Perbuatan ini menggambarkan sikap tamak pengusaha malah juga kejahilan mereka dalam menghormati agama dan budaya masyarakat di negara ini. Kejadian seperti ini jika tidak diben­dung akan mengundang keresahan dan mengancam kesejahteraan masyarakat.

Banyak contoh kejahilan memahami perkara seperti ini di Malaysia yang dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri. Sebelum ini, sebuah syarikat luar negara yang membuka operasi dim sum berasaskan daging babi secara terang-terangan dilaporkan me­nyalahkan rakyat negara ini yang beragama Islam kerana kerugian yang dialaminya sehingga menutup operasi perniagaannya yang disangkal oleh pelbagai pihak terutamanya dalam kalangan bukan Islam sendiri yang menggambarkan ketidakfahaman mereka terhadap amalan agama rakyat negara ini.

Sedikit masa lalu, pengusaha restoran makanan segera yang menjual makanan tidak halal kepada umat Islam menamakan menunya dengan nama seniman agung negara yang mengundang kemarahan dan bantahan pelbagai pihak. Malah terdapat negeri yang membenarkan penjualan daging babi di tepi jalan secara terbuka sejak sekian lama tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam yang ada. Sekarang ini pun terdapat banyak restoran yang menjual daging salai babi di kompleks perniagaan.

Umat Islam juga perlu menjadi contoh dalam menghormati bukan Islam. Berapa banyak umat Islam hari ini misalnya yang menyediakan juadah daging lembu untuk sahabat handai beragama Hindu yang datang meraikan Aidilfitri tanpa memikirkan pe­rasaan mereka.

Maklumat dan pendidikan untuk kita lebih memahami pelbagai taboo dan sensitiviti pelbagai agama dan budaya ini semakin jarang diketengahkan. Proses pendidikan perlu berlaku untuk untuk memastikan semua pihak memahami dan menghormati prinsip kesejahteraan masyarakat yang ada. Pihak yang berwajib dan berautoriti juga perlu menggunakan sepenuhnya saluran yang ada termasuk media sosial untuk tujuan ini.

Dalam soal tegahan Islam untuk umatnya memelihara anjing misalnya, adalah ditujukan kepada umat Islam tanpa melibatkan mereka daripada agama dan budaya yang berbeza. Ada rakan yang membangkitkan isu ini kepada penulis. Penulis memberitahunya, larangan itu hanya dalam kalang­an umat Islam, itu pun jika ada keperluan yang mendesak, umat Islam dibolehkan memelihara anjing. Namun kepada sahabat yang bukan Islam, mereka bebas berbuat demikian asal sahaja tidak mengganggu ketenteraan awam.

Budaya membentuk kita untuk menghormati setiap larang­an, tegahan dan peraturan yang melibatkan bangsa, kaum, budaya atau agama yang berbeza. Malah juga dalam kalangan umat Islam sendiri, misalnya pada bulan Ramadan walaupun umat Islam yang dibenarkan tidak berpuasa atas alasan yang dibenarkan oleh agama, termasuk dalam kalangan orang sakit atau wanita yang datang haid, ditegah makan di khalayak ramai demi menghormati mereka yang berpuasa. Kanak-kanak yang belum wajib berpuasa pun, dididik supaya menghormati mereka yang ber­puasa dan tidak dibenarkan makan di khalayak ramai.

Di sekolah pun, rakan-rakan beragama lain yang tidak berpuasa dididik untuk menghormati rakan-rakan yang berpuasa dengan tidak menjamu selera di depan mereka. Hal ini membentuk satu budaya yang sama di dalam masyarakat.

Malangnya, hari ini, anjuran seperti ini bukan sahaja tidak lagi menjadi amalan dalam kalangan bukan Islam, malah juga dalam kalangan umat Islam sendiri. Ramai yang sudah lupa prinsip ini dan tidak kisah apabila anak-anak dan mereka yang dibenarkan tidak berpuasa makan di khala­yak ramai. Penulis pernah melihat keluarga Islam dengan anak-anak yang bertudung, makan tanpa perasaan bersalah di restoran terbuka pada bulan puasa.

Sedikit masa lalu, ditularkan rakaman percakapan telefon seorang beragama Hindu dengan guru beragama Islam kerana me­lakukan ibadah korban secara terbuka di sebuah sekolah kebangsaan, yang dikatakannya tidak menghormati agama.

Demi kesejahteraan masya­ra­kat terpelihara, sensitiviti agama dan budaya perlu dijaga, elakkan melakukan perkara yang boleh menimbulkan keresahan kepa­da pengamal agama lain de­ngan saling hormat menghormati antara satu sama lain, bersikap tolak ansur dan mencari jalan yang le­bih baik dalam melakukan sesuatu amalan agama selagi bukan berkait soal prinsip, ketauhidan dan kepercayaan yang ada.

Memperkasa undang-undang dan peraturan Islam misalnya, tidak perlu dibimbangkan oleh penganut agama lain jika dinyatakan dengan jelas, yang terlibat hanya umat Islam seperti mana umat Islam ditegah mencampuri urusan agama lain, selagi tidak mengancam akidah. Umat Islam sendiri bertanggungjawab memastikan pengikutnya tidak mudah terikut dan dipengaruhi oleh orang lain. Agama mengajar kita bahawa, “bagimu adalah agamamu dan bagiku adalah agamaku” sebagai prinsip dalam amalan ber­agama dan berbudaya.

Kejadian seperti mencampurkan daging halal dengan yang haram adalah perbuatan keji yang menimbulkan keresahan kita se­mua. Sikap tamak dan tidak menghormati agama dan budaya seperti ini harus dihentikan segera. Sampai bila masih tidak hormat?

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pusat Transformasi Insan, Universiti Sains Malaysia (USM).