Banyak buku tersebut mengandungi mak­lumat serta idea menarik yang berpotensi membawa transformasi diri dan masyarakat. Secara idealnya, kita amat mengharapkan industri penterjemahan di negara ini dapat bergiat sepantas penerbitan buku-buku di pasaran antarabangsa agar dapat ditelaah dalam bahasa Melayu.

Seiring dengan usaha penterjemahan, di ruangan ini saya ingin memperkenalkan secara langsung buku-buku bukan fiksyen terbaharu atau klasik dari Barat dengan harapan bahawa kewujudan mereka menjadi makluman masyarakat untuk pembacaan sendiri atau usaha penterjemahan lanjut.

Pada minggu ini saya ingin memperkenalkan tiga buah buku berkenaan pembentukan rutin pagi yang boleh membantu ke arah kejayaan dalam hidup, iaitu My Morning Routine: How Successful People Start Every Day Inspired oleh Benjamin Spall dan Michael Xander, Morning: How to Make Time - A Manifesto oleh Allan Jenkins dan The Miracle Morning: The 6 Habits that Will Transform Your Life before 8am oleh Hal Elrod.

Buku My Morning Routine menjelaskan kenapa kita perlu memperkasa rutin pagi kita dan bagaimana untuk kita mencapainya. Ia turut memaparkan temubual bersama 64 personaliti khasnya di AS berkenaan rutin pagi mereka yang boleh dijadikan rujukan buat pembentukan rutin pagi kita sendiri. Tips rutin pagi buat para ibu bapa juga diceritakan dalam buku ini.

Buku Morning pula mencoretkan jurnal penulisnya Allan Jenkins berkenaan rutin pagi beliau dalam setahun.

Jurnal beliau boleh dijadikan contoh bagaimana kita boleh menulis jurnal kita sendiri dengan mengamati suasana pagi seperti kicauan burung atau bunyi ambulan serta fikiran atau perasaan kita pada pagi berkenaan.Buku ini juga memaparkan temubual 12 personaliti di UK khasnya seperti Jamie Oliver dan Samuel West.

Manakala buku the Miracle Morning pula menyediakan enam tabiat pagi yang disifatkannya berkesan untuk berjaya dalam hidup dan boleh dilaksanakan dalam hanya enam minit. Enam tabiat tersebut dinyatakan sebagai Life S.A.V.E.R.S. yang merujuk kepada Silence (sunyi), Affirmation (yakini), Visualization (bayangkan), Exercise (riadah), Reading (membaca) dan Scribing (menulis).

Penulis buku tersebut pada mulanya menceritakan kisah beliau yang dapat bangkit daripada kegagalan dan keilatan akibat kemalangan hasil daripada pengamalan enam tabiat pagi berkenaan.

Untuk mengikuti ulasan lanjut dalam bentuk video atau gambar foto buku-buku yang disebut di sini para pembaca dijemput melawati laman Instagram @fair read.