MASYARAKAT Malaysia yang berpegang kepada ajaran agama sudah tentu mengajar nilai-nilai kebaikan sesama manusia. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Salah faham terhadap Islam terjadi sejak Perang Salib lagi diikuti dengan dendam Salibiyah dalam bentuk penjajahan di negara umat Islam dan menyebabkan orang Islam terjajah pemikirannya, mengagumi Barat secara melulu dan diikuti dengan pendekatan orientalis (pengkaji tentang Timur) yang memesongkan tafsir al-Quran dan hadis dan menghasilkan universiti di Barat untuk mendi­dik orang Islam menjadi liberal dan pluralis (menganggap semua agama sama benarnya).

Islam pada prinsipnya bermakna salama atau sejahtera dan membawa mesej damai. Dakwah Islam mengambil pendekatan bil hikmah atau bijaksana. Tarbiah atau pendidikan Islam mementingkan binaan akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Seorang Islam yang baik ialah yang me­nyumbang ke arah kebaikan dirinya dan kebaikan orang lain.

Latar wujudnya gerakan seperti Taliban atau Isis atau Daesh tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar dan mereka terjebak antara kebencian terhadap penakluk yang melakukan penguasaan ke atas negara Islam dan bangun melakukan pemberontakan dan penentangan.

Bayangkan suatu ketika di puncak tamadun Islam berkembang di zaman Abbasiyah dan Andalusia, kajian sains Islam berkembang dan sarjana Barat mendatangi tamadun Islam dan menterjemahkan karya-karya sains, perubatan, matematik, astronomi ke dalam bahasa Ibrani, Latin dan Hebrew. Kalau tamadun Islam itu sifatnya teroris dan ekstremis, mana mungkin ilmu Islam dikembangkan ke Barat hingga menyebabkan Barat mengalami pro­ses pencerahan ilmu dan akhirnya membangun tamadun kebendaan dan sekular.

Pemahaman orang Barat terhadap konsep religion (agama) hanya dalam batas kepercayaan. Tetapi keyakinan orang Islam terhadap Ad Deen (agama) tidak dalam batas sistem kepercayaan semata-mata tetapi ia suatu cara hidup. Tidak sahaja akidah tauhid diimani, ibadah dalam maksud yang luas diamalkan, syariah menjadi jalur hukum yang menunjukkan jalan terbaik dalam kehidupan dan akhlak sebagai binaan diri yang menjadi contoh te­ladan dan sumber ikutan. Asas ini berkembang dalam binaan tamadun yang bertahan hampir 700 tahun.

Sejak 700 tahun yang lalu tamadun Barat yang sifatnya kebendaan dan sekular menjadi tarikan umat Islam mendapatkan ilmu dan membentuk budaya dan cara hidup berasaskan Acuan Barat. Sebaliknya, Islam dilihat sebagai agama ritual dan ceremonial tidak lagi sebagai suatu cara hidup.

Sejak kembali semula kebangkitan Islam sebagai Ad Deen, kesannya berlaku di dunia Islam termasuk penga­ruhnya mula meresap ke dalam masyarakat Barat. Ia me­nimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Ba­rat yang sedang mencari makna diri dan keyakinan.

Di tengah-tengah kebebasan masyarakat Barat dalam budaya hidup mereka mengamalkan hak asasi manusia tanpa pedoman dan batas agama, amalan lesbian, gay, homoseksual dan transgender (LGBT) yang semakin meluas dan dibenarkan oleh undang-undang bakal menggugat sistem keturunan dan warisan zuriat kerana test-tube baby bakal menjadi alternatif dan ianya warisan yang tidak fitrah sifatnya dan jangka panjang bakal menimbulkan krisis keluarga dan masyarakat.

Atas kebimbangan Islam mampu berkembang di Barat, Islamophobia muncul dan dijadikan benteng supaya Barat harus waspada dengan Islam dan label-label negatif terhadap Islam dilontarkan supaya kegentaran wujud dalam kalangan orang Barat terhadap Islam.

Hal tersebut sedang mula kelihatan dirasakan di Malaysia. Kewujudan institusi Islam dilihat secara negatif sedangkan pengurusan Islam dan umat dirasakan amat penting kerana Islam mendidik umatnya berlaku adil, memiliki sifat amanah dan timbang rasa, memacu sifat tole­ransi dan kerjasama antara kaum atas asas yang benar dan bersifat manusiawi.

Bagi Malaysia yang sifatnya majmuk rasa kemanusiaan tinggi, toleransi dan saling-memahami antara satu sama lain, bersifat menyumbang terhadap yang tidak berada, tidak sombong dan takbur dalam hubungan kemasyarakatan supaya sifat mengambil berat ini memberi erti yang bermakna kepada seluruh warga Malaysia.

Masyarakat Malaysia yang berpegang kepada ajaran agama sudah tentu mengajar nilai-nilai kebaikan sesama manusia. Ia sudah tentu menyumbang kepada keselamatan dan keamanan negara. Lebih-lebih lagi Islam mela­rang umat mencetuskan pergaduhan tanpa asas yang selari dengan keperluan syarak. Ia penting disuburkan supaya kedudukan Islam di Malaysia ditanggapi sebagai Ad Deen iaitu suatu sistem kepercayaan dan cara hidup seperti yang terungkap dalam Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Negara, “Islam Sebagai Agama Persekutuan”.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).