Ismail Sabri Yaakob

ALHAMDULILLAH. Semuanya sudah selesai. Diharap begi­tulah adanya. Saya menyaksikan bagaimana rakyat diheret atas nama reformasi satu ketika dahulu. Rakyat pada masa itu cukup-cukup terkeliru. Malangnya, kekeliruan rakyat terutamanya orang Melayu terpalit sehingga hari ini. Malah pada peringkat awal dahulu pihak berkuasa pun keliru. Kerajaan pun keliru dan Perdana Menteri pada masa itu juga keliru.

Kebetulan pagi kelmarin, saya menerima satu mesej daripada Ummi Hafilda berbunyi:

“Dulu saya ditangkap polis bila cakap pasal kes (liwat) ni.. but Allah is great, today proven..even Tun M kata saya gila ketika itu.”

Mesej itu dihantar sebaik sahaja keputusan kes liwat diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tak perlulah saya sebut nama pesalah itu. Ia sudah menjadi sejarah. Sejak hampir dua dekad ini namanya disebut hari-hari sama ada secara baik mahu pun buruk. Biarlah dia berehat.

Pada malam hari penentuan saya menghantar mesej kepada Saiful Bukhari Azlan, yang berbunyi:

“Saya doakan keputusan memihak saudara esok. Apa sekalipun keputusan akan menentukan arah tuju politik negara. Saudara adalah pencipta sejarah sekaligus pe­ngubah sejarah. Sama-samalah kita tunggu.”

Benar keputusan kelmarin bakal mengubah landskap politik negara ini. Dari segi pesalah dia sudah selesai.

DAP selama ini terpaksa ber­tenggek di atas pesalah itu untuk mendapatkan kuasa. Kekeliruan minda rakyat, termasuk campur tangan golongan oportunis dan unsur populis menyebabkan gelombang kuasa beralih kepada puak pembangkang. DAP yang sejak dahulu tak serik-serik menagih simpati rakyat, terutamanya di Pulau Pinang akhirnya berjaya menggunakan peluang itu.

Kini ia sudah hilang tempat bergantung. Pokok sudah mati. Kebetulan pada waktu yang sama Pas pula sudah mulai meloya dengan DAP. Tanpa pergantungan ini DAP akan hilang arah.

Pas pula ada masalah dalaman dan solidariti. Mat Sabu hanya tokoh Pas yang berada di mahkamah kelmarin untuk memberi sokongan moral kepada pesalah. Masa yang akan menentukan nasib politik Mat Sabu pula. Golongan ulama Pas tidak akan memberi peluang kepada kumpulan Anwarinas ini. Anwarinas sudah habis.

PKR juga akan kehilangan arah. Mungkin akan berlaku perubahan dalam senario politik PKR. Mungkin Azmin Ali akan menguasai parti itu dan memimpin.

Azmin pun bukan semua yang menyukainya. Kini kekuatan PKR terletak di bahu Azmin. Mahu disulitkan lagi, Wan Azizah pula dikatakan tidak berapa selesa dengan Azmin?

Tanpa Pas pakatan itu bakal tempang. Selama ini pun Paslah yang menggerakkan perhimpunan-perhimpunan gergasi. Tanpa semboyan Hadi Awang, tiadalah gelombang itu. Pengikut Pas bergerak atas dasar ketaksuban kepada pe­mimpin.

Hadi kini bukan macam Hadi dulu lagi. Dia sudah “berfikir panjang”. Pas terutamanya golongan Hadi, Harun Din, Mustafa Ali sedar siapa DAP itu. Malah mereka juga tahu siapa pesalah itu.

Namun atas nama politik, ditambah dengan ‘malu-alah’ dengan Nik Aziz, ketika itu maka dihalalkan tindakan bersahabat dengan DAP dan pesalah berkenaan.

Kini senarionya kelihatan sudah berubah.

Saiful sudah mencipta dan mengubah sejarah negara ini. Jika pesalah menang kes itu, Saiful jugalah yang mencipta sejarah itu.

Sebagai umat Islam kita percaya kepada Qada dan Qadar. Allah sudah memakbulkan surah Yasin yang dibacakan oleh para pengikut pesalah itu di hadapan bangunan Mahkamah Persekutuan itu kelmarin.

Ya Allah, Kau Rahmatilah rakyat dan negara tercinta Malaysia ini.

Kepada mana-mana pihak termasuk di sebelah pemerintah yang belum berubah, belum sedar, berubahlah, sedarlah. Masa masih ada sebelum pilihan raya umum akan datang. Allah memberi mereka satu lagi talian hayat.

Ismail Sabri 
bukan rasis!

SAYA masih ingat semasa saya mengikuti subjek Consumerism atau Kepenggunaan di universiti lebih 25 tahun dulu. Ia diajar oleh bapa gerakan pengguna negara, Encik Hamdan Adnan. Beliau adalah pensyarah kegemaran anak muridnya.

Beliau terlalu simple. Sehingga bajunya juga dijahit oleh isterinya. Dia enggan membeli kerana terlalu taksub dengan fahaman atau isme kepenggunaan itu.

“Tengok kereta saya pun tak perlu bertukar. Pakai sahaja apa yang ada,’’ katanya.

Itu Encik Hamdan lebih 20 tahun lalu. Kini beliau telah bersara sebagai Datuk Profesor.

Saya masih ­ingat dia mengajar kami bahawa pengguna adalah raja. Rajalah yang menentukan pe­­niaga. Bukan sebaliknya. Di Barat pengguna adalah raja. Dan mereka amat dihormati. Peng­­guna tidak boleh diadu-dombakan oleh peniaga.

Encik Adnan juga mengajar kami bahawa peniaga boleh juga menjadi senjata jika ia mahu dibentuk begitu. Golongan peniaga boleh bersatu untuk menjahanamkan politik sesebuah negara. Ia boleh membangkitkan kemarahan kepada sesebuah kerajaan.

Jika harga naik, pengguna tidak akan marahkan peniaga, tetapi kerajaan akan dipersalahkan. Mereka juga boleh bersatu untuk meningkat harga melalui aktiviti sorok barang. Apakah keadaan itu berlaku sekarang? Apakah harga barang sengaja dinaikkan untuk membentuk kemarahan rakyat. Saya tidak boleh ulas hal itu. Tapi ia tidak mustahil.

Sekurang-kurangnya apa yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai harga barang naik oleh peniaga yang kebetulannya majoriti kaum Cina bukanlah bersifat perkauman tetapi lebih kepada soal kepenggunaan. Kita harus berterima kasih kepada beliau kerana telah mencelikkan dan mematangkan kita mengenai hak-hak kepenggunaan.

Kita jangan melompat tak tentu pasal dengan kenyataan Ismail itu. Soal kepenggunaan juga adalah soal keselamatan dan kedaulatan negara.

Cuitan Menteri Pertanian yang juga mantan menteri hal ehwal pengguna itu rupa-rupanya te­lah menyebabkan kaum peniaga melompat tak tentu pasal. Jika tak makan cili takkan terasa pedas? Ismail sebenarnya hanya melontarkan satu isu akademik bukan pun perkauman

Teringat saya kepada Perang Candu di China suku pertama abad ke-18. Ia membabitkan soal perniagaan Candu oleh Inggeris. Antara tahun 1821-39, sejumlah besar candu dieksport ke China. Implika­sinya imbangan perdaga­ngan yang tidak menguntungkan China. Ni­lai candu yang diimport melebihi segala nilai eksport teh China.

Candu juga telah mengakibatkan aliran keluar wang perak yang menjejaskan eko­nomi China. Candu juga mengakibatkan keruntuhan sosial ramai orang-orang China.

Peperangan Candu Pertama berlaku pada awal November 1839 atas sebab Maharaja Tao Kuang mengeluarkan perintah mengharamkan penggunaan dan perniagaan candu.

Baginda mengawal rapi aktiviti penyeludupan candu. Perang ini berakhir pada 1842 setelah tentera Inggeris berjaya menawan Nanking. China kalah. Kedua-dua pihak bersetuju mengadakan rundingan pada Ogos 1842.

Antara syarat Perjanjian Nanking; telah mengakibatkan kedau­latan China hilang kepada Inggeris.

Antaranya: Lima buah pelabuhan dibuka kepada rakyat dan saudagar British.

- China bersetuju membatalkan hubungan dengan kuasa asing.

- Konsul British ditempatkan di lima pelabuhan.

- Hong Kong diserahkan kepada British.

- Kerajaan China dikehendaki membayar 21 juta tael sebagai ganti rugi.

- Kerajaan China mengakui British setaraf mereka, bukan lagi bangsa ketuanan!

Kesimpulannya peniaga boleh menjadi seperti tingkah laku Ing­geris itu jika kita semua alpa.

Terima kasih kepada Datuk Seri Ismail kerana mencelikkan kita. Ia bukan soal perkauman Melayu, Cina atau India; tetapi untuk mematangkan kita sebagai pengguna yang bijak!