Malah ada yang menyifatkan himpunan itu sebagai simbol solidariti ummah ekoran kejayaannya mengumpulkan umat Islam dari seluruh negara tanpa mengira ideologi politik selepas kejayaan penganjuran Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya, Disember tahun lalu. Semuanya dilakukan atas nama Islam, atas nama Allah SWT dan Rasul-Nya

Sesungguhnya kehadiran mereka dengan berbaju ungu pada tersebut tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata mahu menyampaikan satu mesej yang cukup jelas iaitu mahkamah syariah wajib diperkasakan dan bukannya di­biarkan lesu serta terus ketinggalan.

Inilah situasi hebat yang berlaku di Padang Merbok pada hari berkenaan. Mereka berhimpun mendengar amanat daripada individu yang berwibawa antaranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan tidak ketinggalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom,

Dalam pada itu, mungkin ramai antara kita tidak menye­dari pada hari yang sama, kumpulan yang menggelarkan diri mereka Bebas telah menganjurkan himpunan menolak RUU 355 di Tasik Taman Jaya di Petaling Jaya.

Tidak banyak perkara yang diketahui tentang himpunan itu tetapi berdasarkan maklumat di portal berita http://www.tv14.my, himpunan tersebut tidak mendapat sam­butan daripada orang ramai terutama umat Islam. Kebanyakan yang hadir adalah dalam kalangan orang bukan Islam.

Mesej mereka dalam himpunan itu, RUU 355 mesti ditolak dan seperti biasa puak yang menentang rang undang-undang ini terdiri daripada individu berfahaman liberal. Sesuai sangatlah dengan moto kumpulan Bebas iaitu sekular dan saksama.

Antara yang memberi ucapan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; peguam, Siti Kasim; aktivis Bebas, Azrul Mohd. Khalib dan beberapa individu lain lagi. Kita pun sudah sedia maklum siapa mereka ini. Siapa tidak kenal Siti Kasim, Azrul dan Zaid.

Di peringkat ini nampaknya mereka begitu serius menentang. Oleh itu, usahlah kita harapkan apa-apa daripada mereka kecuali mendoakan individu-individu ini memperoleh hidayah daripada Allah SWT.

Selain puak berkenaan, kumpulan G25 (dianggotai bekas pegawai kanan kerajaan) yang sebelum ini mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan hukuman terhadap perbuatan berkhalwat dimansuhkan turut merayu ahli Parlimen agar tidak menyokong dan membatalkan RUU 355 apabila rang undang-undang itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Inilah bentuk penentangan yang perlu kita dihadapi dan lebih malang lagi sebahagiannya datang daripada orang yang mengaku dirinya Islam. Tunjukkan kepada puak-puak penentang ini, kita langsung tidak goyah dengan tindakan mereka itu. Atas nama Islam tercinta kita semua sedia ba­ngun berjuang demi memastikan mahkamah syariah di Malaysia berada pada kedudukan sewajarnya.

Kepada semua Ahli Parlimen Islam yang berjumlah kira-kira 135 orang dan kini sedang bersidang, anda semua mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha ini. Tidak kiralah anda menjadi wakil rakyat parti yang mana sama ada Barisan Nasional (BN), Pas, PKR, PAN mahupun DAP.

Ingatlah, ini adalah kerja agama yang melangkaui arahan bos politik masing-masing. Biar kita rugi di dunia daripada menjadi pak malang di akhirat kerana menjadi pak malang di akhirat tiada pengakhiran. Jika semuanya sepakat demi Islam tercinta RUU 355 pasti akan dapat diluluskan melalui kiraan majoriti mudah.

Tiada seorang pun wakil rakyat Islam yang terkecuali. Seandainya terdapat antara mereka yang sengaja menge­cualikan diri daripada mengundi atau menolak RUU355 selepas proses perbahasan, hanya kepada Allah kita serahkan segala-galanya. Selamat bersidang.