Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PERTENGAHAN bulan lalu, satu rang undang-undang baharu diperkenalkan di Dewan Senat California, Amerika Syarikat yang membolehkan saman dikenakan mengikut kadar pendapatan individu khususnya yang berpendapatan rendah.

Peruntukan baharu itu meliputi kesalahan trafik ringan tetapi denda untuk kesalahan berat seperti memandu ketika mabuk dan pemanduan secara berbahaya tidak berubah.

Penyokong rang undang-undang tersebut mendakwa pelaksanaannya dapat mengelak pemandu memandu tanpa lesen ataupun terpaksa mencari kaedah lain untuk ke tempat kerja selepas lesen mereka digantung.

Di Malaysia, sekumpulan peniaga di Pulau Carey dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Selasa lalu, selepas dikesan mengenakan caj ikan dan sayuran berbeza mengikut kenderaan pelanggan mereka.

Jika menggunakan kenderaan biasa, cajnya lebih murah sementara yang menggunakan kereta mewah dikenakan harga lebih tinggi. Apa kaitan antara ke­dua-duanya?

Dalam hal perundangan trafik di negara ini, boleh dikatakan peruntukan undang-undang khususnya berkaitan saman dan kompaun sudah terlalu kuno dengan kadar sama dikekalkan sejak lebih 20 tahun lalu.

Saman atau kompaun maksimum masih kekal RM300 sama ada bagi polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan unit beruniform lain yang memantau kesalahan trafik.

Persoalannya, adakah kadar RM300 masih munasabah sebagai satu pengajaran supaya pemandu di negara ini tidak mengulangi kesalahan sama kelak? Mungkin berkesan bagi golongan berpendapatan rendah atau sederhana rendah tetapi bagi golongan berpendapatan tinggi atau sederhana tinggi, saman RM300 ha­nya menjadi bahan jenaka dan langsung tidak membuatkan mereka gentar.

Dari sudut perkembangan perundangan di California itu, sasarannya adalah berlaku adil terhadap mereka yang berpendapatan rendah khusus bagi kesalahan trafik ringan.

Bagi kes di Pulau Carey pula, orang kaya memang perlu bayar lebih tetapi saya maksudkan khusus saman bagi kesalahan trafik.

Idea ini pernah dikemukakan seorang pembaca dalam ruangan Forum Utusan Malaysia sebelum ini tetapi tidak diendahkan mana-mana pihak.

Negara kita sudah ada sistem perangkap kamera, sistem penguatkuasaan automatik (AES), Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara), aplikasi pintar aduan terhadap teksi, lori dan bas malah semakin ramai pemilik kenderaan memasang kamera dashcam.

Namun, masih ada pemandu mabuk sondol ‘bontot’ kereta peronda polis, langgar penguat kuasa, memandu di lorong kecemasan, memecut sehingga lebih 200 kilometer sejam, berlumba haram, memandu melawan arus dan kesalahan berat lain.

Jelas sekali kadar saman RM300 tidak lagi sesuai. Bagaimanapun, perkara ini bukannya di tangan penguat kuasa sebaliknya penggubal undang-undang di Parlimen.

Saya menyokong saranan RM300 bukan lagi saman maksimum tetapi minimum bagi semua jenis kesalahan (kecuali kesalahan ringan) dengan semua saman dan kompaun kesalahan trafik perlu mengikut jenis kesalahan dan nilai semasa kenderaan pesalah.

Kenapa nilai semasa kenderaan? Pendapatan individu sebenarnya sangat mudah dimanipulasi sehinggakan ramai yang tidak layak tetapi masih menerima bantuan se­perti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Bagaimanapun, jenis dan nilai kenderaan adalah garis panduan lebih adil dalam menetapkan kadar saman trafik supaya menjadi pengajaran kepada pemilik kenderaan tersebut.

Tetapkan saman satu peratus daripada nilai semasa kenderaan atau RM300, yang mana lebih tinggi sebagai nilai saman seperti mana hukuman pesalah rasuah.

Ini bermakna pemilik kenderaan berharga RM150,000 perlu membayar saman RM1,500 bagi setiap kesalahan trafik yang berat sementara mereka yang baharu membeli kereta berharga RM60,000 boleh dikenakan denda RM600.

Mereka yang tidak berkemampuan dan hanya menggunakan ‘kereta buruk’ pula membayar kadar RM300 bagi kesalahan berat atau kurang daripada itu bagi kesalahan ringan.

Kata kuncinya adalah saman biar adil, bukan sekadar menghabiskan kertas saman semata-mata.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain