Acara dua hari yang diadakan di Dataran Putrajaya itu membawa mesej betapa pentingnya memulakan hari yang ceria dengan sarapan seimbang dan bernutrisi.

Menurut Nestle Malaysia, acara di Putrajaya itu merupakan kemuncak kepada siri acara terdahulu yang telah diadakan di Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah; Kuantan, Pahang, Pulau Pinang, Johor, dan Kelantan.

Penyertaan bagi kesemua acara yang telah diadakan itu termasuk di Putrajaya mencecah angka kira-kira 88,000 orang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd., Alois Hofbauer, acara di Putrajaya merupakan yang terbesar di dalam siri-siri yang telah diadakan dan mendapat sokongan menggalakkan daripada rakyat Malaysia.

Katanya, sepanjang penganjuran di seluruh negara, Nestle Malaysia khasnya jenama Milo berjaya mengumpul RM300,000 yang akan digunakan untuk menyediakan sarapan bagi golongan kurang bernasib baik melalui kerjasama Food Aid Foundation.

“Kerjasama kami dengan yayasan ini merupakan komitmen berterusan bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan kesihatan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia.

“Kami sedar bahawa setiap ahli masyarakat di negara ini berhak menikmati sarapan yang seimbang dan bernutrisi. Jadi, kami harap kutipan ini akan membantu masyarakat yang memerlukannya,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Food Aid Foundation, Rick Chee yang hadir menerima sumbangan daripada Milo, berkata, gabungan kerjasama dengan Nestle Malaysia adalah suatu usaha yang begitu membanggakan.

Katanya, hanya dengan menyertai acara larian, masyarakat terdorong untuk membantu menggerakkan satu usaha yang baik dan bermanfaat bagi golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, selain acara larian lima dan tiga kilometer, peserta turut berpeluang terlibat dengan pelbagai lagi aktiviti berkaitan sarapan bersama Milo.

Antaranya futsal, demonstrasi memasak dan menyediakan sarapan bernutrisi dengan mudah, selain memberi peluang kepada setiap peserta merasai menu sarapan yang disediakan oleh Milo sendiri.

Dimulakan pada 2013, Milo Malaysia Breakfast Day dianjurkan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menjadikan tabiat bersarapan dengan makanan bernutrisi sebagai gaya hidup yang baik.

Kempen sarapan terbesar di Malaysia itu merupakan sebahagian gerakan Milo Aktif Negaraku yang menyasarkan untuk menjadikan sekurang-kurangnya lima juta penduduk Malaysia mempunyai gaya hidup yang aktif.