Kepelbagaian dalam ciptaan Allah adalah suatu fitrah dan rahmah. Al-Quran dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 mengemukakan dengan jelas kepentingan litaarrafu (kekenalan) supaya wujud sifat kesalingan yang merintis jalan persefahaman dan pengertian.

Kemajmukan dalam sesebuah negara menuntut jalan perpaduan dirintis. Perbezaan dari sudut ber­agama, budaya dan cara hidup boleh menjadi sumber perpecahan atau sebaliknya, bergantung kepada landasan yang dibina.

Penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah bukan saja mempersaudarakan kelompok Muhajirin dan Ansar tetapi juga orang Islam, Yahudi dan lain-lain. Usaha Rasulullah itu suatu kelainan dalam keyakinan beragama dan budaya menjalin suatu persefahaman untuk kesejahteraan kota Madinah dan masyarakat sekitarnya. Sangat penting dikaji formula yang dicetuskan oleh Rasulullah itu ke­rana sifat universalnya boleh diaplikasi di negara-negara lain.

Malaysia umpamanya mempunyai ciri-ciri persamaan dengan apa yang terdapat di Madinah kerana sifat masyarakatnya yang majmuk dengan memiliki kefahaman agama dan budaya yang berbeza. Al-Quran memberikan sempadan yang jelas mengenai, Laqum deenukum walya deen – “...kamu agama kamu dan kami agama kami.” Perbezaan dalam fahaman boleh menghasilkan konflik dan pertentangan serta menyebabkan sikap melam­pau dan ekstrem kalau tidak dikendalikan dengan bijaksana.

Sahifah Madinah memberi landasan tentang pendirian saling menghormati terhadap perbezaan dan meletakkan asas taawun atau kerjasama terhadap hal-hal yang membolehkan kerjasama terjadi. Ia juga meletakkan ciri-ciri universal manusia dengan mengiktiraf hak asasi masing-masing dan bertolak ansur terhadap hal-hal yang membolehkan tolak ansur terjadi.

Ini selari dengan konsep wasatiyyah seperti terungkap dalam Surah Al Baqarah ayat 143 yang menekankan pen­tingnya konsep wasata atau kesederhanaan, bijaksana dan berimbang menjadi landasan pedoman dalam mendekati situasi. Konsep sederhana mengiktiraf wujudnya perbezaan dan kelainan dan bagaimana pendekatan Islam sifatnya me­nyantuni (bil hikmah) supaya antara matlamat dalam perjuangan dan pendekatan yang diambil membenihkan persefahaman tinggi bagi mengelakkan pertentangan yang sia-sia.

Kepelbagaian atau pluraliti dalam negara yang berbilang bangsa, agama, bahasa dan budaya menuntut kesatuan yang unik. Oleh itu, kesederhanaan dan sikap toleransi yang tinggi menjadi prasyarat untuk menyeimbangkan dan mengekalkan perpaduan serta keharmonian.

Perlembagaan Malaysia dalam beberapa hal mempunyai persamaan dengan fasal-fasal yang terdapat dalam Sahifah Madinah. Latar masyarakat Madinah dari segi kelainan bangsa, anutan agama dan latar belakang budaya mempu­nyai titik persamaan dengan masyarakat di Malaysia.

Perkara 3 dalam Perlembagaan Negara meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dengan mengizinkan agama-agama lain bebas diamalkan. Perlembagaan Malaysia memberikan peruntukan yang cukup untuk hak asasi manusia diamalkan dengan kebebasan bersuara diiktiraf, kebebasan menubuhkan organisasi dibenarkan dan meletakkan asas perpaduan dan ketaatan kepada negara sebagai yang paling utama.

Pendekatan wasatiyyah telah sekian lama diungkapkan dalam al-Quran. Ia menjadi manhaj yang amat pen­ting mencapai sebuah masyarakat yang berimbang dan bersatu walaupun dalam kelainan pendekatan dan cara.

Hatta dalam masyarakat Islam juga terdapat beberapa firqah yang tidak memiliki ciri kesalingan menyebabkan perpecahan terjadi tanpa jalan meleraikannya.

Malaysia amat memerlukan pendekatan wasatiyyah ini merealisasikan pendekatan perpaduan, persefahaman dalam kalangan masyarakatnya. Sekiranya umat Melayu kukuh dengan fikrah Islaminya amat menyumbang kepada wahdah atau perpaduan. Perpecahan umat Melayu dan Islam bakal memberi kesan kepada kaum lain dan juga kepada negara Malaysia.