Namun sambutan kali pertama ini nampaknya agak tercalar berikutan hatrik yang tercipta berikutan kerjasama UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

Dan yang terbaru, seperti dijangka Timbalan Presiden yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dengan bergaya.

Walaupun dijangka, hakikatnya apa lagi yang tidak boleh digapai jika UMNO, BN dan Pas tidak berfikir, bekerja dan bermimpi sebagai pembangkang.

Ternyata momentum kini begitu terserlah dan ada pihak mula berasa goyang, gerun, malah sakit hati melihat pembangkang kini berfungsi seperti sepatutnya.

Memang pada awalnya kelihatan sesetengah ahli UMNO dan BN sendiri ada yang seperti hilang arah malah hilang akal setelah kalah PRU-14.

Yalah, tidak pernah termimpi akan jadi pembangkang. Malah ada waktunya pula pernah terfikir tak dapat jadi kerajaan penuh, semi kerajaan pun bolehlah.

Melompat parti yang memberi habuan lebih atau bekerjasama dengan mereka yang dilihat mempunyai masa depan cerah antara option terhasil hanya demi kelangsungan kuasa dan tembolok sendiri.

Ini antara cerita sedih pembangkang pada peringkat awal hilang kuasa. Mereka ini umpama anak ayam kehilangan ibu tetapi berkelakuan seperti harapkan burung terbang tinggi, tetapi punai di tangan dilepaskan.

Langkah bijak

Namun melihat semangat sebagai pembangkang yang semakin pulih dan terserlah berdasarkan kepada keputusan dicapai sejak Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, hasil kesepaduan sebagai pembangkang membuahkan hasil lumayan. Malah semakin hari ia semakin membuak.

Maka mulalah ada pihak tertentu mahu merencatkan kesepakatan politik yang semakin mantap. Namun walau apa pun usaha dilakukan untuk menggagalkan rentak kemenangan BN ini, perlu di ingat musuh paling utama bukan kerajaan mahupun Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Paling perlu ditakuti ketika ini adalah musuh dalam selimut yang cuba mengintai peluang untuk merosakkan kesepakatan dan momentum telah dicipta. Mungkin mereka ini tidak sedar atau sengaja bersikap sedemikian.

Atau mereka ini tidak mahu belajar daripada kesilapan. Tidak mustahil juga mereka ini sengaja bersikap campak baju nampak kurap.

Paling penting sebagai pembangkang, rasa bongkak dan besar diri berikutan rasa diri semakin gagah, popular dan diterima ramai bukanlah langkah bijak seorang laksamana berhadapan peperangan getir.

Sikap sebegitu umpama mendedah kelempuran diri kepada umum. Yang pasti UMNO, Pas dan BN kini semakin diterima dan di laluan lurus setelah melalui proses muhasabah diri walaupun dalam keadaan berkocak.

Apatah lagi mereka semakin banyak belajar, kesali kesilapan lalu dan mula bersikap rendah diri.

Perpaduan UMNO dan Pas serta komponen BN kini menjadi matlamat dan azimat yang dipelajari hasil “tersembam” setelah PRU.

Integriti yang terpalit

Ia umpama azimat dan pedoman bagi UMNO dan BN. Malah ia turut menjadi punca gerakan UMNO, BN membersih diri daripada wabak rasuah yang menyelubungi sekian lama.

Semua juga maklum bagaimana Mohamad Hasan atau lebih popular sebagai Tok Mat berusaha gigih memulihkan parti yang semakin hilang serinya itu.

Daripada parti dituduh tegar rasuah, integriti yang terpalit, dan dicap sombong serta bongkak kini ia semakin meniti realiti yang semakin bugar dan kembali diterima.

Usaha Tok Mat ini tidak ada sesiapa boleh nafikan dan jangan ada pihak cuba menangguk di air keruh mendabik diri hero.

Sedarlah jika diri terpalit pertuduhan jangan dirosakkan parti yang baharu saja keluar Unit Rawatan Rapi (ICU) ini.

Kalau boleh semua yang terpalit pelbagai tuduhan tidak kira siapa apatah lagi namanya tercemar teruk, perlu pinggir diri dari UMNO dan BN supaya kembalinya nanti lebih bergaya dan bersih dari segala malapetaka silam.

Secara hakiki, kesipuan lawan yang semakin terdesak dan mula mencari realiti sebenar setelah genap setahun memerintah memang semakin terserlah. Namun ia bukan bererti PH sudah hilang arah, jauh sekali semangat.

Kuasa dan pengaruh sebagai kerajaan berada di tangan mereka. Malah PRU pun lama lagi, macam-macam boleh berlaku dan tiada siapa berani menyeka siapa bakal memerintah dan siapa tersungkur selepas ini.

Cumanya nak menukar jati diri pembangkang yang telah tersemat sejak azali kepada kerajaan sememangnya sukar dan mengambil masa.

Dan tidak mustahil bagi PH untuk bangkit semula dan belajar dari kesilapan yang berlaku, mungkin akibat terlebih mabuk kuasa dan harapnya cuma seketika.

Namun bagi pembangkang elak sikap, biar sampai bersalam, jangan pula pulang berterajang. Jagalah perpaduan yang tercipta ini ini demi masa depan semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa.

Jangan ulangi kesilapan lalu dan elakkan habis madu sepah dibuang.