Skripal adalah seorang double agent (ejen dua-muka), berjaya mengkhianati berpuluh-puluh ejen Rusia kepada perisikan Bri­tish sebelum ditahan di Moscow pada 2004. Dia dijatuhi hukuman 13 tahun penjara dan setelah dibebaskan mendapat perlindu­ngan di Britain pada 2010.

Skripal dan anak perempuannya dipercayai menjadi mangsa serangan toksin (agen saraf dikenali sebagai Novichok) buatan Rusia. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital dan kini masih lagi dalam keadaan kritikal.

Sarjan Nick Bailey, iaitu orang pertama hadir di tempat Skripal dan Yulia ditemui untuk menjalankan siasatan, juga terkesan dengan toksin itu dan masih dalam keadaan serius di hospital walaupun dia kini sudah sedar, boleh duduk dan bercakap.

Menurut akhbar The Telegraph, toksin itu diletakkan dalam bagasi Yulia sebelum dia meninggalkan Moscow. Akhbar itu me­nyatakan bahawa penyiasat British kini sedang menilai satu teori bahawa toksin itu diletakkan sama ada dalam pakaian, kosmetik atau hadiah yang dibawa dalam bagasi Yulia dan kemudian dibuka setibanya ke rumah bapanya di Salisbury.

Mengikut akhbar Times pula, polis Britain sedang menyiasat sama ada anak perempuan Skripal yang tiba di Britain dari Moscow minggu lalu ada secara tidak sengaja membawa agen saraf itu sebagai hadiah.

Pada sesi mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada malam Rabu 14 Mac lalu, perwakilan Amerika Syarikat menyatakan ia percaya Rusia bertanggungjawab dengan serangan toksin ejen saraf itu sementara perwakilan Britain pula meminta Pertubuhan Pencegahan Senjata Kimia (Organization for the Prevention of Chemical Weapons, OPCW) menjalankan siasatan untuk mengenal pasti toksin tersebut.

Pada Khamis 15 Mac lalu, Perdana Menteri Britain Theresa May mengumumkan di Parlimen bahawa Britain akan mengusir 23 orang diplomat Rusia yang bertugas di negara itu. Beliau juga menyatakan cadangannya untuk membekukan aset Rusia di negara itu yang dianggap mengancam keselamatan serta meluluskan satu undang-undang baharu untuk mengatasi kegiatan risikan negara asing. Beliau juga menyatakan akan mempertimbangkan semula penyertaan Britain dalam Piala Dunia di Rusia nanti.

May menegaskan bahawa pengusiran besar-besaran itu terpaksa dilakukan kerana Rusia tidak mempedulikan permintaan Britain untuk ‘memberi penjelasan’ bagaimana agen saraf yang dihasilkan di Rusia itu boleh digunakan dalam serangan di Salisbury itu. Rusia telah diberi tempoh sehingga malam Selasa (13 Mac) untuk memberi penjelasannya. “Reaksi Rusia tidak mempedulikan permintaan Britain jelas menunjukkan penghinaan terhadap insiden yang berlaku,” kata May lagi.

Rusia menafikan terlibat dalam serangan ke atas bekas perisiknya itu. Ia menyifatkan tindakan Bri­tain mengusir diplomatnya sebagai satu tindakan kurang bijak yang boleh mengancam hubu­ngan diplomatik antara kedua-dua negara. Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menegaskan Moscow tidak bersalah dalam insiden serangan itu sebaliknya bersedia bekerjasama dengan London. Namun Britain dikatakan telah menolak permintaan Rusia untuk mendapatkan sampel agen saraf tersebut.

Menteri Industri Rusia, Denis Manturov berkata, Moscow telah memusnahkan semua senjata kimia era Soviet termasuk Novichok pada tahun lalu dan tidak boleh dipertanggungjawabkan mengenai serangan ke atas Skripal. “Kita tidak ada apa-apa senjata kimia,” katanya kepada agensi berita Interfax.

Tindakan Britain mengusir diplomat Rusia itu mendapat sokongan sekutunya Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Angela Merkel, Canselor Jerman mengesahkan beliau menyokong tindakan Theresa May itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Britain, Amber Rudd, memberitahu wartawan walaupun banyak pihak membuat spekulasi Rusia ada memainkan peranan dalam serangan di Salisbury itu, hakikatnya masih terlalu awal untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Sebaliknya, pihak polis wajar diberi masa dan ruang secukupnya untuk menentukan fakta berhubung kes itu.

Pada Sabtu 17 Mac lalu, Rusia bertindak balas mengusir 23 diplomat British dari negara itu. Kementerian Luar Rusia menyatakan diplomat Britain di Rusia diberi tempoh selama seminggu untuk meninggalkan negara itu.

Ketua pegawai perubatan England, Dame Sally Davies mengesahkan bahawa kesan toksin berkenaan ditemukan dalam sebuah pub (The Mill) dan restoran (Zizzi) yang dikunjungi Skripal dan anak perempuannya pada Ahad 4 Mac itu. Beliau menambah bahawa 500 orang telah mengunjungi pub dan restoran pada hari tersebut.

“Ada kesan pencemaran oleh agen saraf di kedua-dua tempat itu. Saya yakin ia tidak membahayakan kesihatan sesiapa yang berada dalam dua premis itu,” katanya. Namun, dia menasihatkan mereka yang berada dalam restoran atau pub berkenaan pada Ahad itu sehingga premis ditutup pada Isnin berikutnya (5 Mac) untuk segera mencuci pakaian dan barangan mereka ketika berada di situ pada masa itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Undang-undang antarabangsa yang mengawal hubungan diplomatik antara sebuah negara de­ngan negara lain terkandung dalam Konvensyen Vienna Me­ngenai Hubungan Diplomatik 1961.

Di bawah Artikel 9, ada di­nyatakan bahawa negara yang menerima (receiving State) seorang diplomat asing itu boleh pada bila-bila masa, tanpa menyatakan apa-apa sebab, memaklumkan negara yang menghantar (sending State) bahawa diplomatnya adalah persona non grata. Jika ini berlaku, negara yang menghantar hendaklah memanggil diplomat itu pulang ke negara asalnya ataupun (sebagai tindakan pilihan) menamatkan perkhidmatannya.

Di bawah Artikel 43 pula, sebaik sahaja seorang diplomat asing dimaklumkan bahawa dia adalah persona non grata di negara yang menerima (dalam bahasa mudah, diusir keluar), tugasnya serta kedudukannya sebagai diplomat negara yang menghantar berakhir. (http://legal.un.org/ilc/texts/instruments/english/conventions/9_1_1961.pdf)

Sejumlah 33 orang diplomat Rusia yang diusir minggu lalu oleh Britain merupakan hampir separuh anggota diplomat kuasa besar itu di Britain, iaitu 58 orang. Kali terakhir Britain membuat pengusiran besar-besaran adalah 30 tahun lalu.

Persoalan sama ada konflik diplomatik ini akan segera berakhir atau akan berlanjutan hingga timbul kembali perang dingin antara dua kuasa besar, hanya masa akan menentukan. Pas­tinya tidak ada faedah bagi kedua-dua negara jika perang dingin ini dibiarkan hingga menyebabkan Perang Dunia Ketiga.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.