Sejenak penulis terfikir apa masalahnya sangat kalau dua parti yang mewakili orang Melayu itu bekerjasama? Tetapi malangnya dalam kalangan ahli politik Melayu, mereka merasakan ini sesuatu yang aneh dan harus dihalang, sedangkan kalaupun benar kerjasama itu berlaku ini akan memberi manfaat besar kepada perpaduan Me­layu dan umat Islam di negara ini.

Ketepikanlah soal politik, janganlah jumud dan jahil sangat apabila memandang serong istilah bekerjasama. Seperti mana ditegaskan berkali-kali oleh kedua-dua pemimpin parti itu, bekerjasama tidak sepertinya bergabung bagi merebut kuasa politik seperti mana rakusnya sesetengah parti dipimpin oleh orang Melayu yang sanggup bersekongkol dengan DAP.

Kalau mahu diperdebatkan, pemimpin-pemimpin Me­layu yang alergi kerjasama UMNO-Pas sepatutnya lebih takut dengan kebaikan DAP yang sanggup menerima keha­diran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PPBM bekerjasama dengan mereka. Sedangkan semua orang tahu bagaimana dahsyatnya serangan DAP ke atas Dr. Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun, tetapi disebabkan agenda mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggaknya DAP menerima kehadiran PPBM dengan terbuka.

Kebimbangan tidak bertempat sesetengah pe­mimpin Melayu terhadap kerjasama UMNO dan Pas itu membuktikan mereka terlalu memikirkan soal politik sehingga mengenepikan kepentingan orang Melayu dan kesejahteraan umat Islam.

Jika parti-parti bukan Melayu biarpun berbeza ideologi politik boleh bersatu dalam berhadapan dengan sesuatu isu berkaitan kepentingan bangsa mereka, kenapakah parti-parti Melayu yang mengadap kib­lat yang sama dan menyembah Allah SWT yang satu tidak boleh bekerjasama?

Lagipun Pas sudah menyatakan akan bertanding sendirian dan menolak sama sekali andaian parti itu akan menjalin kerjasama politik dengan UMNO. Dalam perkara tertentu berkaitan dengan orang Melayu, umat Islam dan agama Islam, mereka boleh bekerjasama tetapi dalam pilihan raya masing-masing akan bertanding bertarung sesama sendiri melalui pendekatan politik matang.

Oleh itu, kepada golongan pemimpin Melayu yang mungkin antara mereka sudah hilang rasionalnya mengenai pentingnya parti-parti Melayu bersatu dalam perkara berkaitan bangsa dan agama Islam hentikanlah ‘kerja-kerja bodoh’ tersebut.

Ia tidak akan mendatangkan faedah kepada orang Melayu apatah lagi dalam usaha mempertahankan kuasa politik Melayu. Mungkin kita faham mereka menentang kerjasama antara UMNO dan Pas tersebut bagi tujuan menarik undi tetapi janganlah keterlaluan.

Sejak Pas dikuasai sepenuhnya oleh golongan ulama, kita dapat menyaksikan perubahan sikap Pas dalam berpolitik. Mereka menyokong apa yang perlu disokong dan menentang apa yang perlu ditentang.

Keadaan itu rupa-rupanya tidak menyenangkan hati sesetengah pemimpin Melayu yang berada di luar UMNO dan Pas. Mereka seolah-olah takut kerjasama itu akan mengukuhkan kuasa politik Melayu, kalaupun benar, apa masalahnya?

Sebenarnya inilah ‘penyakit’ orang Melayu berpolitik sejak dulu. Tidak habis-habis dengan perasaan hasad dengki, kebencian dan mahu menjadi ‘Si Kitul’ yang ak­hir­nya akan merugikan orang Melayu itu sendiri.

Jika mereka merasakan Pakatan Harapan diketuai DAP sudah kuat disebabkan di dalamnya ada tokoh hebat se­perti Dr. Mahathir kenapakah takut sangat kepada kerjasama UMNO dan Pas? Apakah semata-mata mahu meraih undi maka tidak boleh berlaku gerakan kerjasama yang bertujuan demi kepentingan ummah?

Pemimpin-pemimpin Melayu yang iri hati dan ‘tidur tidak lena’ apabila melihat pemimpin UMNO-Pas berbaik-baik, hakikatnya tanpa mereka sedari menjadi ‘alat’ kepada pihak lain yang bimbang jika benar berlaku kerjasama politik antara kedua-dua parti Melayu terbesar tersebut.

Namun sebenarnya mereka takut dengan bayang-­bayang sendiri. UMNO akan melawan Pas di Kelantan, Pas sudah menyatakan akan bertanding di 130 kerusi Parlimen serta akan berusaha merampas negeri di bawah UMNO, misi itu sama dengan parti-parti pembangkang lain, yang bezanya adalah pendekatan meraih undi.

Ketika ini adalah jelas parti-parti Melayu di dalam Pakatan Harapan tidak berani bercakap soal memartabatkan Melayu dan memperjuangkan Islam kerana ia akan menyebabkan sekutu mereka tidak senang.

Orang yang sudah kemaruk kuasa dan mahu melunaskan dendam politik peribadi akan bersedia mengorbankan apa sahaja waima kekuatan kuasa politik bangsanya sendiri asalkan cita-cita mereka tercapai tetapi janganlah dengki apabila melihat ada bibit-bibit penyatuan antara UMNO dan Pas.

UMNO pun tahu Pas tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan mereka, begitu juga Pas, mereka turut memahami suara akar umbi ahli-ahli parti itu yang pasti tidak senang jika kerjasama sedemikian dilakukan, tetapi sekurang-kurangnya keadaan sekarang jauh lebih baik daripada dulu. Persaudaraan sesama Islam mengikat mereka untuk bekerjasama dalam soal kepentingan bangsa dan agama.

Justeru tidak perlulah mana-mana pihak terlalu takut UMNO dan Pas berbaik-baik. Ingatlah janganlah kita menjadi kelompok yang meruntuhkan bangsa sendiri semata-mata kerana perbezaan ideologi politik.