Walaupun Pakistan diwujudkan antara lain untuk mengelak perga- duhan antara agama itu tetapi ia turut disertakan dengan perang antara kedua-dua negara yang mana konflik Kashmir masih berlanjutan.

Empayar British mencakupi bukan saja India tetapi juga Pakistan, Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka. Di bawah British, Myanmar dipanggil Burma dan Sri Lanka adalah Ceylon. Pakistan dan Bangladesh adalah sebahagian daripada India. Kedua-dua India dan Burma diperintah dari Calcutta, kini dikenali sebagai Kolkota yang merupakan ibu negeri West Bengal atau Benggala Barat.

East Bengal atau Benggala Timur kini menjadi Bangladesh selepas berpisah daripada Pakistan. Ceylon ditadbir secara berasingan di kota Colombo. Ceylon pula mencapai kemerdekaan pada tahun 1948 dan menukar namanya kepada Sri Lanka pada tahun 1972.

Majoriti penduduk Sri Lanka ialah kaum Sinhala yang beragama Buddha. Kaum kedua terbesar ialah Tamil beragama Hindu. Daripada 21 juta penduduk Sri Lanka, hampir 10 peratus adalah orang Islam. Lima peratus daripada orang Islam Sri Lanka adalah keturunan Melayu.

Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka mengiktiraf kehadiran orang Islam di negara itu. Bendera Sri Lanka bernama Sinha yang bermaksud singa. Haiwan kebangsaan yang berwarna emas itu diterakan di tengah-tengah.

Latar belakang singa itu berwarna merah hati yang melambangkan kaum Singhala. Di sebelah kiri bendera itu terdapat jalur hijau dan oren. Warna hijau melambangkan orang Islam sementara warna oren mewakili kaum Tamil. Warna emas menegas perpaduan semua kaum dalam satu kebangsaan Sri Lanka.

Sri Lanka dan Burma mempunyai persamaan dari segi penganut agama Buddha adalah majoriti dan dominan. Burma mencapai kemerdekaan pada tahun 1948 dan menukar namanya kepada Myanmar pada tahun 1989. Di negara itu bukan saja berlaku serangan perusuh Buddha terhadap minoriti Islam, tetapi secara tersusun tentera negara itu melakukan penghapusan kaum dengan mengusir keluar orang Rohingya melalui pembunuhan, rogol dan rampasan harta benda.

Pada Rabu lalu, seorang ahli Dewan Rendah Parlimen Myanmar menyifatkan Islam sebagai ‘kanser’. Beribu-ribu orang Rohingya yang beragama Islam telah menjadi pelarian. Kebanyakan lari ke Bangladesh yang menyediakan kem-kem perlindungan.

Hasutan

Tetapi begitu ramainya orang Rohingya yang terpaksa lari, maka tentu sampai juga ke negara-negara yang lebih jauh. Maka tidak hairanlah, ada antara orang Rohingya yang sampai ke India, Thailand, Malaysia, Indonesia dan sudah tentu Sri Lanka.

Semua negara itu bimbang tentang kesan sosial terhadap kehadiran pelarian Rohingya yang ramai itu. Bagi negara-negara majoriti Islam iaitu seperti Bangladesh, Malaysia dan Indonesia, mereka juga berusaha untuk menampung kehadiran pelarian itu. Tetapi kemampuan mereka juga terhad.

Tetapi India, Thailand dan Sri Lanka yang walaupun bukan negara majoriti beragama Islam, mereka mempunyai penduduk minoriti Islam yang juga besar. Ke mana lagi untuk pelarian ini mencari perlindungan dan bantuan kalau tidak sesama agama.

Sudah tentu sedikit sebanyak ada kalangan orang Islam di India, Thailand dan Sri Lanka yang turut membantu orang Rohingya menurut kadar kemampuan mereka. Namun kehadiran orang Rohingya ini menimbulkan rasa curiga dan tidak senang hati kepada kaum majoriti negara berkenaan.

Kaum majoriti itu bimbang jika orang Rohingya menetap di negara mereka, ia akan menambah bilangan penduduk beragama Islam, yang akhirnya akan mengubah statistik kaum penduduk mereka. Isu inilah yang turut dibincangkan oleh sebahagian daripada orang Sinhala.

Perbincangan ini merebak menjadi hasutan dan pada Selasa lalu telah berlaku rusuhan yang mana serangan orang Sinhala ke atas minoriti Islam. Beberapa kedai milik orang Islam telah dibakar di Kandy. Sebuah masjid juga dibakar. Rusuhan ini dibimbangi akan berulang dan kerajaan Sri Lanka mengisytihar darurat di situ.

Seperti mana rusuhan antara kaum dan agama, ia boleh meletus hanya dengan sesuatu insiden kecil tetapi dalam suasana perasaan panas dan sensitif. Peristiwa di Kandy ini bermula dengan pergaduhan kecil pemuda yang membawa kepada kematian seorang penganut Buddha.

Ia membawa kepada tindakan balas orang Buddha menyerang orang Islam. Banyak orang Islam di Kandy menjalankan perniagaan. Mereka dalam kalangan kaum Islam yang dipanggil Moor. Majoriti orang Islam adalah dari orang Moor.

Panggilan Moor ini diberikan oleh Portugis apabila mereka mula sampai ke Sri Lanka pada kurun ke-16. Orang Islam di Andalusia yang mana buminya didirikan negara Portugis dan Sepanyol dipanggil Moor atau Moro. Sebab itu Maghribi dipanggil Morocco dan orang Islam di Filipina yang dijajah Sepanyol juga dipanggil Moro.

Orang Moor di Sri Lanka dari segi keturunan berasal dari negeri-negeri India Selatan iaitu Kerala dan Tamil Nadu. Mereka bertutur bahasa Tamil tetapi bermazhab Syafie seperti orang Islam di Kerala dan Pantai Malabar.

Sebelum kedatangan Barat, mereka datang berdagang bersama dengan orang Arab dan Parsi dari Basrah dan Oman sebelum meneruskan perjalanan ke Madras di Tamil Nadu dan Melaka.

Orang Islam memanggil pulau Sri Lanka, Serendib. Hubungan baik antara orang Islam dengan kerajaan Kandy yang beragama Buddha membawa kepada pemberian tanah oleh rajanya kepada orang Islam itu.

Penjajah Barat pertama yang datang ialah Portugis. Ia menakluk kerajaan Kotte di sebelah timur dan berusaha hendak menawan Kandy. Kerajaan Kandy meminta bantuan Belanda untuk melawan Portugis.

Akhirnya Belanda yang menguasai Sri Lanka sebelum ia diserahkan kepada British. Pada masa Belanda, mereka membawa orang Melayu ke situ. Sri Lanka merdeka dalam bentuk dominion yang menjadikan raja British sebagai ketua negara mereka.

Walaupun kaum majoriti Sri Lanka adalah Sinhala beragama Buddha tetapi negara itu diisytiharkan sebagai republik demokratik sosialis yang memberi sama kedudukan kepada semua kaum dan anutan agama penduduknya.

Tetapi pada awal kemerdekaan itu, Sinhala mendominasi politik negara hingga mendorong sebahagian penduduk Tamilnya memperjuangkan pemisahan.

Mereka mahu mewujudkan negara Tamil Eelam yang mana penduduk majoritinya adalah orang Tamil dan beragama Hindu. Perang 26 tahun antara kerajaan Singhala dan pemberontak Tamil menyebabkan orang Islam terperangkap dan turut menjadi mangsa. Menjadi minoriti mempunyai risiko tersendiri.