Dengan semangat inilah kita sepatutnya menyambut tahun baharu 2019 sekali gus menghitung hari untuk 2020. Sungguhpun negara ini telah melalui episod getir sejak menerjah alaf baharu, kini kita akan terpaksa mengharungi keadaan yang semakin sengit. Orde baharu dunia yang dikatakan zaman tanpa sempadan ternyata kini kita berdepan dengan asakan untuk dijajah semula dalam bentuk baharu.

Mahu tidak mahu setiap warga harus bersiap untuk menghadapi realiti yang jauh lebih kompleks. Ekonomi yang semakin tidak menentu, persaingan politik yang sangat sengit, keselamatan dunia yang semakin mencabar, ekologi alam yang sudah membalas akibat kerakusan manusia.

Di tingkat dunia, 2018 masih dipenuhi realiti yang sangat meruncing. Penderitaan yang berlaku sepanjang 2018 adalah buatan manusia sendiri dan dengan itu sepatutnya boleh dielak. Akan tetapi dunia terus bergolak. Dunia dibentang dengan ketegangan politik bernatijahkan perang, penafian hak dan kebuluran, akibat pertelingkahan dan perebutan kuasa antara pemimpin dan antara negara.

Ada negara yang terus berlagak samseng cuba memaksa kehendaknya ke atas penderitaan negara yang lain. Menolak hak sehingga menindas negara yang dianggap hamba kepada kuasanya. Dengan sebab itu pada 2018, peperangan terus meruncing di Syria, Yemen, Afghanistan, Iraq, Nigeria, Libya, Palestin. Sementara itu Iran menjadi sasaran Israel dan Amerika Syarikat (AS).

AS dan Arab Saudi pula melakukan deal of the century. Arab Saudi pula mencetuskan permusuhan dengan Qatar, manakala menjalinkan hubungan dengan Israel, China dan Korea Utara bertegang dengan AS . Myanmar terus berdegil menindas etnik Rohingya, China menekan etnik Uighur, Ukraine bergolak, United KIngdom lelah dengan isu Brexit, manakala rakyat AS terpaksa menghadapi kerenah seorang presiden yang berwatak samseng dunia.

Muhasabah

Manakala di Malaysia perubahan politik Pilihan Raya Umum -14 (PRU-14) menjadi peristiwa paling utama berlaku pada 2018. Banyak perbahasan politik tercetus sejak 9 Mei 2018. Tindakan pendakwaan di mahkamah ke atas mereka yang menyalah guna wang negara juga menarik perhatian seluruh rakyat.

Peristiwa rusuhan di kuil di Seafield, Subang Jaya adalah detik hitam paling mencemaskan pada hujung 2018. Sesungguhnya 2018 menampilkan pentas yang sangat panas di medan politik negara. Pergolakan debat dan saling berhujah melalui media dalam antara parti politik sepanjang 2018 telah menjadikan catatan sejarah negara penuh insiden tegang dan mencabar.

Dalam kesempatan ini kita merenung segala peristiwa yang berlaku di Malaysia dan seantero dunia. Tahun demi tahun beragam episod kehidupan dilalui. Bagi yang menghargai setiap detik kehidupan, menyambut 2019 merupakan kesempatan untuk bermuhasabah. Banyak yang telah berlaku, ada yang dirancang dan menjadi kenyataan.

Apa yang penting ialah bertanya apakah yang telah direncanakan sepanjang 2018 untuk menambah baik kualiti kehidupan masing-masing telah dicapai? Malah apakah yang dilakukan untuk memperbaiki kualiti keinsanan sepanjang tahun yang berlalu menjadi realiti? Sebagai seorang Muslim, muhasabah adalah akhlak yang mulia jika diniatkan untuk menjadi hamba yang semakin dekat dengan Allah SWT.

Adapun sebagai warga Malaysia, menilai prestasi diri serta mengukur pencapaian kerja, muhasabah penting untuk meneliti apa yang telah disumbang untuk memajukan tanah air. Apapun kita harus belajar menghargai apa yang kita peroleh dan apa yang ada pada diri kita. Sangat malang segala kesejahteraan dan kemakmuran negara disia-siakan.

Hakikatnya masih ramai pula yang tidak kisah dengan perginya 2018 dan datangnya 2019. Ada yang merasa bahawa tidak memberi sebarang makna untuk menilai masa lalu dan apa yang diharapkan seterusnya. Barang diingatkan, masa, sama ada sedetik, sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun, semuanya adalah amanah Allah SWT yang perlu dijawab sejauh mana digunakan untuk mencapai keredhaan-Nya.

PENULIS ialah Presiden Teras 
Pengupayaan Melayu.