Pada kebiasaannya episod seterusnya akan disiarkan pada minggu hadapan, tetapi drama kali ini begitu cepat episod baharu tampil apabila salah seorang yang terlibat di dalam adegan tidak bermoral itu tampil membuat pengakuan.

Haziq Aziz mengaku dia adalah individu yang terlibat dan meminta SPRM menyiasat perkara tersebut. Yang anehnya apa kaitan seks songsang dengan SPRM kerana ia lebih kepada bidang kuasa polis dan majlis agama.

Timbul persoalan siapa yang memainkan dan menjadi pengarah di sebalik tabir dalam babak drama yang songsang serta aneh ini.

Serentak itu juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Facebook rasminya memuat naik video makan bertih jagung yang kemungkinan besar beliau seperti seluruh rakyat Malaysia sedang teruja bercampur gelisah menyaksikan drama terbaharu.

Insiden ini mengingatkan kembali saya kepada peristiwa yang berlaku pada tahun 1998 di mana ketika itu tersebar buku berjudul 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Layak Menjadi Perdana Menteri.

Buku berkenaan pada mulanya dianggap remeh, hinggalah apabila polis mengeluarkan amaran akan menangkap sesiapa yang mengedar buku berkenaan dan mulai menyiasat kandungannya dan telah disusuli dengan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dituduh dengan tuduhan salah guna kuasa serta terlibat dengan seks songsang.

Insiden kecil penerbitan buku pada asalnya dianggap sebagai sebahagian daripada sandiwara politik, tetapi akhirnya telah mengubah landskap politik negara sehingga ke hari ini.

Ekoran kejadian itu itulah ahli keluarga Anwar dan penyokongnya telah menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini menjadi salah sebuah parti komponen yang memerintah negara.

Masih segar diingatan negara disajikan dengan drama tilam yang diusung keluar masuk mahkamah dan mata lebam Anwar. Itu belum lagi kisah rektum dan sebagainya.

Begitu juga skandal 1MBD, pada mulanya dianggap remeh dan tidak dilayan, bahkan dipandang sepi oleh pemerintah sebelum ini dengan meletakkannya di tahap ke-10, tetapi akhirnya isu inilah yang meruntuhkan Barisan Nasional (BN) selepas memerintah negara ini selama 60 tahun.

Oleh itu pada jangkaan saya drama ini jauh daripada mencapai kemuncaknya, naratifnya akan berjalan lebih panjang dan lebih panas.

Jadi dalam tempoh beberapa hari ini mungkin ramai yang tidak dapat tidur nyenyak, apatah lagi dalam era ledakan maklumat, anda mungkin dikejutkan oleh rakan atau pasangan kerana episod baharu drama ini telah dilancarkan dan semakin panas serta mengejutkan. - UTUSAN ONLINE