Sebab itu mereka selalu mesti diperingatkan. Contoh paling mudah, berapa banyak usaha dilakukan untuk men­daftarkan golongan berumur tetapi belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan golongan ber­umur 21 tahun didaftarkan sebagai pengundi.

Barangkali usaha pendaftaran pengundi baharu ada di­ge­rakkan di peringkat bahagian oleh sayap parti. Lagipun itukan rahsia dan strategi parti politik. Tetapi entahlah... Saya tidak tahu.

Namun daripada pertemuan saya dengan seorang anak muda Melayu berusia 23 tahun telah membuka minda saya untuk bertanya tentang tahap kesungguhan ahli UMNO khu­susnya Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dalam merekrut ahli baharu.

Dalam perbualan saya dengan anak muda itu, ternyata dia nampak ghairah apabila melihat begitu ramai umat Me­layu berkumpul di kompleks Pusat Dagangan Dunia Put­ra.

Timbul semangatnya untuk menyertai parti UMNO. “Ta­pi bagaimana caranya nak masuk bang,” pemuda itu menyoal saya. Saya cuma memberitahu dia boleh cuba berjumpa dengan orang UMNO di kawasan perumahannya di Shah Alam. Minta nasihat mereka bagaimana hendak mendaftar sebagai ahli UMNO. Atau mendaftar keahliannya secara dalam talian sahaja.

Sebenarnya saya pun tak pandai nak mengajar dia cara-cara untuk mendaftar sebagai ahli parti sebab saya mengambil pendirian berkecuali – tidak memihak pada mana-mana parti politik. Lagipun sepanjang usia saya ini, tidak pernah mana-mana ahli UMNO yang berkempen untuk memujuk saya menyertai parti mereka.

Dalam konteks pendaftaran ahli baharu ini, saya tidak pasti apakah generasi Y masih berminat untuk menyertai parti politik?

Golongan muda

Rasanya tidak perlu di­ulang-ulang tentang faktor kua­sa undi golongan muda sekarang. Semua pemimpin UMNO tahu akan hal ini. Walhal pengundi baharu yang terdiri daripada golongan mu­da akan menentukan ja­tuh bangun sesebuah parti.

Jadi golongan muda perlu didedaki bukan sahaja menjadikan mereka kader parti tetapi juga mendaftar sebagai pengundi.

Melihat angka pertambahan keahlian Pemuda UMNO setiap bulan bagi 2015, ada bahagian yang kekal dengan angka 0 un­tuk beberapa bulan. Nam­pak sangat tiada aktiviti di­la­kukan oleh pemimpin Pemu­da UMNO bahagian tersebut. Hairan... sedangkan mereka mahu dipilih jadi pemimpin tetapi program menambah ahli tidak mahu dilakukan.

Melihat perkembangan se­karang, saya berpendapat UMNO usah terlalu taksub untuk kempen tambah ahli, buat macam DAP yang terus sibuk tambah pengundi.

Pemimpin DAP boleh dilihat secara terbuka buka meja dan payung di tepi kedai atau restoran untuk bertemu orang Cina dan mendaftarkan mereka sebagai pengundi baharu.

UMNO kurang dilihat berbuat demikian. Sebab UMNO terlalu berharap kerja pendaftaran itu dilakukan oleh SPR.

Dalam hal ini, usahlah UMNO berbangga dengan ke­ahlian lebih 3.5 juta orang dan kerja-kerja menambah keah­lian baru kini menggunakan kaedah online. Terbukti sudah bahawa bukan semua ahli yang besar itu keluar mengundi dalam pilihan raya umum lepas dan mampu memberi ke­menangan kepada parti.

Kalau UMNO tidak gerakkan kerja pendaftaran pen­gun­di terutama kalangan Melayu dalam tempoh lebih satu ta­hun menjelang pilihan raya umum ke-14, tampuk kuasa kerajaan Barisan Nasional mungkin dalam bahaya.

Jumlah pengundi Melayu yang boleh menentukan kemenangan parti, dan bukan jumlah ahli parti. Jadi segeralah daftarkan orang Melayu yang belum mendaftar sebagai pengundi

DAP tidak peduli pun jumlah ahli mereka tetapi yang di­utamakan parti itu ialah jumlah pengundi Cina. Sebab pengundi yang akan menentukan kemenangan parti dalam pilihan raya, bukannya ahli parti.

Berbalik perbualan pendek saya dengan anak muda itu ketika minum teh tarik di luar lobi hotel dekat PWTC itu, dia tersenyum melihat saiz badan beberapa ahli politik sayap Pemuda UMNO dan Puteri UMNO yang bersaiz besar XXXL.

Inilah takdir mereka yang hidup dalam nikmat kemak­mu­ran negara diterajui oleh UMNO beberapa dekad lalu. Pada zaman kepimpinan pemimpin UMNO terdahulu, ahli UMNO tidak mempunyai masa untuk tidur dan gemuk da­lam parti kerana mereka meletakkan kepentingan parti melebihi daripada semua perkara. Tetapi kini ada yang menganggap UMNO batu loncatan untuk mencapai kepentingan diri.

Untuk menarik minat anak muda tersebut dan generasi Y yang lain, saya cadangkan Kementerian Belia dan Sukan memberi sesi khas dalam kempen FitMalaysia pada tahun 2016 kepada ahli Pemuda UMNO dan Puteri UMNO yang obesiti.

Bila pemuda yang pinggang berukuran 28 inci itu pergi menyambung urusan kerjanya, saya mula membayangkan, kalau dia yang tinggal di Shah Alam pun tidak didekati oleh pemimpin Pemuda UMNO setempat, bagaimana pula kum­pulan orang muda di 191 bahagian UMNO seluruh negara?