RUU 355 perlu dilihat dengan mata hati kita yang dikaburi oleh wang ringgit dan harta berkoyan-koyan. Pengakhiran zaman manusia amat mudah memilih siapa yang mereka ingin jadikan teman atas faktor ringgit. Ini yang amat dibimbangkan kerana ukhuwah sebagai Muslim mungkin dianaktirikan.

Islam di negara kita telah diberi mandat sebagai agama Persekutuan sejak kita merdeka lagi pada 1957. Namun kita bimbang amat sangat adakah Islam diperjuangkan dengan ikhlas atau sekadar memenuhi wadah untuk memenangi undi semata-mata.

Kita sebagai bapa kepada anak-anak perempuan amat bimbang apa akan terjadi kepada mereka tanpa orang yang mempunyai roh Islam di sekeliling mereka. RUU 355 ini bukan untuk orang Pas, UMNO mahupun parti-parti lain sebaliknya adalah simbolik perjuangan generasi hari ini mengisi komputer kehidupan dengan antivirus paling utuh.

Ibu saya pernah berkata kalau boleh dia hendak ikut ke mana kaki anaknya melangkah kerana masih menganggap anak yang dikandung sembilan bulan 10 hari ini masih anaknya yang merah dalam menilai erti hidup. Dalam zaman bayi dicampak ke longkang seperti sampah dan kecurangan berlaku bak angin lalu, RUU 355 perlu menjadi satu lagi titik sentuhan oleh pemimpin Melayu yang mengaku Islam sejati.

Pasca milenium ini kita dibobrokkan dengan laman media sosial serba indah tetapi pada realitinya hancur. Hancur dari segi kemanusiaan dan tiada jiwa yang kudus. Fitnah melata atau tular bak cendawan selepas hujan. Pengguna laman sosial meninggalkan tugas hakiki sebagai ibu, bapa, pekerja, anak mahupun rakyat yang bertanggungjawab hanya kerana taksub dengan pandangan yang dikutip daripada pemimpin politik yang hipokrit dan menganut fahaman Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara.

Agama Islam sudah terang lagi bersuluh mengharamkan fahaman sebegini. Bagi mengelak nilai-nilai sedemikian terus menular dan membarah dalam hidup kita maka Islam wajib diperkasakan. Hari ini jenayah rasuah me­rupakan sebahagian daripada matlamat menghalalkan cara yang wajar dibanteras dalam sistem masyarakat kita. Kita bimbang jika rasuah gagal dibendung, jenayah seperti penyalahgunaan kuasa akan terus membayangi kemajuan negara ini.

Ada negara tertentu menghukum tembak pengedar dadah tanpa bicara dan ini terjadi dise­babkan tahap jenayah tersebut semakin sukar dikawal. Diharap apabila kita sudah mempunyai satu set undang-undang Islam yang mantap maka integriti rak­yat dan penguat kuasa undang-undang mampu diperkasakan.

Apabila RUU 355 dibahas pada sesi Parlimen akan datang sewajarnya ahli Parlimen beragama Islam bersatu-padu untuk memastikan ia diluluskan tanpa sebarang polemik yang tidak berkesudahan. Perdana Menteri sendiri telah mula menggerakkan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan diharap RUU 355 boleh juga dijadikan sebahagian daripada gagasan tersebut.

Harapan umat Islam agar RUU 355 tidak dijadikan modal oleh mana-mana pihak jika PRU-14 menjengah muka tidak lama lagi. Fikirkan betapa pentingnya Islam terus diperkasakan kerana ini adalah asas negara kita yang menjadikan kita sehebat hari ini di mata dunia walau ada yang sangsi disebabkan faktor ter­tentu.

Beri ruang untuk RUU 355 dijadikan sebagai pemangkin kepada pembentukan tamadun Islam moden yang lebih dinamik di bawah pentadbiran parti politik yang terus menjunjung Islam dan al-Quran sebagai kompas kemajuan negara. Lupakan perbezaan politik sempit untuk sebentar. Fikirkan generasi kita pada 2020, 2050 malah untuk selamanya.