Umum mengetahui kesan utama daripada pembuangan sampah secara berleluasa ini memberi impak yang besar kepada alam sekitar kerana menyebabkan pencemaran alam. Pencemaran ini secara tidak langsung menjadi satu punca kepada masalah ketidakseimbangan ekosistem. Kesan kepada ketidakseimbangan ekosistem ini menyebabkan kualiti udara tidak sihat, keadaan cuaca tidak menentu, pemanasan global dan lain-lain lagi.

Di negara ini, penyumbang kepada pembuangan sampah lebih tertumpu di kawasan bandar berbanding di kawasan luar bandar. Ini disebabkan oleh cara hidup penduduk di kawasan bandar yang lebih moden. Sebagai contoh, disebabkan kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk keluarga, mereka cenderung untuk membeli makanan dari luar yang rata-rata menggunakan plastik atau kertas untuk membungkus makanan.

Kebanyakan masyarakat di Malaysia sering membuang sampah merata-rata. Ekoran itu kita dapat melihat sampah di mana-mana sahaja tidak kira di rumah, pejabat, kedai, taman rekreasi dan seumpamanya. Hal ini terjadi kerana kurangnya rasa tanggungjawab sesetengah masyarakat terhadap alam sekitar.

Jika ini dibiarkan secara berte­rusan, ia akan menyebabkan kea­daan sekeliling berbau dan akan menarik haiwan perosak seperti lalat dan tikus. Secara tidak langsung boleh membawa penyakit seperti taun. Selain itu, takungan air di kawasan pembuangan sampah boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Keadaan ini akan menjadi punca penyakit demam denggi yang boleh mengundang maut kepada manusia.

Selain impak kepada alam sekitar, salah satu daripada kesan pembuangan sampah sarap merata-rata boleh menyebabkan keindahan satu-satu kawasan itu terjejas. Ia juga boleh memberi gambaran bahawa penduduk di kawasan berkenaan tidak menjaga kebersihan walaupun hanya dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Reputasi sesebuah negara juga boleh tercemar disebabkan oleh masalah pembuangan sampah sarap secara berleluasa.

Pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masalah pembuangan sampah ini antaranya memperkenalkan konsep reduce, reuse and recycle (3R) iaitu meminimumkan atau me­ngurangkan, gunakan semula dan kitar semula sampah sarap. Contoh langkah yang diambil sekarang adalah seperti ‘hari tiada beg plastik’ di beberapa pasar raya bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah jenis plastik. Budaya hijau turut ditekankan yang meliputi pelbagai bidang seperti bangunan hijau, rekaan hijau, pemasaran hijau dan lain-lain lagi bagi melestarikan alam sekitar.

Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi menjamin kesejahteraan hidup masa kini serta generasi akan datang. Kerjasama daripada pelbagai pihak ini diharapkan dapat mengatasi masalah berkenaan hingga ke akar umbi.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.