Walaupun saya tidak lagi mempunyai anak kecil yang perlu didaftarkan ke sekolah rendah atau prasekolah, sedikit sebanyak terasa ada getarannya.

Sebuah keluarga berpendapatan rendah terasa perit untuk menyediakan kelengkapan sekolah walaupun secara asasnya sekolah-sekolah kerajaan tidak mengenakan sebarang yuran kecuali Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menetapkan sumbangan dalam kadar yang dipersetujui oleh mesyuarat. Tetapi sayangnya tidak ramai ibu bapa yang meluangkan masa hadir untuk memberikan pandangan ataupun membantah sebelum amaunnya dipersetujui.

Elok juga pihak sekolah tidak terlalu menekankan ibu bapa agar membeli buku-buku tulis dan latihan kerana harganya jauh lebih mahal berbanding buku yang sama atau hampir sama dijual di luar kedai koperasi sekolah.

Ibu bapa perlu diberikan pilihan untuk tidak menggunakan buku tulis atau latihan yang dicap logo sekolah, kerana membabitkan margin untung antara pembekal dan pencetak.

Dengan membeli buku yang hampir sama tanpa logo sekolah, boleh menjimatkan antara 20 hingga 30 peratus manakala guru-guru tidak tergesa-gesa untuk para pelajar menggunakan buku kerja. Guru perlu membuat cadangan mengajar berteraskan profesionalisme sendiri, dan bukannya mengambil terus apa yang terkandung dalam buku kerja.

Semangat yang ingin dikembangkan dalam konteks pendidikan holistik bukan bérgantung kepada buku kerja, tetapi kebolehan guru untuk merancang kaedah mengajar dan menterjemahkan kurikulum secara kreatif, dan boleh difahami dengan baik oleh para pelajar. Konsep ini boleh membentuk iklim pembelajaran yang dinamik, kondusif dan menyeronokkan.

Orientasi sistem pendidikan sudah memasuki fasa perubahan yang lebih memerlukan kecekapan dan kemahiran mengadaptasikan amalan pedagogi yang bukan berpusatkan guru, sebaliknya sudah memasuki fasa berpaksikan murid.

Atas matlamat itulah ditegaskan bahawa apa sahaja yang hendak dilakukan, mestilah menyasarkan kemenjadian murid, bukannya mengayakan penerbit buku kerja mahupun pengendali kelas-kelas tuisyen.

Orientasi penilaian penguasaan murid berasaskan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) tidak lagi bakal mewujudkan pelajar rubber stamp, iaitu bijak menghafal dan mengeluarkan semula berdasarkan memori, tetapi berusaha untuk membentuk pelajar yang mampu berfikir di àkhir tempoh persekolahan mereka.

Tentunya perubahan tersebut mendapat kritikan dan pandangan sinis, tetapi setelah diterima dan difahami, perubahan ini sudah tidak lagi menjadi sindrom kasut baru, sebelum dipakai dikhuatiri boleh menyebabkan kulit melecet.

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terakhir membuktikan dilema Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tidak lagi menjadi bahan ejekan, begitu juga dengan konsep pendidikan yang lebih terbuka.

Cuma yang sedikit terhalang ialah nisbah guru dan murid. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan agar diperkecilkan nisbahnya iaitu dua guru bagi sebuah kelas dan setiap kelas tidak melebihi 30 orang pelajar.

Mulai tahun 2019, Ketua Pengarah Pelajaran sudah mengeluarkan arahan untuk tidak menyaring pelajar berdasarkan pencapaian akademik, kecuali untuk tujuan pemulihan para pelajar yang bermasalah menerusi program LINUS.

Berbalik dengan kos pendidikan, Malaysia sebenarnya hampir mencapai tahap pendidikan percuma bagi sekolah rendah dan menengah kecuali ibu bapa yang memilih kemasukan ke sekolah tahfiz, agama dan swasta. Tidak ada yuran dikutip kecuali sumbangan kepada PIBG.

Buku teks diberikan percuma manakala pelajar yang lahir dalam keluarga berpendapatan rendah diberikan bantuan RM100 pada permulaan sesi persekolahan. Ada juga para pelajar menyertai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) walaupun tidak setiap hari sepanjang hari-hari persekolahan.

Tahun ini, pengendali bas sekolah telah berjanji untuk tidak menaikkan tambang bas sekolah walaupun mereka berhadapan dengan kenaikan harga diesel dan alat ganti.

Tentunya harga pakaian sekolah yang mahal boleh diatasi sekiranya komuniti setempat sedia membantu. Mungkin juga ketika ini, alumni sekolah boleh memainkan peranan dengan menjadi pembekal pakaian sekolah yang boleh diperoleh dengan murah melalui sistem borong. Pakaian itu kemudian dijual kepada ibu bapa dengan harga borong.