Percayalah, kita akan dapat apa yang kita niatkan. Yakni jika kita niat lima perkara dengan izin-Nya kita akan dapat lima perkara, kerana kita akan berusaha dengan sepenuh jiwa dan hati untuk mendapatkan apa yang kita niatkan itu berdasarkan perancangan dan strategik pelaksanaan kita.

Namun begitu, janganlah kita menyalahgunakan “kuasa hati” kita, yang menjadi “raja” dalam diri kita. Pasanglah niat yang baik-baik, yang menyenangkan orang dan membuatkan kita disenangi orang. Sebab selalunya yang berlaku, kita hendak orang bersikap positif kepada kita, tetapi kita memberikan layanan negatif kepada mereka.

Ingat, prinsip pemikiran “reset minda”– “ADA – BERI – DAPAT”, jadikan amalan hidup positif kita. Jom audit diri dan perbetulkan kesilapan kita, jadilah kita orangyang disenangi dan menyenangi orang dengan sikap positif, walau di mana kita berada.

Tidak ada orang yang murah hati, orang yang suka menolong, orang yang lemah lembut, orang yang berbuat baik kepada ibu bapa, orang yang menghormati orang lain, orang yang sabar, dan orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain, tidak disenangi orang. Setiap yang kita lakukan mestilah dengan niat yang ikhlas, kerana Allah SWT.

Orang yang melakukan sesuatu bukan dengan niat kerana Allah, akan lemah dan terpengaruh dengan apa yang orang kata atau reaksi balas daripada orang sekelilingnya. Sesungguhnya, kita akan nampak kuasa manusia ini kecil dan tipuan dunia sangat besar jika pergantungan kita hanya kepada Allah. Oleh sebab itu jom audit diri jangan mengharapkan penghargaan orang tetapi kita mesti melakukannya kerana menghargai orang. Menghargai orang lain adalah kemuliaan dan kemurahan hati yang terpuji.

Fokus utama kita adalah mendapat keredaan daripada Allah SWT. Jom belajar merayu hanya kepada Allah. Refleksi diri! Semoga kita menganggap semua yang berlaku kepada kita, sebagai cerminan diri kita.

Insya-Allah akan hilang segala perasaan saling menyalahkan, sebaliknya akan mengambil tanggungjawab. Anggap semua peristiwa, sama ada yang baik atau yang buruk sebagai pelajaran kehidupan. “Reset Minda” dan refleksi diri. Orang yang “jernih” dia selalu mengatakan, dia melakukan kehidupan (dia rela menghadapinya).

Tetapi, orang yang “keladak”, dia selalu mengatakan, kehidupan berlaku ke atasnya (dia terpaksa menghadapinya). Maknanya, orang yang “keladak” tidak akan ada konsep berlapang dada dalam hidupnya – setiap apa yang dilakukannya mesti ada muslihat dan harapan balas serta keuntungan yang berpihak kepadanya.

Sesungguhnya dalam kehidupan ini jika kita lakukan empat prinsip kehidupan ini kita akan tenang.

Pertama, hormat semua orang. Kedua, apa-apa yang kita lakukan dalam hidup kita semuanya ikhlas hanya mengharapkan reda Allah, bukan mengharapkan sanjungan dan penghargaan manusia.

Ketiga, bersikap lemah lembut daripada segi percakapan dan hati budi dengan sesama manusia. Keempat, sentiasa bertanya kepada orang di sekeliling kita; “Apakah manfaat yang saya boleh beri, bukan apakah yang saya boleh dapat daripada mereka?”

Seterusnya, jagalah komunikasi kita, cara kita bercakap jangan menampakkan kita sombong, bongkak dan angkuh, sebaliknya tunjukkan sikap rendah hati dan bersedia memberi pertolongan mengikut kemampuan kita.

Tiga tahap berkomunikasi secara positif yang sepatutnya ada dalam diri kita. Pertama, peganglah kepada niat bahawa “aku aman bagimu”, maknanya kita tidak kacau orang atau menyusahkan orang. Kedua, tanam niat “aku menggembirakanmu”. Ketiga, sentiasa berniat, “aku bermanfaat bagimu”.

Percayalah jika kita berpegang kepada tiga prinsip berkomunikasi ini setiap kali dan ke mana kita pergi pastikan kita ini mendamaikan orang. Orang berasa senang, selesa dan selamat bersama-sama kita dengan sikap rendah hati kita dan keikhlasan hati kita. Ke mana kita berada pastikan kita tidak akan mengganggu atau menyakiti orang, baik daripada segi emosi mahupun fizikal, sebaliknya kita membahagiakan orang.

Percayalah, walaupun hanya sekadar melihat orang dengan wajah ceria dan senyuman, sudah memadai menjadikan kita orang yang disenangi dan menyenangi.

Apatah lagi jika kita mampu memberikan bantuan daripada segi fizikal dan material kepada orang yang memerlukan, tanpa mengira masa dan tanpa mengharapkan balasan, bertambah-tambahlah orang yang mendapat manfaat dengan kehadiran kita.

Soal peribadi

Elakkan komunikasi yang menyentuh hal-hal peribadi dan mengaibkan orang, dengan kutukan dan fitnah. Jangan tanya soalan yang bersifat terlalu peribadi yang boleh menyinggung perasaan orang yang bertemu kita, contohnya “Bila hendak kahwin?”.

“Kenapa tidak ada anak lagi?”, “Anak awak lelaki semuanya, awak tidak teringin hendak anak perempuan?” Jangan sapa dengan sapaan yang tidak disukai dan melemahkan semangat orang yang kita temui.

Sapaan negatif seperti berikut, “Awak nampak semakin gemuk?”, “Awak ini kelihatan tidak bermaya, lemah dan kurus sangat, macam sakit aje?”atau “Baju ini sangat tidak sesuai dengan diri awak.”, dan seumpamanya. Jaga hati orang, sebagaimana kita tidak mahu hati kita disakiti, begitulah juga kita jangan lukai hati orang.

Layani orang sebagaimana kita mahu orang melayani kita. Yang selalu berlaku, kita inginkan ketenangan, tetapi kita tidak menenangkan orang. Kita hendak bahagia, tetapi kita tidak membahagiakan orang. Demikian jugalah, kita hendak kebebasan tetapi kita hendak mengongkong orang. Ingatlah, kita akan dapat apa yang kita beri kepada orang.

Memudahkan urusan orang, ringan tulang membantu dan sentiasa membuatkan orang senang bersama-sama kita serta yang lebih penting, selepas bertemu kita orang itu berasa dirinya lebih berharga, dia suka hendak bertemu kita, bukan serik.

Ingatlah, bahaya yang datang kepada diri kita, bukan daripada percakapan orang tetapi daripada percakapan kita. Jom audit percakapan kita. Jangan cepat menghukum sesiapa, tetapi berikan kasih sayang, rasa kasihan dan doakan mereka. Semua orang mendambakan kebahagiaan dan ketenangan. Orang yang bahagia sentiasa ceria. Orang yang tenang sentiasa menang. Jom cari kesilapan diri. Kalau kita nampak banyak salah dan kekurangan diri, itu adalah jalan penyelesaian masalah. Tetapi, kalau kita asyik nampak banyak salah orang, itulah masalah yang tiada jalan penyelesaiannya.

Hanya orang yang bahagia dapat membahagiakan orang, dan hanya orang yang tenang dapat menenangkan orang. Jika kita hilang ketenangan renunglah diri kita. Seperti kata Imam Al-Ghazali, “Kalau hati tidak tenang carilah hatimu pada tiga tempat. Carilah hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika kau tidak temui, carilah hatimu ketika bersolat.

Jika tidak temui, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingat mati. Jika tidak temui juga, minta kepada Allah hati yang baharu, kerana hakikatnya pada saat itu kau tidak mempunyai hati.

Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia. Tetapi resahlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Penulis adalah Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya