Sekalipun 10 tahun ini adalah tempoh yang munasabah, saya akui ia pasti tidak sunyi daripada cabaran dan dugaan, malah terdapat empat cabaran utama yang boleh digariskan.

Cabaran pertama, ia hanya boleh dilaksanakan oleh kerajaan yang mempunyai mandat yang besar dan kuat dari rakyat.

Hanya kerajaan negeri yang kuat dan disokong dengan baik akan berupaya melaksanakan misi besar yang murni ini.

Jika tidak, 10 tahun akan datang hanyalah satu era yang me­nyaksikan Johor yang suram dan mendung kerana iklim politiknya kelam kabut, cacamarba dan bercempera.

Cabaran kedua, rakyat memerlukan kepimpinan yang teruji dan terbukti. Kepimpinan yang benar-benar mahu membawa perubahan berdasarkan pelan dan perancangan yang jelas dan teratur. Ia bukan sekadar mencanangkan pembaharuan, tetapi mengitar semula semua perkara lama dari sekecil-kecil idea sehinggalah kepada setinggi-tinggi pemilihan pemimpin parti.

Kerajaan kitar semula sebegini tidak akan mampu membawa sesuatu yang baharu kerana yang mereka tahu dan mahu hanyalah untuk kembali kepada masa silam. Ini kerana masa silam masih menjadi nostalgia intim buat mereka yang mana mereka pentaskan sebagai satu serangan hendap ke atas pemikiran waras masyarakat kita.

Semua itu, pada saya ia tidak lebih dari sekadar satu rampasan kuasa pemikiran atau kudeta akal yang dilakukan tanpa rasa tanggungjawab dan keberanian untuk mencipta sejarah dan merancang masa depan baharu.

Cabaran ketiga, kerajaan memerlukan sistem yang berteraskan prestasi dan kerja keras. Ini adalah sesuatu yang sukar kerana tidak ramai yang sanggup untuk memberikan lebih daripada apa yang sepatutnya. Sedangkan untuk membangunkan dekad Johor yang baharu ini, kesemuanya mesti dilakukan dengan usaha dan komitmen yang luar biasa.

Cabaran keempat, ia menuntut usaha kolektif semua pihak dan rakyat tidak boleh menganggap usaha mengajak ke jalan kebaikan ini perkara mudah. Ini kerana semakin baik dan murni niat untuk melakukan kebaikan, semakin kuat dan ujian dugaan yang di­terima.

Sebab itulah, rakyat tidak boleh bergerak sendirian dan mesti bergerak sebagai satu pasukan dan pasukan yang saya maksudkan tidak lain tidak bukan adalah TEAM Johor. Segenap anggota dalam TEAM Johor mesti bangun untuk sebuah dekad baharu.

Jadi, apakah rencana Johor dalam Dekad Baharu ini? Apakah landskap yang akan dibangunkan dalam 10 tahun akan datang?

Pertama, prasarana Johor akan dibangunkan pada skala besar-besaran. Tiada negara yang maju tanpa prasarana terbaik dan komprehensif dan prasarana termaju adalah prasyarat paling utama untuk membuahkan kesejahte­raan rakyat.

Kerajaan negeri akan menjadikan Johor sebuah negeri yang mempunyai prasarana paling kemas, moden, terancang, saling terhubung dan mesti mempunyai prasarana abad ke-21.

Kedua, Dekad Baharu Johor akan menyasarkan perubahan drastik struktur ekonomi Johor dengan berpaksi dan berorientasikan ekonomi masa hadapan. Ia mesti dipacu oleh sains dan teknologi dan akan digelorakan oleh idea besar, kreativiti, teknologi dan inovasi.

Perkara ketiga yang akan kita beri fokus ialah memantapkan tata kelola kerajaan dan ‘go­vernan’ yang sesuai dengan keperluan dekad mendatang.

Sistem tata kelola ketika ini telah mula lapuk dan ketinggalan dan cara kerajaan mengurus sistemnya dan beroperasi harus melalui transformasi yang sewajarnya.

Ini agar Johor menjadi sebuah kerajaan yang moden, berprestasi, fokus kepada pencapaian, telus, beramanah dan diyakini.

Fokus keempat Dekad Baharu Johor akan menjurus kepada menggandakan usaha besar-besaran untuk memastikan setiap putera-puteri Bangsa Johor dibangunkan pemikiran, bakat dan kemahirannya secara bersepadu.

Untuk fokus kelima Dekad Baharu Johor pula adalah kelesta­rian alam sekitar, pemeliharaan budaya dan agama.

Tonggak keenam dan terakhir dalam Dekad Baharu untuk Johor ini ialah kesejahteraan dan keselamatan insan.

Bagaimanapun azam, tekad, dan cita-cita besar ini tidak saya utarakan melainkan ia dipimpin oleh asbab dan alasan yang kukuh.

Pertama, kerana Johor kini te­lah berada di landasan yang membolehkannya melonjak le­bih jauh dalam segenap dimensi pembangunannya.

Kedua, Johor adalah negeri dan wilayah yang sarat dengan potensi. Ketiga, Johor memerlukan kecerdasan baharu atau new big ideas.

Johor memerlukan kecerdasan dan idea besar yang akan menterjemahkan falsafah pembangunannya, iaitu Johor Yang Berkemajuan.

Keempat, ini kerana semua berada dalam dunia yang telah berubah dek ledakan teknologi dan sains termaju. Kelima, kita memerlukan cerita baharu untuk setiap dasawarsa (dekad).

Oleh itu, kenapa saya memilih tempoh 10 tahun untuk memba­ngunkan Dekad Baharu Johor ini?

Pertama, 10 tahun adalah tempoh masa yang realistik untuk kerajaan negeri melihat hasil dan manfaat dari misi besar seperti ini dan ia tidak terlalu lama dan tidak terlalu singkat.

Kedua, kerajaan negeri mahu memastikan pihaknya boleh menunjukkan pencapaian yang nyata dan mahu diuji dengan pres­tasi.

Kepada semua TEAM Johor, saya ada pesanan lima serangkai yang diharap akan menjadi pegangan dan panduan dalam semua perkara yang dilakukan.

Pertama, perbetulkan niat iaitu pastikan segala yang dilakukan adalah kerana Tuhan, manusia dan demi masa hadapan Johor dan Malaysia.

Kedua, bangunkan negeri ini dengan sebaik-baiknya kerana Johor ini jolokannya Kosong Satu.

Ketiga, belalah negara walaupun semua adalah TEAM Johor kerana masih anak Malaysia yang patriotik dan cintakan tanah air.

Keempat, berilah nilai dalam pekerjaan, rutin harian atau apa-apa sahaja yang dilakukan.

Kelima dan terakhir, bawalah nama selaku TEAM Johor dan bangsa yang berkemajuan.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN ialah Menteri Besar Johor.