Jika 14 tahun lalu AS telah menggunakan tuduhan palsu WMD sebagai asas untuk me­nyerang dan menjajah Iraq tanpa persetujuan ahli UNSC, maka hari ini senario politik UNSC sudah jauh berbeza. Ketika Powell mempamerkan bukti pemilikan WMD oleh Iraq, ucapan Powell pada ketika itu dinilai mempu­nyai asas kukuh kerana beliau ditafsir begitu yakin dengan bukti yang dikemukakan.

Berbeza pula dengan ucapan Haley sebagai Duta AS ke PBB yang antara lain mendakwa adalah menjadi hak kedaulatan AS untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai milik Israel, gaya bahasa badan Haley tidak begitu meyakinkan sebagaimana dipamerkan Powell.

Tetapi satu perkara menarik adalah Haley ada mencatat dalam akaun Twitternya bahawa AS sedia maklum kesemua 14 negara yang menyokong resolusi itu sebagai telah mengkhianati AS sebagai negara berdaulat. Ungkapan tersebut dianggap sebagai ugutan tersirat dari AS bukan sahaja terhadap 14 negara ahli UNSC tetapi kesemua 191 negara ahli PBB lain.

Sebagaimana ucapan Po­well yang terbukti mengandungi tuduhan palsu telah mencalar kredibilitinya bukan sahaja sebagai Setiausaha Negara AS tetapi juga martabat beliau sebagai Jeneral empat bintang angkatan tentera AS, kewibawaan AS dan juga Haley bakal tercabar sekali lagi pada hari ini (Khamis) apabila PBB mengadakan perhimpunan agung (UNGA) tergempar khusus untuk membincangkan status Baitulmuqaddis.

UNGA tergempar ini yang diusulkan oleh beberapa negara Arab dan Islam adalah ekoran daripada kegagalan resolusi UNSC kerana di veto oleh AS bakal membincangkan resolusi yang serupa tetapi kali ini berhadapan dengan 193 negara ahli termasuk AS dan Israel. Pentas UNGA memberikan hak sama kepada semua negara kerana AS, Perancis, United Kingdom (UK), China dan Rusia tidak mempunyai kelebihan kuasa veto.

Mesyuarat UNGA tergempar ini boleh diadakan apabila UNSC tidak mampu melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan sesuatu masalah dan apa yang berlaku beberapa hari lepas apabila kuasa veto AS telah menggagalkan resolusi Baitulmuqaddis ia dianggap sebagai tanggungjawab yang tidak disempurnakan.

Dalam sejarah PBB tidak banyak UNGA tergempar berlangsung kerana ia memerlukan dalil kukuh sebagai bukti UNSC telah culas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. UNGA tergempar hari ini adalah yang ke-11 dan kali terakhir UNGA tergempar berlaku adalah pada 2009 dan ironisnya isu juga berkaitan de­ngan status Baitulmuqaddis dan kegagalan UNSC mendepaninya.

Jika resolusi UNSC menyaksikan undian 14 menyokong tetapi digagalkan oleh satu kuasa veto AS, menarik untuk diperhatikan apakah ugutan Haley akan memberi kesan terhadap 191 negara ahli PBB (AS dan Israel pasti akan mengundi menolak) yang lain.

Walaupun resolusi PBB ini tidak mempunyai kekuatan perundangan seperti mana resolusi UNSC, tetapi jika sebahagian besar ahli PBB menyokong dan tidak banyak negara yang mengambil sikap berkecuali, maka kemenangan ini walaupun dianggap hanya mempunyai kekuatan moral tetapi bakal memberi implikasi geopolitik yang agak ketara.

Apabila Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengeluarkan Deklarasi Istanbul Selasa lalu yang antara lain menegaskan 57 negara ahli akan memutuskan hubungan diplomatik terhadap mana-mana negara yang menuruti jejak langkah AS memindahkan pejabat kedutaan ke Baitulmuqaddis, maka ia dianggap sebagai ugutan tersirat.

Menarik untuk diperhatikan apakah tindakan seterusnya 85 negara yang pada ketika ini mempunyai pejabat kedutaan di Tel Aviv kerana negara tersebut berhadapan dengan dua bentuk ugutan iaitu dari Haley dan juga OIC.

Sebelum AS mengguna kuasa veto di UNSC kewibawaan negara kuasa besar ini sememangnya te­lah tercalar kerana banyak negara termasuk sekutu kuat mereka sentiasa sangsi dengan bukti dan hujah yang dikemukakan AS.

Minggu lepas Haley telah me­ngadakan sidang akhbar untuk membuktikan Iran telah me­nyalurkan peluru berpandu kepada kumpulan Houthi di Yemen. Jika Powell 14 tahun lalu hanya menggunakan bukti berbentuk rajah grafik untuk menuduh Saddam memiliki WMD, Haley pula menggunakan bukti serpihan peluru berpandu Qiam buatan Iran.

Tetapi kebanyakan pemimpin negara Eropah termasuk sekutu kuat AS tidak terpengaruh dengan bukti yang dipamerkan kerana menurut mereka bukti tersebut tidak menjurus secara langsung penglibatan Iran.

Kesangsian pemimpin negara Eropah ini terbit daripada curiga dengan niat sebenar mengapa AS cuba mengaitkan penglibatan Iran bukan kerana faktor Yemen tetapi lebih kepada percubaan AS untuk menggagalkan perjanjian pembangunan nuklear yang telah dimeterai Iran dengan AS, UK, Perancis, Rusia, China dan Jerman.

Pendirian pemimpin Eropah mengenai hal peluru berpandu Iran yang tidak selari dengan AS adalah satu tamparan kepada kewibawaan kepemimpinan AS dan begitu jua undian UNGA tergempar mengenai Baitulmuqaddis hari ini akan menambahkan lagi persepsi begitu tercalarnya kewibawaan AS di arena antarabangsa.