KEMUSNAHAN akibat penggunaan senjata nuklear pada zaman sekarang adalah jauh lebih besar daripada kesan bom yang digugurkan di Hiroshima. GAMBAR HIASAN/AFP

Kira-kira 130 negara menyertai sesi terakhir rundingan dari 15 Jun hingga 7 Julai mengenai perjanjian untuk melarang senjata nuklear. Kali ini lebih daripada sekadar bercakap.

Rundingan ini adalah peluang terbaik ke arah penghapusan senjata nuklear. Jika berjaya, ini akan menjadi perjanjian yang pertama di peringkat antarabangsa yang secara jelas melarang penggunaan senjata nuklear.

Selepas lebih tujuh dekad, negara-negara akhirnya bermesyuarat di peringkat antarabangsa untuk melarang penggunaan senjata ini di bawah undang-undang antarabangsa. Ini adalah satu pe­luang bersejarah untuk menamatkan zaman senjata nuklear.

Memandangkan kesan terhadap kemanusiaan yang teruk dan ketidaksesuaian dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa (UUKA), adalah penting untuk memastikan bahawa senjata nuklear tidak lagi digunakan dan harus dihapuskan. Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), dan Pergerakan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, telah menyeru pelarangan dan penghapusan senjata nuklear sejak penggunaannya pada 1945.

ICRC dan Palang Merah Jepun sendiri telah menyaksikan penderitaan yang tidak terkata di­sebabkan oleh serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki ketika kami memberi pertolongan kepada mangsa yang mati dan tercedera akibat senjata nuklear.

Selama 72 tahun berlalu, kita masih menjadi saksi kepada kesan jangka panjang senjata nuklear, Hospital Palang Merah Jepun terus membantu beribu-ribu mangsa kanser yang disebabkan oleh pendedahan radiasi.

Kajian terbaru juga menunjukkan bahawa tiada negara atau organisasi kemanusiaan yang mampu memenuhi keperluan mangsa-mangsa bom nuklear secukupnya. Letupan nuklear mampu memusnahkan kemudahan perubatan.

Kakitangan perubatan juga turut terkorban seperti mangsa yang lain.

Kesan kemusnahan penggunaan senjata nuklear hari ini adalah lebih besar daripada kesan bom yang digunakan di Hiroshima dan Nagasaki. Satu kajian telah menunjukkan bahawa pertempuran nuklear yang terhad juga sudah mampu memberikan kesan secara global.

Satu serangan nuklear mungkin boleh menyejukkan atmosfera, mengurangkan pengeluaran pertanian, dan mampu menyebabkan kebuluran di mana sejumlah besar orang akan binasa. Kajian juga menunjukkan bahawa risiko penggunaan senjata nuklear hari ini - sama ada dengan niat atau satu kemalangan - adalah lebih tinggi daripada semasa Perang Dingin.

Ketegangan global, konflik serantau yang melibatkan negara-negara yang mempunyai senjata nuklear, kerumitan yang semakin meningkat dan kelemahan sistem senjata nuklear - semua ini adalah benar dan realiti yang sangat membimbangkan hari ini. Malah, senjata nuklear mampu mengancam kelangsungan hidup manusia.

Mereka yang terlibat dalam rundingan di New York perlu ingat akan kesan bencana kemanusiaan. Perjanjian itu hendaklah termasuk larangan yang jelas dan menyeluruh. Larangan itu perlu meliputi penggunaan, pembangunan, pengeluaran, pengumpulan dan pemindahan senjata nuklear.

Ada orang yang mengatakan bahawa rundingan ini bukan satu langkah praktikal untuk melucutkan senjata nuklear. Ini adalah kerana sebahagian besar negara dengan senjata nuklear tidak akan hadir. Tetapi apakah alternatifnya?

Tiada perkembangan dalam Persidangan Mengenai Perlucutan Senjata selama beberapa dekad. Ulasan pada 2015 tentang Triti Antiproliferasi berakhir tanpa sebarang kata putus dan komitmen untuk melarang pemindahan dan pembangunan senjata dan teknologi mereka tidak dipenuhi. Pada masa sama, negara yang memiliki senjata nuklear sedang memodenkan senjata nuklear mereka seperti senjata kimia dan biologi.

Justeru pelaksanaan perjanjian ini akan menjadi satu petanda jelas bahawa majoriti negara menganggap bahawa senjata nuklear tidak boleh digunakan.

Menyatakan senjata ini adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa boleh menjadi insentif untuk negara-negara yang memiliki senjata nuklear dan sekutu mereka bagi mengurangkan risiko nuklear dan senjata nuklear. Ini adalah langkah yang mereka komited untuk melaksanakannya. Satu perjanjian kukuh mampu menjadi penghalang percambahan penggunaan senjata nuklear oleh negara lain.

Ketika usaha di peringkat antarabangsa dalam meningkatkan perlucutan senjata nuklear sedang memasuki fasa baharu yang kritikal, kita semua mempunyai peluang - atau sebaliknya, tanggungjawab - dalam membentuk perjalanan sejarah.

Ini adalah masa untuk bertindak demi masa depan anak-anak kita dan planet kita. Langkah yang paling penting ialah dengan mengharamkan senjata nuklear!

PENULIS ialah Pegawai Program ICRC.