Tidak dinafikan bahawa bukan mudah untuk sampai ke destinasi kampung halaman masing-masing ­menjelang hari raya. Kebiasaannya kesesakan jalan raya berlaku di mana-mana termasuklah di jalan-jalan kampung. Pengalaman-pengalaman lepas menunjukkan ada yang terpaksa mengambil masa berbelas-belas jam untuk sampai ke kampung sedangkan biasanya tidak sampai lapan jam atau kurang daripada itu.

Pun begitu, semuanya itu ditempuhi dengan sabar kerana semangat untuk bersama keluarga di hari raya begitu membuak-buak. Kesesakan lalu lintas di musim perayaan sudah menjadi rutin atau agenda tahunan. Apa yang penting, dapat pulang ke kampung masing-masing walaupun terpaksa mengharungi kesesakan yang menguji kesabaran dan ditambah pula dengan keletihan berpuasa.

Dan diharapkan semangat sebegini akan berterusan sampai bila-bila. Justeru, anak-anak mestilah diberi pendedahan bahawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bertemu keluarga dan sanak saudara adalah begitu ­penting setiap kali Aidilfitri. Hari raya adalah waktu yang sesuai untuk merapatkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan. Jika selalunya pada hari lain kita semua sibuk dengan ­kerja dan urusan masing-masing, hari raya adalah hari untuk berkumpul bersama keluarga.

Maka apabila menziarahi sanak saudara, anak-anak juga mestilah dibawa bersama agar mereka dapat merasakan hari raya yang sebenar bukan hanya duduk di depan televisyen sambil bermain gajet.

Anak-anak jangan digalakkan mengisi hari raya mereka sebegitu sedangkan semua itu boleh dilakukan pada waktu-waktu lain. Tidak ada gunanya mereka pulang ke kampung jika tidak memenuhi waktu dengan aktiviti-aktiviti yang ­lazimnya dilakukan pada hari raya,

Dalam pada itu, perlu juga ditekankan bahawa hari raya bukan hari untuk melakukan pembaziran. Hari raya mestilah disambut dengan sederhana dalam setiap aspek supaya pengertiannya tidak terbabas sehingga boleh menjejaskan matlamat asalnya.

Hari raya bukanlah pesta makan minum sehingga membawa kepada lebihan makanan yang melampau dan terpaksa dibuang. Penyediaan makan minum biarlah ala kadar. Orang dulu-dulu, mereka hanya menyediakan ketupat, lemang, rendang dan dua atau tiga jenis biskut raya, dan ia sudah menepati sambutan hari raya kerana makanan tersebut sudah sinonim dengan hari raya.

Bagaimanapun, hari ini, pelbagai jenis juadah disediakan sehingga tidak muat meja dan ada pula beberapa meja tambahan. Tidak cukup dengan apa yang dibuat sendiri, ada yang membelinya dengan jumlah yang banyak sehinggakan kuih tersebut masih ada lagi pada Hari Raya Aidiladha akan datang.

Sepatutnya, kesederhanaan menyambut hari raya ditekankan dalam setiap majlis atau penganjuran rumah terbuka yang sudah mula menjadi satu tradisi masyarakat kita. Baik di bandar mahupun di kampung-kampung, rumah terbuka sering dianjurkan dan apa yang menjadi masalahnya, pembaziran tetap berlaku kerana banyak makanan yang tidak habis dibuang tanpa rasa bersalah.

Bagaimanapun, setiap kali hari raya, apa yang penting adalah bermaaf-maafan dan mengunjungi antara satu sama lain. Ini mestilah diutamakan bukannya persediaan raya yang melampau-lampau sehingga membelanjakan wang yang menjejaskan perbelanjaan penting lain.

Golongan muda mestilah menziarahi golongan tua, bermaaf-maafan dan menghulurkan sedekah kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Pulang berhari raya bukanlah satu pembaziran tetapi mengisi sambutan hari raya itu boleh disederhanakan untuk mengelakkan pembaziran.