Minggu ini kita pula disiarkan berita suami dan isteri memperdagangkan 12 kanak-kanak perempuan dan empat remaja lelaki melalui kegiatan mengutip derma sedangkan ibu bapa dan penjaga masing-masing menghantar anak mereka untuk belajar agama. War­ga emas yang diberi kepercayaan untuk memastikan anak-anak ini mendapat didikan agama menyalahgunakan ke­bebasan yang diberikan atas na­ma tanggungjawab sehingga menyeleweng daripada didikan agama, alpa dengan keme­wahan dengan memeras tenaga kanak-kanak.

Begitu juga dengan kejadian ayah mencabul anak sulung dan merogol anak bongsu berumur lapan tahun. Seorang yang diberi kepercayaan melindungi dan menjaga keselamatan anggota keluarga tergamak melakukannya untuk memenuhi nafsu sendiri. Di manakah harga diri ayah ini? Adakah ini harga kebebasan seorang ketua rumah untuk ­melakukan apa sahaja yang diinginkannya?

Waktu yang sama, ada pula in­dividu yang tidak tahu menghormati pihak berkuasa sehingga menghina, mengugut dan mengaibkan dengan memuat naik tangkapan ke atasnya untuk me­raih simpati. Seorang pekerja ke­lab didapati memandu dengan ka­dar minuman arak yang melebihi paras yang dibenarkan. In­dividu tersebut kemudiannya me­nggunakan ungkapan yang kurang menyenangkan untuk mem­beri gambaran seolah-olah pihak berkuasa tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Ke­­bebasan diberi pilihan dan un­dang-undang diletak pada diri sen­diri; berkata dirinya seorang warga bertanggungjawab tetapi terlupa dalam video tersebut dia tidak memakai tali pinggang ke­ledar!

Sebelum itu, seorang lagi individu membunyikan hon tanpa henti ketika jemaah sedang solat Jumaat. Di manakah rasa hormat, faham dan menerima di antara satu sama lain yang dipraktik selama ini? Walaupun kende­raan diletak berhampiran jalan, dalam suasana seperti itu wajar berfikir secara rasional bukannya emosional. Gara-gara tindakan itu, dia dibelasah kerana terus melakukannya walaupun sudah diberi amaran agar memberi peluang kepada pemandu untuk alih­kan kenderaannya. Adakah dia sengaja membunyikan hon atau mempersendakan jemaah lain atas nama kebebasan?

Di sekolah pula, lahir pengkaderan kumpulan gengsterisme yang dijadikan ahli oleh kumpulan luar dan pelajar sekolah menunjukkan keberanian de­ngan mengadakan aktiviti secara ter­buka sehingga diberkas pihak berkuasa. Dalam usia muda, me­reka terdedah kepada aktiviti kumpulan seperti ini yang ke­san­nya amat besar bukan sahaja ke­pada sekolah itu tetapi juga persekitaran yang mereka huni. Apakah ini juga kekebalan untuk memberi makna ke atas kebebasan?

Di samping itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, cuba dicemar imejnya oleh wartawan luar di London baru-baru ini. Adakah ini kebebasan yang kita contohi sehingga pembesar negara dan ahli keluarga tidak dihormati sedangkan sebagai pemimpin dalam apa jua keadaan, mereka dipilih melalui amalan demokrasi dan tidak wajar ada pihak yang sekongkol dengan pihak luar semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Adakah nilai kebebasan hari ini lebih mengutamakan pembunuhan karakter daripada mencari kebenaran secara berhemah dan matang? Perlumbaan ­penyiaran berita media sosial membelakangkan etika penulisan ­seolah-olah berebut menggunakan kebebasan untuk menjadi yang pertama menyiarkan sesuatu berita walaupun tidak benar dan bukan yang pertama menyiarkan berita yang sahih.

Berita palsu berkenaan kerabat diraja juga tidak ketinggalan dalam arena media sosial. Mi­salnya, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dikatakan gering; kini Sultan ­Pahang, Sultan Ahmad Shah turut menjadi berita yang tular apabila baginda dikatakan berada dalam keadaan membimbangkan.

Kebebasan melangkaui ­ba­­ta­san umur, kelas dan stratifikasi ma­syarakat tanpa mengira ke­du­dukan dan pangkat ini seolah-olah menjadi permainan yang dijaja sekumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua yang disenaraikan ini memberi gambaran wujud nilai palsu baik dalam arena sosial, ekonomi mahupun politik. Hakikatnya, luntur sifat manusia untuk memahami aspirasi nilai budi sebenar; pupus nilai budaya warisan berzaman kerana ketangkasan untuk bersaing di arena global. Dahulu ‘budaya’ sebagai cara hidup secara berterusan sehingga menjadi intisari kepada jati diri dipertahankan; hari ini jaringan nilai budaya ti­nggi disulami dengan perincian Perlembagaan, Rukun Negara dan nilai-nilai budaya tinggi warisan bangsa termasuk nilai murni, moral, akhlak dan akidah serta memiliki nilai kemanusiaan perkongsian dan kepunyaan bersama seolah-olah menjadi palsu dan bukan lagi amalan.

Wajar didalami bahawa runtuh budi, runtuh bangsa kerana asas tamadun bangsa adalah budi; dan sahsiah budaya tinggi akan menzahirkan pembinaan warga dikagumi.

Ledakan teknologi perlu tetapi tidak usah diagungkan sehingga yang berunsur so­ngsang dijunjung manakala yang menjadi asas struktur nilai masyarakat tinggal diperlekeh­kan sehingga ikatan kerjasama masyarakat menjadi rapuh, terhakis dan cenderung untuk hilang jika masyarakat bersifat individualistik dan mengejar kebendaan semata-mata dan meminggirkan nilai sebagai ketua rumah, hormat, tanggungjawab, berkompromi, bekerjasama, ber­budi-ba­hasa dan bertolak-ansur ke arah merealisasikan pembentukan ma­syarakat yang cemerlang, ma­syarakat kelas pertama.

Sudah tiba masanya mata pe­lajaran ‘Budaya Malaysia’ ­di­­­­­perkenalkan di peringkat ­paling awal zaman persekolahan dan kemudiannya diterap dalam mata pelajaran lain oleh tenaga pengajar supaya nilai-nilai warisan tidak terhapus dengan sendiri­nya. Pelbagai pihak memainkan peranan untuk mentransformasi pembinaan negara bangsa ini. Yang penting ada iklim harmoni, sampaikan ilmu, ajar kemahiran dan terap nilai akhlak mulia.

Cabaran hari ini ada yang berbentuk luaran dan ada juga bersifat dalaman merentasi cabaran rohani, akhlak, amanat, ekonomi, sosial, teknologi dan politik serta pembinaan budaya ilmu dan pembudayaan masyarakat Malaysia.

Pembinaan nilai budaya bukan kepercayaan baharu, ia bukan manifestasi ajaran baharu; ia lahir dalam menanam dan menerap nilai kemanusiaan sebagai asas keutuhan budi dan bangsa.

PROFESOR DR. SIVAMURUGAN PANDIAN dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.