Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

DALAM satu kerjasama yang jarang-jarang berlaku, Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Ketua Pembangkang negeri beberapa hari lalu mencapai kata sepakat berhubung usul berkaitan pemilikan rumah.

Usul bersama itu bagi menggesa kementerian berkaitan dan Bank Negara meneliti kes penolakan pinjaman perumah­an oleh institusi kewangan yang disifatkan tinggi ketika ini.

Tidak dinafikan syarat-syarat ketat oleh bank kepada pe­minjam menyukarkan pembeli memiliki kediaman sendiri. Ini adalah isu meluas, bukan hanya berlaku di Pulau Pinang.

Apatah lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini, bank juga sudah pasti lebih berhati-hati dalam menawarkan pinjaman mereka.

Namun, tidak wajar untuk menyalahkan pihak bank semata-mata dalam kemelut pemilikan rumah mampu milik tersebut.

Lebih-lebih lagi di Pulau Pinang, situasinya sangat berbeza kerana penduduk di negeri ini tidak mempunyai ba­nyak pilihan untuk membeli rumah kos rendah, sederhana rendah atau rumah mampu milik.

Mengambil contoh di bahagian pulau negeri ini, majoriti seunit rumah jenis pangsapuri lebih-lebih lagi bagi projek yang dalam pembinaan mencecah harga RM400,000.

Harga ini adalah untuk unit dengan keluasan di bawah 800 kaki persegi (74 meter persegi) yang sepatutnya boleh dianggap sederhana rendah.

Malah, ada unit pangsapuri yang dijual mencecah RM1 juta.

Maka, bagaimana harus institusi kewangan melonggarkan syarat-syarat mereka kepada penduduk negeri ini untuk memenuhi kriteria pinjaman bagi unit yang harganya mencecah RM1 juta?

Sedangkan majoriti penduduk negeri ini golong­an berpendapatan sederhana rendah yang sudah pasti tidak la­yak untuk membeli rumah-rumah mewah berkenaan.

Malangnya, projek-projek mewah seperti inilah yang lebih banyak diluluskan dan diberi keutamaan oleh kerajaan negeri berbanding projek rumah kos rendah.

Sebab itu tidak ada gunanya Kerajaan DAP Pulau Pinang menggesa institusi kewangan melonggarkan syarat pinjam­an mereka sedangkan dalam masa sama tiada projek perumahan mampu milik pun yang dibangunkan untuk dibeli penduduk golongan pertengahan.

Perkara ini berbalik kepada keluhan agensi perumahan Kerajaan Pusat dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat seolah-olah sengaja menyukarkan kelulusan pembinaan rumah mampu milik yang dirancang mereka.

Di negeri ini, terdapat sekurang-kurangnya tujuh agensi Kerajaan Pusat yang sudah mempunyai dana, tanah serta kemampuan untuk membina rumah rakyat. Namun kebanyakan projek dirancang tidak dapat dige­rakkan kerana tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Sebagai contoh projek rumah kos rendah yang dirancang dibina Kerajaan Pusat di Permatang Pauh yang permohonannya sudah hampir empat tahun namun tidak diluluskan hingga kini.

Begitu juga dengan projek dua blok pangsapuri 19 dan 27 tingkat di Perai yang permohonannya dibuat pada Ogos 2013 yang turut tidak diluluskan sehingga kini.

Berbeza dengan projek perumahan jenis kondominium oleh pemaju swasta yang didakwa ada diluluskan hanya dalam tempoh lapan hari.

Sepatutnya jika Kerajaan DAP Pulau Pinang benar-benar prihatin dengan isu pemilikan rumah dalam kalangan penduduk negeri ini, agensi Kerajaan Pusat tidak dibiarkan menunggu terlalu lama untuk memulakan projek mereka.

Apatah lagi ketika ini sebanyak 39 projek baharu melibatkan lebih 46,000 unit rumah mampu milik sudah dirancang dibina agensi Kerajaan Pusat berkenaan di seluruh negeri ini.

Dengan harga yang benar-benar mampu milik, institusi kewangan juga tidak mempunyai masalah untuk meluluskan pinjaman dan tidak perlu digesa untuk melonggarkan syarat mereka.

Persoalannya, bersediakah Kerajaan DAP Pulau Pinang mengetepikan perbezaan politik dan tidak menyukarkan proses kelulusan projek perumahan mampu milik yang dirancang Kerajaan Pusat?

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain