Faktor ibadah yang kita lakukan sifatnya berulang-ulang. Solat kita lakukan berulang-ulang. Siyam atau puasa kita berulang-ulang. Sedekah kita berulang-ulang. Perulangan ini terkandung hikmah yang amat besar.

Kita lakukan sesuatu kerana Allah (ikhlas) dan hikmahnya akan kembali kepada abid atau ahli ibadah. Hikmah di sebalik amalan puasa ini tidak saja zahiri tetapi batini juga.

Betapa tidak! Kita bangunkan solat dengan maksud menjadikan kita ibadullah dan ibadur Rahman. Para abid atau ahli ibadah dilatih untuk mempunyai sifat patuh, taat, akur dan tunduk. Kepatuhan kepada yang makruf membawa kebaikan sesama manusia. Taat kepada jalur syariah menjadikan kita tertib dan teratur dalam menjalani kehidupan.

Akur kepada pantang larang Allah menjadikan kita orang yang bertakwa. Tunduk kepada hal-hal kebaikan mengekalkan diri kita berada dalam fitrah.

Oleh itu menjalani puasa selama sebulan ibarat melalui tarbiyyah rohhiyyah membentuk hati dan fikir supaya ada pertimbangan murni dalam diri lakukan sesuatu.

Pengalaman berlapar mencetuskan keinsafan bahawa golongan miskin dan terpinggir patut disantuni supaya mereka merasakan sesama Islam ada rasa prihatin terhadap orang lain supaya jiwa muafakat menjadi subur.

Lalu lahir jiwa sedekah terhadap yang tiada dan perlukan bantuan dalam kalangan yang senang dan berada.

Ia menyebabkan rasa persaudaraan terbina, sikap bakhil dan kedekut dapat dihindarkan dan rasa syukur terhadap nikmat Allah dapat dirasakan.

Semua ini terbina kerana berpuasa menjadikan kita orang yang bertakwa. Bertakwa memberi erti dan makna yang sangat luas.

Di samping membina keyakinan kepada Allah bertakwa menjadikan kita memiliki keyakinan bahawa mengingati Allah, mematuhi suruhan dan menghindarkan larangan menyebabkan diri kita dalam kawalan-Nya.

Bila berkata-kata, kita menginsafi Allah Maha Mendengar, bila melihat sesuatu pandangan kita terpedoman untuk melihat benda-benda yang makruf. Bila mendengar sesuatu, ia tidak menyebabkan kita cuai dan lalai.

Bila melakukan sesuatu jiwa muttaqeen menyebabkan reda Allah menjadi matlamat utama. Al Quran memberi asas, inna aqramakum indalla hi atqaqum – yang terbaik di sisi Allah ialah orang yang bertakwa (al Hujurat: 13).

Sepanjang bulan Ramadan kita menjaga mulut supaya tidak celupar dan menghamburkan kata-kata keji yang menyebabkan orang tersinggung.

Kita juga tidak melihat benda-benda yang lagha menyebabkan kita lupa dan lalai (nisyan dan ghaflah). Kita menjaga aurah diri supaya ikut syariat dan tidak terdedah dengan fitnah.

Lalu sifat zahiri dan batini yang terbentuk membawa pertanda menyantuni dan sikap ihsan secara manusiawi.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).