Sebelum penemuan mayat bayi berkenaan, satu laporan polis dibuat bapa bayi tersebut setelah mendakwa anaknya diculik seorang lelaki dari rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

Tidak tercapai dek akal fikiran manusia bagaimana tergamak suspek melakukan tindakan sekejam itu terhadap seorang bayi. Sehingga artikel ini ditulis, siasatan masih dijalankan. Pengasuh terbabit yang berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya kini ditahan reman pihak polis.

Seperti biasa, selepas viral kisah menyayat hati seumpama ini melibatkan bayi yang ditinggalkan di rumah penga­suh, ramai netizen akan membuat andaian masing-masing. Ramai juga yang mula mencari salah itu dan ini.

Yang paling tidak adil apabila mahu menyalahkan ibu bapa. Sedangkan merekalah orang yang menanggung kesedihan kerana tidak dapat lagi menatap wajah anak buat selama-lamanya. Ibu bapa mana mahu menyerahkan anak untuk jagaan orang lain jika bukan kerana tuntutan kerja?

Cekmek Molek percaya mereka berdua termasuk semua ibu bapa bekerjaya lain telah membuat pilihan terbaik untuk mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk menjaga anak masing-masing.

Cekmek Molek juga melalui sendiri pengalaman mencari pengasuh ini. Sudah tentu bukan mudah untuk mendapatkan pengasuh yang sesuai. Lebih-lebih lagi jika ibu bapa bekerja secara shift. Ramai pengasuh tidak mahu menerima waktu bekerja sebegini kerana di luar kelaziman. Sebab itu ibu bapa sanggup membayar lebih asalkan ada yang sanggup menerima anak untuk dijaga.

Adalah dikesalkan apabila berlaku kejadian sebegini, ada pula yang mempersoalkan tindakan ibu bapa menghantar anak ke pengasuh berbanding diletakkan di taman asuhan kanak-kanak (taska) yang berdaftar dan bertauliah. Perlu diketahui, tidak banyak taska dapat menerima jagaan anak jika ibu bapa bekerja secara shift. Jika ada pun, ia terletak jauh dari rumah atau tempat kerja. Tentunya ini menyukarkan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil anak-anak.

Sesungguhnya ini menjadi dilema kepada ibu bapa untuk mencari tempat terbaik bagi penjagaan anak. Kadang-kadang setiap keputusan dibuat mengikut gerak hati dan hanya bertawakal kepada Allah supaya dilindungi anak-anak di mana sahaja mereka berada.

Walau bagaimanapun, apa yang berlaku kepada arwah Adam Rayqal adalah melibatkan kes jenayah. Bukan salah ibu bapa yang tersilap membuat keputusan menghantar anak kepada seorang pengasuh penjenayah. Tidak ada siapa pun yang akan berbuat begitu.

Kejadian menyayat hati ini amat mendukacitakan seluruh masyarakat dan menjadi episod hitam dalam sejarah negara. Jika didapati bersalah, kita mengharapkan penga­suh tersebut mendapatkan pembalasan setimpal mengikut undang-undang negara.

Hakikatnya, ini adalah ujian yang maha berat buat ibu bapa Adam Rayqal. Namun kita berharap keduanya sabar dan tabah menghadapi ujian ini dan ditempatkan anak kecil itu di dalam syurga Allah SWT bersama-sama dengan mereka yang beruntung di sisi-Nya.

Sebagaimana hadis rasulullah SAW: Daripada Abu Hassan, beliau berkata: Aku bertanya kepada Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah SAW yang akan melegakan diri kami atas kematian dua anak kami?”

Abu Hurairah menjawab: “Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ayah­nya ke dalam syurga.” (Riwayat Muslim).

Al-fatihah untuk arwah Adam Rayqal.