Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

KANAK-KANAK Rohingya berebut-rebut untuk mendapatkan makanan di Teknaf, Bangladesh pada Khamis lalu.
KANAK-KANAK Rohingya berebut-rebut untuk mendapatkan makanan di Teknaf, Bangladesh pada Khamis lalu. REUTERS

SEJAK seminggu ini seluruh dunia terganggu dengan apa yang sedang berlaku ke atas penduduk Islam Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar. Sudah berpuluh tahun golongan minoriti Islam ini ditindas sehingga beratus ribu lari meninggalkan negara itu. Mereka menjadi pelarian di tempat sendiri atau pelarian di negara-negara jiran terdekat seperti di Bangladesh, Thailand dan Malaysia.

Beribu-ribu yang menyabung nyawa di lautan sewaktu melarikan diri mati lemas. Jasad mereka menjadi makanan ikan dan hidupan laut. Lautan sudah menjadi kubur besar kepada pelarian Rohingya. Tanah-tanah lapang di sempadan Bangladesh penuh sesak. Tidak ada seinci tanah pun yang kosong, satu gambaran bagaimana kawasan itu pun sudah tidak berupaya untuk menampung jumlah pelarian etnik minoriti itu.

Bagaimanapun apa yang berlaku sejak seminggu lalu disifatkan sebagai kemuncak kepada penindasan pihak berkuasa Myanmar ke atas mereka, walaupun dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak berkuasa negara itu. Malah tidak keterlaluan kalau ada yang menyifatkan apa yang sedang berlaku di Rakhine sekarang ini sebagai lebih dahsyat daripada apa yang menimpa Palestin.

Penduduk Islam etnik Rohingya tidak lagi ditindas tetapi sudah dinafikan untuk hidup! Mereka bukan sekadar diusir atau dihalau setelah kampung halaman dibakar tetapi turut dibunuh. Sebahagian dipenggal kepala, dibakar hidup-hidup manakala kanak-kanak dan bayi pula ditembak hanya kerana kesalahan menangis atau merengek dek kelaparan!

Bukan itu sahaja, pihak tentera negara itu bertindak lebih kejam dengan menanam periuk api di sempadan bagi memastikan pelarian tidak berpatah balik ke kampung halaman mereka!

Nasib sebahagian lagi penduduk Rohingya yang tidak sempat atau tidak ada kudrat untuk melarikan diri terutama mereka yang sudah tua dan uzur tidak diketahui. Mana mungkin pada usia lanjut dan uzur mereka mampu untuk meranduk sungai menyeberangi tanah sempadan mencari tempat berlindung.

Lebih kejam dan tanpa sekelumit perikemanusiaan pihak berkuasa Myanmar masih mempertahankan pendirian tidak membenarkan bantuan kemanusiaan terutama bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan masuk ke wilayah itu.

Krisis kesihatan dan kebuluran yang sedang berlaku memburukkan lagi keadaan. Selama ini pun negara tersebut amat keberatan untuk membenarkan bantuan seumpama itu disalurkan. Mereka mengenakan berbagai-bagai syarat ketat dan memberi alasan tidak masuk akal atas nama ­‘keselamatan negara.’

Gesaan, desakan dan rayuan daripada negara dan masyarakat antarabangsa agar pihak berkuasa Myanmar menghentikan genosid yang sedang berlaku ini tidak dipedulikan. Negara itu tetap berkeras bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul. Mereka bertindak atas nama memerangi ‘pengganas Rohingya.’

Negara-negara jiran yang tidak senang dengan cara Myanmar menangani krisis tersebut sudah bersuara melalui pertubuhan serantau ASEAN, tetapi suara mereka tidak ke mana. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang tidak putus-putus bersuara di pelbagai forum serantau dan antarabangsa sejak isu Rohingya meletus mengakui ASEAN sudah tidak ber­upaya lagi menangani isu ini. Beliau tidak lagi menaruh harapan kepada pertubuhan serantau itu.

Menurut Anifah, sudah tujuh mesyuarat berhubung isu itu diadakan dan Malaysia konsisten dalam menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang sedang berlaku kepada Myanmar.

“Myanmar berjanji untuk tangani krisis ini namun sehingga hari ini tidak ada apa-apapun dilakukan,’’ tegas Anifah.

Justeru pendirian Malaysia untuk membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah tepat dan sangat wajar.

Seluruh dunia dan masyarakat antarabangsa sudah lama menyaksikan episod kekejaman demi kekejaman ke atas etnik Rohingya ini yang kelihatan seperti tidak ada kesudahannya. Sudah sampai masanya PBB dan OIC bertindak dengan lebih tegas termasuk mengenakan tekanan ke atas Myanmar.

Masyarakat dunia yang cintakan keamanan tidak dapat menerima apa yang sedang berlaku di Rakhine. Mereka mahu segala desakan selama ini diterjemahkan kepada satu tindakan tegas.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain