Lalu Islam dan umatnya menjadi sasaran curiga dan kebencian di mana-mana. Melakukan dakwah dalam kalangan orang Islam terutama di Barat dianggap sesuatu yang negatif. Hingga timbul penyakit Islamophobia atau kegentaran kepada Islam di Eropah. Sekali lagi Islam di­salah faham walaupun sifat asasi Islam adalah keamanan dan kesejahteraan.

Timbul soalan apakah Islam sebagai suatu agama yang membawa salah faham atau gelagat umat Islam yang mencetuskan salah faham? Secara mudah orang akan menjawab bahawa kerosakan imej Islam akibat daripada gelagat penganutnya. Jawapan sebenarnya tidak semudah itu.

Salah faham terhadap Islam telah wujud sejak lama. Terjadinya Perang Salib adalah akibat Islam dilihat sebagai seteru dan terhubung dengan kekuasaan. Para orientalis sejak dulu lagi memberikan tafsiran yang salah terhadap Islam. Kini kelompok pluralis dan liberalis memandang jengkel terhadap agama khususnya Islam kerana memberi fokus kepada pembangunan kerohanian yang bagi mereka adalah dogma (khayali).

Golongan pluralis dan liberalis yang sifatnya sekular tidak mahu menghubungkan pembangunan dan kemajuan dengan agama. Bagi mereka pendekatan rasional, sains dan teknologi adalah pendekatan untuk menuju kebenaran bukannya agama. Bagi mereka sains dan teknologi bukan alat semata-mata tetapi ia adalah alat dan matlamat.

Islam sebagai suatu ajaran atau doktrin tidak menolak sains dan teknologi. Sains dan teknologi dilihat sebagai alat bukannya matlamat. Maksud sains dan teknologi sebenarnya adalah untuk membawa kesejahteraan kepada manusia. Terdapat rekaan sains dan teknologi boleh membawa mudarat dan bencana kepada manusia. Tanpa nilai yang abadi, sains dan teknologi boleh disalahgunakan untuk kepentingan ideologi dan kuasa dan boleh memusnahkan manusia dan alam.

Islam yang bersumberkan al-Quran dan sunnah tidak menolak kepentingan pembangunan dan perubahan kepada diri manusia. Al-Quran memberikan fokus kepada pembangunan rijal (man) sekukuhnya tidak saja dalam pembangunan pemikiran dan ilmu tetapi juga pemba­ngunan diri. Sikap amanah, adil, jujur dan bijaksana ha­nya mampu dibina sekiranya manusia menghubungkan ­dirinya dengan Pencipta.

Faktor Pencipta menjadi sandaran orang Islam supaya amalan dan perbuatan terkawal dan terpedoman ke arah kebaikan kerana adanya faktor dosa pahala dan halal haram yang menjadi pertimbangan manusia beriman sebelum melakukan sesuatu.

Keunikan Islam adalah sistem-sistem yang terbina saling berhubung dan melengkapi. Ia bermula de­ngan akidah tauhid yang membawa manusia percaya dan yakin mengenai adanya pencipta yang mentadbir dan mengurus alam ini. Diikuti dengan sistem ibadah ­melambangkan sifat kehambaan dan kekhalifahan seorang Mukmin terhadap Pencipta, sesama manusia dan sistem. Gelagat dan tingkah laku manusia dipandu oleh rangkaian syariah (susun atur) yang tertib supaya manusia tidak melampaui batas. Kehidupan bersyariah sesuatu yang unik dalam Islam kerana pola kegiatan dan amal manusia dipedoman dengan nilai-nilai Qurani.

Matlamat akhirnya beragama dalam Islam adalah ke arah kesempurnaan akhlak. Inilah risalah utama ­mengapa para nabi dan rasul dihantar kepada umat manusia tidak lain dan tidak bukan untuk binaan pekerti yang baik supaya kualiti manusiawi sentiasa menjadi pedoman tindakan dan amalan.

Konsep akhlak tidak sama dengan konsep moral dalam pengertian ajaran Islam. Moral dari bahasa La­tin mores membawa natijah sifat nilai yang cenderung ­berubah-ubah ikut situasi dan kondisi. Konsep akhlak yang menjadi mercu tanda binaan peribadi Islam terhubung dengan nilai-nilai mutlak dari al-Quran. Sebab itu Aishah, isteri nabi menghubungkan akhlak Nabi Muhammad sebagai akhlak Qurani. Al-Quran menjadi sumber rujukan mengenai baik buruknya akhlak manusia.

Masyarakat akhir zaman kini fokus terhadap benda dan kebendaan. Gelagat nafsu-nafsi yang sifatnya hedonistik semakin terserlah di mana-mana. Hiburan yang melampaui batas menjadi resam kecenderungan gene­rasi muda. Amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semakin luas dan natijah akhir dari amalan ini jangka panjangnya menyebabkan keruntuhan sistem kekeluargaan terjadi. Inilah gejala musibah yang bakal terjadi kepada umat manusia yang menolak agama khususnya Islam.

Islam menawarkan tidak saja suatu sistem kepercayaan yang lengkap tetapi juga cara hidup yang sempurna. Kepincangan yang terjadi dalam kalangan sebahagian umat Islam adalah akibat hilang kaitan dengan ajaran ini dan menganggap dunia ini adalah segala-gala dan terpengaruh dengan fahaman sekular yang seolah-olah menjanjikan mereka kebahagiaan.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).