Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-13 – sebagai tonggak utama negara untuk meningkatkan ke­sedaran dan kefahaman kepentingan hidup bersatu dan bertolak ansur ke arah membina negara progresif.

Satu sifat yang menarik dalam ideologi Rukun Negara ialah memperkukuhkan integriti pelbagai kaum dan penganut agama di Malaysia. Pengukuhan integriti dalam konteks ini ialah meningkatkan persefahaman, permuafakatan dan saling menghormati antara satu sama lain yang mencerminkan wujudnya ke­satuan hati.

Usaha pengukuhan integriti melalui pembentukan Rukun Negara terbukti apabila Kepercayaan Kepada Tuhan diletakkan sebagai prinsip nombor satu ideologi tersebut.

Penduduk Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Antara agama utama ialah Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Tao dan Bahai. Perlembagaan negara menetapkan Islam sebagai agama rasmi tetapi agama-agama lain bebas diamalkan.

Tidak ada agama yang mengajar penganutnya untuk mencuri harta orang lain. Begitu juga de­ngan melakukan perkara-perkara yang tidak amanah.

Agama membentuk peribadi yang luhur dan pegangan agama membawa kebaikan. Kebaikan adalah nilai sejagat yang diterima oleh semua agama yang mendorong penganutnya melakukan perbuatan baik yang memberi faedah kepada semua manusia tanpa melihat latar belakang dan keturunan.

Apabila penganut pelbagai agama mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran agama masing-masing, sudah pasti dapat membentuk individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dalam hal ini, perkara penting ialah membiasakan diri dengan pegangan dan pengamalan ajaran agama yang tulen. Nilai-nilai kesederhanaan, sikap rendah diri, kesetiaan dan empati yang digariskan dalam setiap ajaran agama menjadi pemangkin untuk menunjukkan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, menghormati dan mematuhi Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, menghormati undang-undang.

Amalan prinsip-prinsip tersebut akan membantu membentuk rakyat yang bersopan santun dan bertatasusila yang bersatu-padu.

Pengamalan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang mempunyai persefahaman yang baik antara kaum.

Tapi isunya ialah adakah institusi agama dan NGO yang berpaksikan pengembangan agama kepada penganut masing-masing mengambil iktibar untuk menyebar luas kepentingan penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan penganut agama masing-masing?

Kegagalan menyemai roh Ru­kun Negara dalam jiwa ma­syarakat telah menggugat persefahaman kaum dan keharmonian negara serta menjejaskan usaha pembentukan identiti dan integriti kebangsaan.

Yang paling sedih ialah kegagalan penyemaian prinsip Rukun Negara khususnya dalam kala­ngan golongan muda menyebabkan ramai dalam kalangan mereka ini tidak boleh melafazkan prinsip Rukun Negara dan tidak keterlaluan sekiranya dikatakan mereka tidak tahu kepentingan pembentukan Rukun Negara .

Akibatnya perbuatan tidak menunjukkan taat setia kepada lagu Negaraku dan simbol negara mula berlaku. Selain itu, sentimen keagamaan dan isu-isu perkauman sudah mula menjelma yang menjejaskan persefahaman dan keharmonian negara.

Kita juga perlu berwaspada kemungkinan berlakunya tidak persefahaman dan ketegangan dalam kalangan kaum yang sama.

Kemungkinan ini pernah diutarakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri keempat, dalam ucapan Pelancaran Rancangan Pemasyarakatan Perpaduan pada 1 Ogos 1998 di Kuala Lumpur. Dalam ucapan itu, beliau berkata: “Pergolakan dan pergaduhan yang telah berlaku di sebilangan negara lain disebabkan bukan sahaja kerana pertelingkahan antara kaum bahkan juga kerana pertelingkahan antara rakyat daripada kaum yang sama.”

Justeru, institusi dan NGO pelbagai agama di negara ini perlu memainkan peranan menyema­rakkan kepentingan pengamalan prinsip-prinsip Rukun Negara kepada penganut agama masing-masing.

Kita perlu bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini.

Langkah positif perlu dilaksanakan supaya setiap sesi ibadah tidak kira sama ada dalam khutbah atau dalam sesi perbincangan ajaran agama yang diadakan di institusi-institusi pelbagai agama dimasukkan falsafah Rukun Negara.

Di samping itu, perlu menganjurkan lebih banyak sesi dialog berasaskan Rukun Negara antara penganut pelbagai agama.

Media sosial yang berjiwa golongan muda juga perlu membantu untuk menyebar luas supaya dapat menghayati erti sebenarnya pembentukan Rukun Negara.

Pegangan dan penghayatan Rukun Negara akan meningkatkan kesedaran untuk hidup bersatu dan sanggup meletakkan kepentingan keharmonian dan keamanan negara sebagai agenda utama setiap warga Malaysia.

Rukun Negara bukan ikatan perundangan, tetapi pematuhan wajib yang perlu dijadikan ikutan oleh setiap rakyat negara demi memastikan budaya berintegriti dan menjamin keamanan jangka panjang.

PENULIS ialah Penyelaras Program Institusi Agama, Institut Integriti Malaysia (Integriti).