Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula diberi amanat untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam gejala rasuah.Dalam pada itu Transparency International (TI) melaporkan bahawa Malaysia berada di tangga 61 dari 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan pada 2018, berbanding kedudukan ke-62 pada 2017.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh ­Transparency International (TI), Malaysia berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI pada tahun lalu dan 2017. Memang ini satu petanda yang baik tetapi mengapa gejala rasuah masih tinggi di negara ini antaranya beberapa kes ra­suah yang berprofil tinggi telah dilaporkan sejak akhir-akhir ini seperti Tabung Haji, Felda, IMDB dan Mara.

Pada minggu ini dilaporkan sebanyak 33 individu dan 24 pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari gred 19 ke 32 telah ditahan oleh pihak SPRM. Kes-kes ini memberi pandangan kepada kita bahawa isu ini masih berleluasa dalam kalangan kakitangan pekerja kategori rendah dan juga pegawai yang berkategori pengurusan tertinggi. Adakah pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka. Inilah persoalan-persoalan yang wujud dalam minda kita.

Beberapa kajian ilmiah sama ada dalam dan luar negara menunjukkan bahawa rasuah berlaku kerana keinginan manusia yang tidak terbatas. Dalam teori ekonomi asas keinginan manusia tidak terbatas tetapi sumber–sumber yang tersedia adalah terhad. Maka dengan ini seseorang manusia ingin kekayaan terlalu cepat maka rasuah adalah salah satu teknik untuk mencapai keinginan yang terhad ini.

Faktor kedua ialah kemiskinan dan kekurangan pendapatan seperti gaji tidak mencukupi menampung perbelanjaan keluarga seseorang individu. Maka seseorang individu terpaksa terlibat dalam aktiviti rasuah walaupun sedar bahawa risiko terlalu tinggi pada diri dan keluarga.

Faktor ketiga ialah gaya hidup yang terlalu mewah sehingga sanggup menerima rasuah dalam memperkayakan diri dan keluarga dengan kemewahan yang tidak terbatas. Pihak SPRM pernah menahan individu yang mempunyai kereta mewah seperti BMW, Mercedes-Benz dan Audi walaupun jawatan mereka rendah dalam perkhidmatan awam.

Faktor keempat tidak berpegang kepada tuntutan agama. Faktor kelima ialah sikap yang gemar membandingkan gaya hidup dengan orang lain. Ramai individu yang memiliki kekayaan hasil daripada usaha mereka sendiri seperti terlibat dalam perniagaan secara sah, berjawatan tinggi melalui saluran yang betul dan lain-lain cara pemilikan harta dan kekayaan yang diperoleh secara sah. Oleh kerana terlalu ingin meniru gaya hidup mereka maka seseorang boleh terlibat dalam gejala rasuah ini.

Pelbagai inisiatif telah diambil dalam usaha meningkatkan integriti seperti mewujudkan IIM namun gejala rasuah masih tetap. Sebelum pergi lebih jauh kita lihat apa maksud integriti.

Mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, integriti ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan. Daripada maksud yang didapati daripada kamus itu integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan boleh dipegang cakapnya.

Berhubung amalan integriti ini penulis telah menemu bual, Menteri Integriti dan Ombudsman Sarawak, Datuk Talib Zulpilip yang kini sedang menyiapkan kajian PhDnya dalam bidang integriti dan amalan kerja yang terbaik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Menurutnya, sebelum dilantik sebagai Menteri Integriti dan Ombudsman, beliau telah menginstitusikan Amalan Integriti dan Governan yang baik di Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) lebih daripada 20 tahun sewaktu memegang jawatan Pengerusi SEDC. Kata beliau amalan integriti bukan secara teori atau retorik tetapi wajib dipraktikkan dalam kehidupan semua warga SEDC daripada seorang tukang bersih atau pemandu hingga ke taraf jawatan Pengurus Kanan.

Seperkara lagi usaha untuk mengelakkan gejala rasuah perlu bermula sejak bayi lagi. Ibu bapa boleh berperanan dengan memberi pengajaran bahawa rasuah adalah dosa besar yang boleh membawa mala petaka kepada seseorang individu pada masa akan datang. Dengan kata lain integriti mesti bermula daripada keluarga kemudian sekolah sehinggalah mereka tamatkan pengajian di universiti.

Penulis berpandangan sistem pendidikan agama dan moral perlu dirombak semula dari segi polisi dengan meletakkan integriti dan rasuah sebagai satu perkara yang penting dalam konteks pendidikan. Isu ini perlu merentas dalam semua subjek yang diajar daripada peringkat sekolah hingga universiti.

Penulis tertarik zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat. Beliau ketika itu telah memperkenalkan slogan `Bersih, Cekap dan Amanah’. Penulis masih ingat waktu di sekolah menengah slogan ini berkali-kali diajar oleh guru-guru dan disoal dalam peperiksaan. Adakah perkara ini masih berlaku dan diamalkan pada masa sekarang? Itulah persoalan utama.

Hakikatnya, gejala rasuah tidak boleh dihapuskan sama sekali dalam jangka masa pendek tetapi dengan amalan integriti yang sistematik ia boleh dikurangkan dalam jangka masa panjang. Aspek keagamaan juga perlu ditekankan di samping memberi pendedahan tentang gejala ini sejak daripada bayi.

PROF. DR. P.BALAKRISHNAN
Profesor Sumber Manusia dan Hubungan Industri, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.