Anehnya, undang-undang yang hanya mengikat umat Islam itu ‘dibahaskan’ dengan lebih meluas dalam kalangan bukan Islam berbanding mereka yang sepatutnya. Hakikatnya, gesaan supaya akta yang memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa hukuman jenayah itu dipinda telah lama dibuat setelah kali terakhir pada 1984. Berbanding sekarang, undang-undang yang juga dikenali Akta 355 itu sudah dilihat ketinggalan kerana hukumannya sekadar penjara tiga tahun, enam sebatan dan denda RM5,000 itu tidak mampu berfungsi sebagai mekanisme pencegahan seperti sepatutnya.

Sebab itu, cadangan ditingkatkan hukuman kepada denda RM100,000, sebatan 100 kali dan penjara 30 tahun lebih menepati aspirasi umat Islam bagi melihat institusi Mahkamah Syariah diperkasakan berbanding ketika ini yang lebih rendah daripada bidang kuasa Mahkamah Majistret. Entah di mana fahaman mereka seolah-olah Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah yang dibentangkan menerusi usul persendirian oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) tersebut bertujuan membawa pelaksanaan hudud.

Lebih tak masuk akal ada akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan kenyataan seorang pemimpin bukan Islam di muka depannya bahawa RUU ini mahu mewujudkan dua sistem perundangan. Persoalannya bila pula Perlembagaan mahu dipinda bagi menyerahkan bidang kuasa jenayah kepada negeri. Dan ironinya, pada persidangan Dewan Rakyat kali ini juga kerajaan telah membentangkan pindaan RUU Memperbaharui Undang-undang (LRA) (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 yang antaranya berhubung penukaran agama anak dalam kalangan ibu atau bapa yang menukar agama kepada Islam.

Menerusi RUU itu, kerajaan mencadangkan status agama anak pasangan yang bercerai, dikekalkan mengikut perkahwinan asal yang dilihat bertujuan menyelesaikan isu berbangkit di mahkamah tentang pasangan suami atau isteri yang memeluk Islam. Walaupun berkait dengan umat Islam yang merupakan penduduk majoriti, namun ia tidak dibangkit dengan emosi sebaliknya dibincangkan secara rasional.

Sedangkan umat Islam berhak berkeras kerana dari satu sudut, mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur 18 tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan syarak. Ini seperti mana diputuskan dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali ke 19 pada April 2009 oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sya­rak/Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bercanggah

Bukan itu sahaja, merujuk ke­nyataan Presiden Persatuan Pe­guam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, pindaan itu juga dilihat bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dan enakmen ke­luarga Islam di negeri-negeri. Memetik tafsiran Mahkamah Persekutuan berhubung Per­kara 12 (4) Perlembagaan da­lam kes Subashini melawan Saravanan, Zainul Rijal berkata, ini bermakna mana-mana ibu atau bapa atau penjaga boleh menentukan agama anak di bawah umur lapan belas tahun.

“Oleh itu sebarang undang-undang yang mengkehendaki kedua-dua ibu bapa bersetuju bagi menentukan agama anak di bawah 18 tahun adalah tidak berperlembagaan dan berisiko akan dibatalkan,” katanya.

Peguam kanan syarie dan sivil itu juga membangkitkan persoalan paling penting, di manakah kedudukan istimewa agama Islam di negara ini yang dimaktubkan dalam Perkara 3 (1) sebagai agama Persekutuan. Oleh itu, wajar kerajaan mengkaji semula cadangan pindaan akta ini dalam isu tersebut dan seperti kata Zainul Rijal, wajar kerajaan pertimbangkan kaedah mediasi bagi mencari penyelesaian menang-menang.

Serentak pindaan tersebut, turut berlaku pindaan kepada dua akta yang menggambarkan responsif kerajaan kepada kehendak masyarakat. Ia adalah Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan 2016) dan Rang Undang-Undang Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016. Aspek paling penting bagi RUU Kebankrapan ialah perlindungan kepada penjamin sosial daripada dikenakan tindakan kebankrapan. Keadilan yang sekian lama dinantikan.

Penjamin sosial yang ditakrif sebagai pinjaman bukan bermotifkan keuntungan seperti penjamin dalam pinjaman pendidikan sememangnya tidak wajar diheret gara-gara keingkaran peminjam. Masalah ini berlaruan sekian lama dalam masyarakat dan selain itu, cadangan menaikkan had hutang kepada RM50,000 berbanding RM30,000 sekarang sememangnya sudah lama dicadangkan.

Ini menepati implikasi daripada pengisytiharan bankrap dengan jumlah amaun yang dihutang kerana kesan daripada bankrap sangat besar ibarat hampir menggelapkan masa depan. Lagipun pemberi pinjaman (bank dalam banyak keadaan) mempunyai kaedah lain untuk ‘menghukum’ peminjam ingkar ini seperti memperoleh perintah mahkamah untuk saman penghutang kehakiman (JDS).

Biarpun kaedah itu tidak digemari bank, namun semua pihak harus berlaku adil. Jumlah RM30,000 kadangkala hanya libatkan hutang kad kredit, yang berpunca juga daripada bank sendiri terlalu longgar mengeluarkan kad sehingga menjerut pelanggan. Elok juga amaun itu dinaikkan kata seorang rakan peguam, biar bank lebih selektif dalam mengeluarkan kad kredit biar pun pada masa sama diakui, pindaan ini tidak harus membuatkan golongan liat membayar hutang bertambah.

Akhir sekali, pindaan RUU berkaitan darjah kebesaran yang juga telah lama menjadi isu dalam masyarakat. Penerima darjah palsu bukan hanya menyebabkan penerima Datuk dan darjah tulen lain rimas bahkan jika tidak dikawal, akan merosakkan struktur masyarakat dengan penipu. Menyedari penerima pingat kebesaran dipandang tinggi masyarakat apatah lagi bagi darjah Datuk dan ke atas, ramai sanggup membayar harga tinggi walaupun yang mengurniakan pihak tidak diiktiraf malah lebih parah, pingat daripada penipu.

Sejak sekian lama Utusan Malaysia memperjuangkan bahaya daripada gejala ini, akhirnya perkara ini dibawa ke Dewan Rakyat yang bukan sahaja melibatkan penawaran anugerah tetapi juga yang memakai, memanggil dan membuat. Apa pun, empat RUU itu satu tindakan praktif kerajaan. Biarpun ada polemik mengenainya terutama RUU355 dan LRA 1976, namun elok ditentukan di Dewan Rakyat tanpa perlu libatkan emosi.