Perangkaan negara matahari terbit itu pada tahun 2015 saha­ja menunjukkan 26.7 peratus daripada 127.11 juta populasi penduduk negara itu adalah golo­ngan warga emas yang berusia 65 tahun ke atas.

Jumlah itu ternyata melebihi definisi negara tua yang ditakrifkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu peratusan penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Buat ketika ini, beban besar terpaksa dihadapi kerajaan Jepun untuk menanggung kos penjaga­an golongan pesara di negara itu selain pelbagai kesan meliputi aspek kualiti hidup, produktiviti serta sosioekonomi.

Malaysia yang mengimpikan menjadi antara 20 negara terbaik di dunia menjelang tahun 2050, tidak wajar terlepas pandang terhadap situasi negara tua yang kian lama kian menjadi realiti.

Tempoh itu pun tidak lama lagi kerana Jabatan Statistik telah pun menganggarkan Malaysia mencapai status negara tua pada tahun 2035. Persoalannya, sejauh manakah Malaysia bersedia untuk menjaga kebajikan golongan warga tua yang semakin hari semakin bertambah ini?

Setiausaha Agung Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta (Pejasma), Datuk Abd. Rahman Manan berkata, pihaknya kini sedang giat mengumpul pelbagai input agar dapat disalurkan kepada kerajaan untuk merangka strategi berkesan menjaga kepentingan golongan warga emas khususnya golongan pesara.

“Kita tidak perlu pergi jauh, 20 atau 30 tahun dahulu, jumlah pencen RM1,000 atau RM1,500 sudah dianggap besar untuk tampung belanja keluarga dan pelajaran anak-anak tetapi apalah sangat jumlah itu sekarang dengan pelbagai kenaikan kos kehidupan.

“Kita pernah anggap simpanan antara RM200,000 atau RM300,000 dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sudah cukup namun hakikat jumlah itu tidak mencukupi sekira­nya jangka hayat penduduk Malaysia semakin bertambah, banyak perkara sebenarnya kita perlu melihat semula,” katanya.

Pejasma yang mula ditubuhkan pada 15 Mei 2017 adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama di Malaysia yang mengambil peranan untuk tidak hanya membela kebajikan golo­ngan pesara kerajaan tetapi juga pesara daripada sektor swasta.

Pertubuhan itu menjangkakan keahliannya akan mencecah 30,000 orang menjelang akhir tahun ini dengan pembukaan cawangan sedang giat dilakukan di seluruh negara agar tiada pihak terlepas pandang terhadap kepentingan golongan pesara.

“Kebajikan pesara keraja­an pada ketika ini dibuat oleh Yayasan Pesara Kerajaan selain persatuan pesara daripada jabatan masing-masing, tetapi bagaimana pula dengan pesara sektor swasta, sebab itu kita melihat adanya keutamaan untuk Pejasma diwujudkan,” ujarnya.

Kata Abd. Rahman, pihaknya yang mewakili golongan NGO sedia mengambil tanggungjawab besar untuk membantu kerajaan dalam persediaan menghadapi status negara tua, namun banyak dasar dan polisi sedia ada perlu disusun dan distruktur semula.

“Misalannya, pesara kerajaan terletak di bawah JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) manakala pesara swasta di bawah Kementerian Sumber Manusia, mungkin perlu ada unit diwujudkan yang menggabungkan kedua-dua pesara awam dan swasta kerana kita semua berada dalam satu masyarakat,” katanya yang juga bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Ujarnya, perancangan terdekat pihaknya buat masa ini adalah untuk menubuhkan Yayasan Bekas Pekerja Malaysia yang bersifat inklusif terhadap setiap pesara tanpa mengira sektor pekerjaan awam dan swasta serta mampu turun ke segenap lapisan akar umbi masyarakat.

Pejasma juga dalam proses untuk mewujudkan pusat sehenti kepada golongan pesara untuk menawarkan perkhidmatan da­lam kapasiti sebagai konsultan agar kepakaran-kepakaran yang masih dimiliki negara tidak membazir begitu sahaja.

Menurut beliau, Pejasma meletakkan harapan besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif menjaga ke­pen­tingan golongan pesara dan pihaknya sentiasa bersedia me­nyalurkan input-input serta maklum balas yang diperlukan.

Dalam pada itu, menurut Naib Presiden Pejasma, Ab. Halim Hamzah, berbanding golongan pesara kerajaan yang terjamin dengan bayaran pencen, beliau meletakkan lebih kebimbangan terhadap pesara sektor swasta terutamanya dari segi pelindungan kos kesihatan serta simpanan kewangan pada hari tua.

“Sebaik sahaja kita bergerak untuk menjadi negara maju, po­pulasi warga tua akan bertambah, itu kita kena bersedia dari sekarang, itu apa yang kita perlu lakukan,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bumijez Sdn. Bhd..

Kata beliau, selain turun padang untuk mendapatkan input daripada golongan pesara, pihaknya juga merangka pelbagai program untuk kebajikan golongan pesara ter­masuk bantuan semasa sakit, bencana alam, kemalangan serta dalam soal berkaitan kematian.

“Dari segi khairat, kami setakat ini melaksanakan tiga pakej iaitu Skim Khairat 1Malaysia-Edisi Sektor Awam, Skim Khairat Pesara 1Malaysia dan Skim Khairat MyInfo-Bakti yang ditawarkan kepada sektor awam, pesara kerajaan dan orang awam.

“Sekiranya berlaku kematian kepada ahli, kita menawarkan pengurusan jenazah lengkap daripada peringkat khidmat nasihat, mandi jenazah, kafan sehingga pengebumian, malah pihak waris mendapat wang khairat untuk membantu mengurangkan beban,” katanya yang memaklumkan talian bebas tol turut diwujudkan untuk bantuan perkara itu.