Hari pertama tahun baharu, penulis berada di Perling, Johor. Sambil membaca Utusan Malaysia di sebuah restoran mamak di kawasan tersebut, penulis dapat melihat beberapa orang lelaki yang menghisap rokok secara sembunyi-sembunyi di bahagian luar restoran tersebut.

Penulis belum nampak papan tanda amaran larangan me­rokok di restoran tersebut tetapi bekas-bekas abu rokok di atas mejanya sudah tiada lagi seperti hari sebelumnya.

Tiga situasi boleh dinilai daripada pemerhatian penulis. Pertama, pemilik restoran itu sudah memahami undang-undang atau pengharaman rokok di restoran tetapi belum meletakkan papan tanda larangan. Kedua, sikap memperlekeh undang-undang masih kedapatan dalam kalangan orang ramai. Ketiga, undang-undang atau peraturan masih dicabar oleh sesetengah individu.

Menariknya, apabila kawasan pengharaman merokok diperluas sampai ke gerai-ge­rai makan dan restoran, isunya seolah-olah diperbesar dan tidak sama seperti pengharaman yang dikenakan di tempat-tempat lain.

Ada yang membawa tali untuk mengukur jarak tiga meter antara meja terakhir gerai makan semata-mata hendak mencari jarak terdekat dengan restoran untuk merokok. Ini adalah satu bentuk sarkasme yang mencabar peraturan yang telah dikenakan. Suatu masa nanti, kita mungkin akan dapat melihat pengunjung restoran atau gerai meminta kebenaran membawa kerusi ke luar restoran untuk duduk menghisap rokok tiga meter dari kawasan premis berkenaan.

Ada pula pelayan premis makanan yang ditampar oleh pe­ngunjung gara-gara menegur pengunjung yang menghisap rokok di premis tersebut. Ini memperlihatkan larangan ini masih dibantah oleh sesetengah pihak. Ia mencabar undang-undang.

Ada pula pemilik restoran dan gerai mendakwa perniagaan mereka terjejas ekoran pengharaman merokok di premis makanan. Kita belum melihat apa-apa reaksi seterusnya pemilik gerai makanan dan restoran apabila mereka berdepan dengan situasi ini. Setakat ini mereka hanya mengeluh dan sudah tentunya persepsinya adalah rokok melariskan perniagaan makanan dan minuman, Agak janggal apabila mendengarnya kerana rokok itu seolah-olah daya penarik premis makanan.

Ada dua kategori pengunjung sesebuah kedai makanan. Pertama, memang mereka hendak makan untuk mengisi perut apabila tiba waktu rehat atau singgah dari mana-mana destinasi. Golongan ini tidaklah duduk lama di sesebuah kedai makan. Kedua, golongan yang menjadikan tempat ini sebagai lokasi untuk berbual-bual, melepak, menonton televisyen dari skrin besar yang disediakan oleh pengendali kedai makanan.

Golongan kedua inilah yang dapat kita fahami bahawa rokok itu sebagai peneman mereka. Duduk berjam-jam sambil minum dan hisap rokok. Golongan ini menjadi cacing kepanasan apabila tiba-tiba rokok tidak boleh dihisap lagi seperti yang selalu dilakukan.

Oleh sebab rokok membahayakan termasuk mereka yang berada di sekeliling, peraturan yang dikenakan ini mestilah disambut baik demi kebaikan bersama. Hakikatnya, pemilik restoran dan gerai makan mesti memahami tujuan sebenar peraturan dikenakan memandangkan tidak semua premis makanan dikunjungi oleh ‘kaki’ rokok semata-mata.

Oleh hal demikian, sudah sewajarnya pihak berkuasa mestilah sentiasa memantau premis makanan dan minuman agar larangan ini dipatuhi.