Antara yang menjadi perhatian utama adalah janji mahu memberikan 20 peratus royalti minyak dan gas, selain 50 peratus daripada keseluruhan hasil cukai dikumpul di Sarawak kepada kerajaan negeri. Isu tuntutan kenaikan royalti minyak dan gas daripada 5 peratus kepada 20 peratus oleh kerajaan Sarawak pertama kali dibangkitkan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Menteri.

Tuntutan yang dibuat berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ini kemudian menjadi modal utama bagi kedua-dua parti iaitu BN dan PH untuk meraih sokongan pengundi semasa kempen PRU-14. Atas alasan inilah, maka isu tuntutan royalti 20 peratus ini berterusan menjadi tumpuan dan nampaknya sukar untuk dipenuhi oleh PH dalam tempoh 100 hari iaitu hanya berbaki beberapa hari sebelum tamatnya janji manifesto pada 18 Ogos ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, memaklumkan kerajaan PH akan memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan hasil petroleum negara kepada empat negeri pengeluar minyak dan gas termasuk Sarawak. Tidak lama kemudian, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa pemberian royalti 20 peratus yang dijanjikan kerajaan PH tidak dapat dilaksanakan segera kerana bercanggah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Menurutnya, pengiraan royalti itu dibuat berdasarkan keuntungan kasar dan bukannya atas keuntungan bersih dan sekiranya Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mahu menambah jumlah royalti kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar petroleum kepada negeri-negeri pengeluar minyak, maka ia akan memberi implikasi serius terhadap kedudukan kewangan syarikat minyak negara itu dan Kerajaan Persekutuan.

Kenyataan Dr, Mahathir dan Mohamed Azmin ini ter­nyata mengecewakan empat negeri pengeluar minyak iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu. Malah, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri sebagai reaksi spontannya terus terbang ke Sarawak bertemu Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk berbincang mengenai perkara itu, baru-baru ini.

Mengulas mengenai isu tersebut, Abang Johari berkeras dengan pendirian tidak bersetuju pembayaran royalti mi­nyak dibayar kepada Sarawak berdasarkan 20 peratus daripada keuntungan bersih hasil petroleum negara. Katanya, sejak 1963, Sarawak yang memiliki dan mengeluarkan minyak dan gas hanya dibayar royalti 5 peratus oleh Petronas sedangkan harga minyak mengalami peningkatan dari semasa ke semasa, maka wajar sekali bayaran royalti dinaikkan berdasarkan kepada hasil pengeluaran bukannya keuntungan bersih.

Mungkin menyedari isu tuntutan royalti ini meresahkan rakyat Sarawak dan bakal memberi kesan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi, PH Sarawak tampil dengan janji akan terus menuntut royalti minyak 20 peratus seperti termaktub dalam manifestonya.

Menurut Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, di ba­wah Manifesto PH, dua perkara dijanjikan iaitu pertama, 20 peratus (tambahan 15 peratus) royalti minyak dan gas, selain 50 peratus daripada keseluruhan hasil cukai dikumpul di Sarawak diberikan kepada Kerajaan Sarawak.

Kedua, katanya, kerajaan Sarawak hendaklah mendapat autonomi penuh dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan di Sarawak dan bertanggungjawab ke atas kewangan kedua-dua kementerian itu. Malah, ujarnya, dipersetujui dalam manifesto berkenaan, sekiranya syarikat-syarikat minyak dan gas tidak mampu membayar royalti 20 peratus, kerajaan Persekutuan akan menambah jumlah yang kurang.

Bagi penganalisis politik, Datuk Peter Minos, isu minyak dan gas ketika ini, hanya boleh diselesaikan antara kerajaan iaitu kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menjadikannya secara rasmi diiktiraf dan sahkan. Namun, katanya, Chieng Jen bukannya Perdana Menteri atau Menteri Kewangan bagi rakyat Sarawak untuk menerima janjinya, malah beliau bukan juga mewakili Kerajaan Persekutuan tetapi hanya bercakap sebagai Pengerusi PH Sarawak dan DAP Sarawak.

Justeru, bolehkah janji PH Sarawak ini dipercayai oleh rakyat? ‘Tepuk dada, tanyalah selera'. Bagi kerajaan Sarawak pula, Abang Johari memaklumkan masih menunggu keputusan ‘hitam putih' daripada Kerajaan Pusat, memandangkan sedang berlangsung perbincangan antara Petronas dan Syarikat Petroleum Sarawak (Petros) berhubung perkara tersebut.