Ada yang mengatakan lagi tinggi RON dalam bahan api itu, lagi laju kereta yang dipandu dan lagi jimat minyak yang digunakan. Itu pemahaman rakyat marhaen, iaitu bagi mereka yang tidak faham secara teknikal berkaitan nombor-nombor RON tersebut.
Apa pun, bagi kita yang bukan berada di dalam bidang teknikal petroleum ini, hanya menggunakan petrol itu sahaja mampu merungkaikan semua persoalan.
Atas dasar itulah, Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad (Petron Malaysia) baru-baru ini membawa sekitar 17 petugas media yang menggunakan motosikal berkuasa besar menyertai Jelajah Media ‘Fuel Happy’ Petron Blaze 100 dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
PELEPASAN konvoi dari Stesen Petron MRR2 Kepong.

Jelajah ini turut disertai oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat Petron Malaysia, Zaimi Harun dan Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron Malaysia, Faridah Ali.
Peluang ini bagi membolehkan kami petugas media merasai sendiri kemampuan petrol premium RON 100 keluaran Petron Malaysia, Blaze 100 Euro 4M yang dilancarkan pada tahun 2016 di Malaysia.
Blaze 100 ini pada teorinya direka cipta untuk kenderaan ‘Supercar’ atau kenderan-kenderaan dengan sistem enjin baharu yang mempunyai nisbah mampatan yang tinggi bagi mengurangkan kadar pencucuhan pramatang yang sering berlaku di kebuk pembakaran dengan bahan api yang mempunyai RON rendah.
Ia sesuai juga digunakan untuk jentera dua roda yang mempunyai kuasa kuda yang tinggi yang turut mempunyai kadar nisbah mampatan yang tinggi.
Namun adakah Blaze 100 ini sesuai untuk kenderaan dengan enjin lama atau kuasa kuda (cc) yang rendah? Ini satu persoalan kepada ramai. 
Menariknya, pada jelajah kali ini, kami turut disertai oleh rakan dari portal pemotoran piston.my, Chris Wee dengan jentera klasik Suzuki Katana 750 cc yang dihasilkan pada tahun 1983.

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
CHRIS WEE dengan Suzuki Katana 750 tahun 1983 menjadi penanda aras kepada penggunaan bahan api RON100 bagi kenderaan lama.

Kehadiran Chris itu menjadi kayu pengukur kepada penggunaan Blaze 100 untuk kenderaan dengan sistem enjin lama. 
Ya, berbanding jenis motosikal berkuasa tinggi yang menyertai jelajah itu, jentera klasik Chris boleh dianggap sebagai purba dan buka lagi klasik kerana sistem yang digunakan memang terlalu asing berbanding sistem enjin motosikal milenium kini.

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
BARISAN jentera dua roda petugas media yang menyertai Jelajah Media 'Fuel Happy' Petron Blaze 100 Kuala Lumpur ke Pulau Pinang baru-baru ini.

Apapun, perjalanan kami sejak dilepaskan dari Petron MRR2 Kepong oleh Pengurus Pemasaran Petron Malaysia, Danny Chen tidak menghadapi sebarang masalah malah, Chris bersama Katananya turut sama berdesup di atas Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Hentian PLUS Tapah, pitstop pertama kami untuk mengisi minyak.
Terdetik di dalam hati, hebat juga kuda tua ni walaupun ketika itu meter motosikal BMW GS1200 Adventure tahun 2011 saya sudah menunjukkan angka 150 kilometer sejam (km/j).

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
BLAZE 100 berjaya mengurangkan gegaran dan ketukan pada enjin sambil menghasilkan kuasa dengan prestasi terbaik.

Di hentian itu, pastinya semua mahu tahu sudahkah ada sebarang perbezaan dirasai selepas isian penuh Blaze 100 di Kepong.
Bagi saya, dengan jentera yang mempunyai kapasiti isian tangki 33 liter bahan api, tiada sebarang perubahan ketara dirasai namun apa yang boleh dikatakan, pulasan pendikit terasa sedikit ringan tanpa ada sebarang halangan ketara berbanding sebelum ini.
Mungkin disebabkan kami bergerak di dalam konvoi yang dikawal oleh Marshal Kelab Honda ST X, saya tidak mendapat kepuasan untuk memulas pendikit secara maksimum bagi jentera yang mempunyai kuasa 1,200cc ini.
Apa pun, perjalanan diteruskan dan kami singgah pula di Stesen Petron Bercham, Ipoh untuk membolehkan jentera-jentera lain yang mempunyai tangki bahan api berkapasiti rendah mengisi Blaze 100. Saya hanya menambah baki petrol yang masih banyak di dalam tangki.

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
PETUGAS media bergambar di Stesen Petron Bercham di Ipoh.

Bagi jentera yang saya gunakan, perjalanan dari Kepong ke Bercham sejauh 200 kilometer itu hanya menggunakan 12.7 liter Blaze 100.
Selepas Bercham, kami meneruskan perjalanan ke Taiping dan akhirnya tiba di Pulau Pinang dan mengharungi kesesakan di Pulau Mutiara itu untuk ke Batu Feringgi.
Masih bagi saya belum dapat merasai ‘ragutan’ sebenar Blaze 100 untuk jentera yang saya gunakan yang mempunyai nisbah mampatan 12.0:1, satu nisbah yang ideal bagi penggunaan RON100.
Peluang kembali ke Kuala Lumpur tanpa konvoi dengan tangki yang masih penuh selepas isian di Stesen Petron Jalan Hussein Onn, Sungai Dua memberikan saya sedikit kebebasan untuk merasai kemampuan sebenar Blaze 100.
‘Sesahan’ sehingga 210 km/j selepas ‘dicuit’ oleh rakan media dari CBT New Straits Times, Armand Ahmad, yang menunggang Kawasaki Ninja 650 tahun 2017 ketika di Tapah sehinggalah Behrang mengeluarkan kuasa sebenar Blaze 100.

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
ISIAN penuh bagi semua jentera dua roda petugas media dengan Blaze 100 bagi membolehkan mereka merasai kemampuan bahan api itu.

Jentera tunggangan saya tidak memberikan sebarang masalah ketika kelajuan memuncak, malah enjin memberikan responsif yang cepat ketika pulasan pendikit dilakukan.
Gegaran yang dirasai juga kurang berbanding penggunaan pertol RON95 mahu pun RON 97 selain tiada ketukan enjin kedengaran berbanding ketika hari-hari biasa.
Ya, saya menunggang sebuah motosikal yang mempunyai berat sekitar 256 kilogram, penuh dengan tiga tong manakala saya pula mempunyai berat 110 kilogram, namun bahan api Blaze 100 dengan mudah memacu jentera GS1200 Adventure saya tanpa sebarang masalah.
Isian tangki penuh Blaze 100 dari Pulau Pinang hanya berbaki 51 kilometer sahaja lagi selepas saya tiba di Gombak tanpa perlu berhenti mengisi minyak.
Apa yang boleh saya katakan pada peringkat awal ini, Blaze 100 mampu memacu kenderaan yang pastinya memberi lebih kuasa berbanding angka RON yang lebih rendah.
Itu bagi enjin yang dikeluarkan pada 2011 dan apa cerita mengenai Suzuki Katana 750 tahun 1983 yang ditunggang Chris?

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
SUZUKI Katana 750 kelahiran 1983 tidak menimbulkan ragam walaupun menggunakan bahan api Blaze 100. 

Menurut Chris, jentera dua roda ‘purba’ yang mendapat sentuhan bekas ketua rekabentuk BMW, Hans Muth itu memberikan responsif yang baik sebaik sahaja perjalanan melepasi 200 kilometer kemungkinan selepas baki RON95 habis digunakan dan meninggalkan baki Blaze 100 di dalam tangki.
Menurut Chris, respons pendikit agak baik dan lebih pantas berbanding biasa. Cubaan untuk ‘membelasah’ motor yang dikeluarkan di Jerman untuk Suzuki itu juga turut lancar berbanding usianya.
Jadi kesimpulan yang boleh dibuat ialah, Blaze 100 walaupun direka untuk jentera moden dengan nisbah mampatan yang tinggi, ia juga boleh digunakan oleh jentera dengan enjin lama.
Ini dikuatkan dengan kenyataan Penasihat Teknikal Servis Petron Malaysia, Max Ho yang memberi jaminan bahawa Blaze 100 boleh digunakan oleh semua kenderaan tidak kira lama atau baharu.

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
MAX HO memberikan penerangan mengenai kemampuan yang dihasilkan oleh Blaze 100.

Ini menurut beliau disebabkan Blaze 100 selain mempunyai kandungan oktana yang tinggi, satu-satunya petrol dengan RON100 di Malaysia, ia juga diadun dengan bahan-bahan campuran formula Tri-Action Advantage yang mengandungi pelbagai campuran bahan tambahan dan penggalak pembakaran.
Blaze 100 menurut Ho juga disebatikan dengan detergen sintetik penuh yang mampu membersihkan enjin walaupun pada kenderaan yang menggunakan sistem enjin lama.
Jadi, penggunaan kerap Blaze 100 turut boleh menjaga enjin selain membersihkannya walaupun pada enjin lama.
Malah menurut Ho, pengguna boleh merasai kelainan prestasi untuk kenderaan mereka selepas menggunakan Blaze 100 selepas penggunaan lapan kali isian tangki penuh.
Ini menurut beliau akan membolehkan semua formula bahan tambahan yang disediakan di dalam bahan api itu ‘bekerja’ bagi memberikan prestasi yang optimum kepada semua jenis kenderaan yang menggunakannya.
Sementara itu, menurut Faridah, pihaknya menerima maklum balas yang menakjubkan daripada pelanggan sejak Blaze 100 dilancarkan pada Januari 2016.
Menurut beliau, keunikan formula Tri-Action Advantage Blaze 100 menjamin kenderaan memproleh kuasa maksimum, perlindungan enjin terbaik dan lebih kilometer dengan kandungan sulfur terendah.
Bermula dengan tujuh stesen, kini Petron Blaze 100 boleh diperolehi di 71 stesen Petron seluruh negara.
Ada satu tips yang saya peroleh ketika bertanyakan seorang sumber dalaman syarikat petroleum. Petrol RON95 dan RON97 tidak mempunyai sebarang perbezaan yang ketara dari segi prestasi ataupun kandungan. 
Perbezaan yang ketara kata beliau hanyalah harga dan keupayaan syarikat petroleum itu mempromosikan kedua-dua RON dengan ‘janji-janji’ manis mereka.
Namun berbeza dengan RON100 yang pastinya kandungan oktananya juga lebih tinggi berbanding 95 dan 97.

RON100 bukan hanya untuk ‘Supercar’
Hausss...