ridhwan, Baha Zain dan Zurina Hassan, semuanya dilahirkan oleh Utusan Melayu.

Ini jasa Utusan yang terbaik. Sekarang HSKU sudah berusia lebih tiga dekad, Utusan mampu menyediakan pelapis sasterawan negara sedia ada.

Saya kira-kira nama-nama seperti Fakhrul Razzi, Sri Rahayu, S.M. Zakir, Shahkang, Jasni Mat Lani, Abizai, Adi Badiozaman Tuah dan lain-lain yang lahir daripada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan boleh jadi pelapis sasterawan negara sedia ada.