Jika jawapannya ada perlukan semua perkhidmatan atau sekurang-kurangnya dua (jika tiada orang tua atau bayi), maka bersedialah untuk membayar RM1,400 untuk dua pembantu rumah yang akan menyelesaikan kerja-kerja tersebut.

Tetapi jika anda mempunyai ibu dan bayi yang perlu dijaga, maka fikirkan tambahan RM1,400 lagi. Jika tidak mencapai tahap upaya untuk membayar hampir RM3,000 untuk semua kerja tersebut, maka lupakan hasrat mahu menggunakan khidmat pembantu rumah Indonesia.

Kita sendiri tidak faham bagaimana Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Indonesia mengenai pembantu rumah boleh mencapai persefahaman seumpama itu. Tidak diketahui juga bagaimana mereka boleh bersetuju untuk membuat keputusan tersebut.

Bukankah perkara utama yang perlu disepakati adalah perihal jumlah bayaran untuk mengambil seorang pembantu rumah yang sebelum ini terlalu tinggi menjangkau RM10,000.

Keduanya, soal gaji pembantu rumah yang dikatakan agak rendah di Malaysia dan seterusnya spesifikasi kerja yang perlu mereka lakukan.

Justeru apabila pasukan petugas dibentuk bagi membincangkan hal-hal tersebut maka adalah menjadi harapan majikan di negara ini supaya semua urusan pengambilan pembantu rumah bertambah lancar. Paling penting diharapkan agar ada tolak-ansur antara di pihak negara pembekal pembantu rumah serta agensi-agensi yang berkaitan termasuk di Malaysia.

Misalnya, jika sebelum ini majikan terpaksa berbelanja besar untuk menggaji seorang pembantu rumah maka turunkan sedikit kadar tersebut. Jika masalah upah yang dikatakan rendah maka majikan bersedia menaikkan kadar upah dengan syarat sediakan tenaga kerja yang mampu memahami arahan dan membuat kerja-kerja asas.

Sebab itu apabila ada istilah berunding, maka ribuan bakal majikan yang menunggu umpama buah tidak gugur mengharapkan sesuatu yang positif. Berunding bukan bermakna untuk menyusahkan, sebaliknya rundingan selalunya berakhir dengan keputusan menang-menang.

Namun jika rundingan menelurkan syarat baru iaitu pembantu rumah dibayar RM700 hanya untuk satu tugas khusus, maka apa sebenarnya makna rundingan tersebut. Yang peliknya bagaimana pihak yang mewakili Malaysia boleh bersetuju dengan syarat baru itu sedangkan amat terang lagi jelas bahawa ia sememangnya tidak masuk akal.

Bayangkan jika pembantu rumah itu khusus untuk memasak sahaja, adakah masuk akal sepanjang hari tugasnya hanya memasak. Apatah lagi jika kedua-dua majikannya bekerja, anak hanya seorang di rumah dan bersekolah dari pagi hingga ke petang, maka di mana logiknya pengkhususan itu? Begitu juga jika tugas pembantu rumah hanya mengemas rumah - dari pagi hingga ke malam untuk sebuah rumah teres dua tingkat tiap-tiap hari apa agaknya yang perlu dikemas lagi.

Lebih-lebih lagi dengan upah RM700 untuk satu jenis kerja, adakah berbaloi? Siapa yang menang dan siapa pula yang kalah dalam rundingan tersebut. Sepatutnya apabila kadar upah dinaikkan ia hendaklah sejajar dengan beban kerja yang perlu disempurnakan oleh pembantu rumah.

Kalau sebelum ini mereka dibayar RM500 untuk membuat kerja-kerja rumah seperti menyediakan masakan yang ringkas, mengemas (selalunya ala kadar) dan menjaga anak majikan, takkan pula RM700 untuk satu jenis kerja sahaja? Apa sebenarnya yang dibincangkan dalam rundingan tersebut sehingga membawa kepada persetujuan yang kini mendapat sanggahan di kalangan bakal-bakal majikan di Malaysia.

Mungkinkah keadaan ini didorong oleh sikap tolak ansur Malaysia dengan negara jiran sehingga 'hati' kita tidak pernah dijaga malah adakalanya kita umpama dipermain-mainkan.

Ambil contoh janji negara jiran mahu menghantar pembantu rumah. Dari sehari ke sehari, minggu ke minggu sehinggalah bulan ke bulan, namun pelbagai alasan diberi untuk melewat-lewatkan kemasukan pembantu rumah ke negara ini.

Timbul persoalan adakah Indonesia mengenakan syarat yang serupa kepada negara-negara lain termasuk Singapura? Adakah mereka menangguhkan penghantaran pembantu rumah seperti mana yang dilakukan kepada Malaysia? Jika jawapannya tidak, mengapa agaknya layanan berbeza diberi kepada negara-negara yang memerlukan khidmat pembantu rumah itu.

Majikan di Malaysia sedia maklum bahawa pembantu rumah dari Indonesia yang dihantar ke sini bukan gred A, tidak juga gred B. Keadaan itu sendiri sudah merupakan double standard, tetapi oleh kerana pembantu rumah kini menjadi satu keperluan, maka tolak-ansur 'menghalalkan' amalan tersebut.

Adakah kerana mengetahui bahawa ramai bakal majikan di Malaysia terdesak mahukan khidmat pembantu rumah, maka syarat-syarat yang menekan itu cuba dilaksanakan? Siapa sebenarnya yang cuba mengaut keuntungan daripada kemelut pembantu rumah yang tidak diketahui bilakah kesudahannya?

Sebagai seorang wanita bekerja yang telah menggunakan khidmat pembantu rumah dari Indonesia sejak 15 tahun lalu, saya tidak nampak kewajaran peraturan baru itu dikuatkuasakan. Saya juga tidak faham mengapa wakil Malaysia dalam jawatankuasa tersebut boleh menerima peraturan baru itu sehingga membawa kepada satu persetujuan.

Timbul persoalan adakah peraturan baru (yang diharapkan tidak menjadi kenyataan) turut terpakai kepada pembantu rumah telah pun berada di negara ini. Jika tidak terpakai tentunya menimbulkan suasana kurang tenteram di kalangan mereka lantaran cemburu rakan-rakan yang baru masuk mendapat upah lebih tinggi tetapi beban kerja amat sedikit.

Sehubungan itu, adalah menjadi harapan bakal majikan di Malaysia supaya rundingan pasukan petugas itu tidak terhenti setakat keputusan satu amah satu kerja. Timbangkan segala kesan daripada persetujuan tersebut dan adakan rundingan semula, supaya keputusan menang-menang dapat dicapai apatah lagi bagi dua negara serumpun.