Kalau di bandar, tradisi rumah terbuka menyebabkan semangat berkunjung ke rumah jiran semakin pudar. Pendek kata, sebahagian besar kita hanya menghidupkan amalan ziarah-menziarahi apabila ada rumah terbuka. Jika tidak, masing-masing hanya terperuk di rumah.

Anak-anak pula sebahagian mereka terutamanya remaja tidak suka untuk ziarah-menziarahi. Alasan mereka malaslah, sudah besar, tak payahlah, menonton televisyen­ lagi seronok. Demikian antara kata-kata mereka, namun kesannya amat besar kepada pembentukan sahsiah diri dan keluarga jika sering diamalkan.

Antara sebabnya, kita meletakkan juadah sebagai perkara utama. Sedangkan yang lebih utama adalah zia­rah-menziarahi dan saling bermaafan. Ada dalam kalangan masyarakat yang lebih bimbangkan apa yang nak dijamu kepada tetamu berbanding suruhan agama berkaitan menyambung tali persaudaraan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung silaturahim. (Muttafaqun ‘alaih)

Selepas selesai menjalani madrasah Ramadan yang sepatutnya mendidik hati sentiasa patuh dan tunduk kepada perintah Allah, Aidilfitri membuka ruang kepada kita untuk mengaplikasi ajaran Islam mengenai konsep berkenal-kenalan (litaarafu) dan mengeratkan silaturahim. Jangan kerana saling berkomunikasi melalui laman sosial menyebabkan kita tidak lagi mahu bertemu muka dengan sanak saudara dan rakan taulan.

Lebih malang, jika ada yang sekian lama sudah berke­rat rotan dengan ibu bapa atau adik-beradik disebabkan salah faham. Aidilfitri adalah antara saat dan ketika yang sesuai untuk memaaf dan melupakan (forgive and forget). Buang yang keruh ambil yang jernih. Jangan sampai berlaku situasi ibu bapa menunggu penuh kerinduan kepulangan anak-anak di hari lebaran sedangkan anak-anak tetap berkeras tidak mahu pulang bertemu ayah bonda.

Di dalam al-Quran ada banyak ayat yang memerintahkan kita berbakti kepada ibu bapa. Daripada sahabat Abu Abdirrahman Abdullah bin Mas’ud r.a dia berkata: “Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang amalan yang paling utama dan dicintai Allah? Baginda menjawab: Pertama, solat pada waktunya (dalam riwayat lain disebutkan solat di awal waktu); kedua, berbakti kepada kedua orang tua; ketiga, jihad di jalan Allah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya, dalam berpuasa sunat Syawal pun kita boleh bertandang ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga. Maklumkan kepada mereka tujuan utama kita adalah menghidupkan amalan ziarah-menziarahi. Mahabbah dan ukhuwah terjalin apabila ziarah dilakukan.

Anak-anak mendekati ibu bapa, yang muda ingat pada yang tua, rakan sekerja mengenang teman seperjuangan, orang sihat menziarahi yang sakit, yang kaya menziarahi si miskin, anak murid menziarahi para guru dan jiran tetangga kunjung-mengunjungi.

Ziarah membawa kegembiraan kepada mereka yang diziarahi, terutamanya orang tua, warga miskin, anak yatim dan mereka yang menyambut perayaan dalam ke­adaan yang serba kekurangan. Bayangkan jika kita sudah berumur dan tidak berdaya, keseorangan menyambut hari lebaran, tentunya kita mengharapkan ada yang sudi melawat dan bertanya khabar.

Kini hampir semua kita memiliki telefon pintar yang dilengkapi aplikasi Whatsapp, Wechat, Viber, Telegram dan sebagainya, memudahkan kita memaklumkan kepada tuan rumah hasrat menziarahi mereka.

Ingatlah ancaman Nabi SAW kepada orang yang memutuskan silaturahim sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Tidak akan masuk syurga orang yang memutus silaturahim. (Muttafaqun ‘alaih).