Sesetengah daripada mereka berjaya memulakan hidup baharu di Malaysia dan selebihnya ada yang diseksa atau dibunuh di tangan penyeludup-penyeludup manusia.

Tentera Myanmar masih meneruskan misi kekejaman terhadap bangsa yang tidak dianggap sebagai warganegara di bumi mereka sendiri.

Malaysia sekarang ini melin­dungi lebih dari 40,000 orang Rohingya di seluruh negara. Terdapat beberapa pihak di dalam negara yang tidak bersetuju de­ngan tindakan kerajaan membantu kaum Rohingya.

Ini disokong dengan persepsi bahawa Rohingya adalah kaum yang tidak berterima kasih dan tidak boleh berasimilasi dengan penduduk tempatan. Lagi pula, ada pihak yang memukul rata seluruh kaum Rohingya dengan menyatakan mereka bangsa pemalas, pengotor, tidak bermoral dan secara berkeras menuntut kerakyatan Malaysia.

Kejadian rusuhan melibatkan kaum Rohingya pada petang 30 Ogos lalu menguatkan lagi hujah bahawa tidak perlu untuk Malaysia membantu kaum Rohingya kerana tindakan mereka merusuh di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ibarat ‘melepaskan anjing tersepit’.

Isu Rohingya ini bukan lagi isu dalaman Myanmar kerana mig­ran-migran ini secara perlahan mengembara ke selatan menuju pesisiran kita. Orang ini adalah seperti kita semua - manusia yang perlukan makanan, perlindungan dan tempat tinggal. Patutkah kita menghulurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya atau membiarkan kekejaman terus berleluasa terhadap masyarakat yang tidak diinginkan ini?

Masyarakat Rohingya adalah orang Islam yang menetap di daerah Rakhine (dahulunya Arakan) di Myanmar, bersempadanan Bangladesh dan mereka secara etnik dan bahasa adalah berbeza dengan kumpulan etnik lain di Myanmar. Terdapat sejarawan-sejarawan yang mengatakan bahawa mereka mula berpindah dari Bengal dan menetap di Rakhine sebagai pedagang seawal kurun ke-15 Masihi. Mencapai kegemilangan pada kurun ke-17 dan 18 Masihi, keunggulan Empayar Burma mula tersirna setelah digempur kekuatan ketente­raan British dan telah menakluk Myan­mar sebagai sebahagian dari British Raj pada 1885.

Sewaktu era British Raj, orang Rohingya tiba dalam jumlah yang besar ke Myanmar pada kurun ke-19 Masihi untuk bekerja di ladang-ladang sebagai buruh. Sebagai pedagang dan buruh, masyarakat Rohingya banyak menyumbang terhadap kemajuan ekonomi daerah Rakhine. Migrasi ini berakhir setelah Myanmar mencapai kemerdekaan pada 1948.

Penindasan yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya bukan atas faktor agama, tetapi kebencian terhadap komuniti ini. Majoriti rakyat Myanmar meng­anggap Rohingya sebagai pendatang haram yang berasal dari rantau Bengal atau dari Bangladesh sendiri yang tidak memiliki apa-apa persamaan dengan kumpulan etnik Myanmar lain dan oleh itu harus diusir dari Myanmar.

Kaum Rohingya telah berjuang untuk hak-hak mereka sejak kependudukan Jepun di Myan­mar pada 1941. Apabila Jepun me­nyerah kalah, pihak Rohingya menganjurkan gerakan pemisahan untuk menyatukan daerah Mayu di Rakhine sebagai sebahagian dari Pakistan Timur. Akan tetapi, gerakan ini gagal mencapai tujuan. Ini kemudiannya menyebabkan Rohingya berjuang untuk menubuhkan daerah autonomi Muslim di Rakhine pada 1950-an.

Gerakan ini berhadapan penentangan terutama dari kudeta Burma yang melancarkan operasi ketenteraan ke atas masyarakat Rohingya selama dua dekad bermula 1962. Pada 1982, kerajaan Burma secara efektif menafikan hak ke­rakyatan Rohingya menerusi penggubalan Akta Kerakyatan 1982.

Sejak itu, masyarakat Ro­hingya dianggap pendatang haram dan tidak diterima sebagai rakyat Myanmar.

Kerajaan Burma telah secara rasmi menafikan berlakunya keganasan terhadap kaum Ro­hingya.

Akan tetapi, berbeza dengan laporan antarabangsa, kaum Rohingya dilaporkan telah diasingkan di dalam kem-kem tahanan dengan sedikit atau tiada bekalan air atau makanan, didiskriminasikan dan diperlakukan dengan keganasan.

Malaysia adalah sebuah negara yang menghormati prinsip berkecuali yang didokong ASEAN. Namun, isu Rohingya bukanlah lagi isu domestik atau isu dalaman Myanmar kerana keganasan yang berlaku di Rakhine telah menyebabkan banyak pelarian dari negara tersebut menjengah pesisiran negara-negara jiran bagi memohon bantuan kemanusiaan.

Walaupun Myanmar secara berterusan menafikan berlakunya keganasan, kerajaan Naypyi­daw harus sedar bahawa dunia sedang memerhatikan mereka. Layanan buruk secara berterusan yang diberikan kepada kaum Rohingya tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rantau ini.

Kerajaan Pusat di Putrajaya telah dikritik oleh banyak pihak tahun lalu kerana lambat memberikan bantuan kepada orang Rohingya yang tersadai di te­ngah laut. Akan tetapi, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan sokongan kepada kaum Rohingya sewaktu perhimpunan 4 Disember 2016, pihak kerajaan juga telah mendapat tentangan daripada sesetengah masyarakat di Malaysia. Sama ada untuk menghulurkan bantuan atau tidak, rakyat Malaysia perlu berta­nya pada diri mereka sendiri apakah yang benar-benar mereka inginkan?

Malaysia dan negara-negara ASEAN lain seharusnya berusaha bagi memujuk Myanmar dalam mengakhiri konflik berterusan ini. Memandangkan British juga terlibat dalam membawa masuk kaum Rohingya ke Myanmar, pihak British juga tidak harus lepas tangan melihat kehancuran yang berlaku ke atas bekas tanah jajahannya sendiri, walaupun Myanmar bukanlah sebahagian daripada negara anggota Komanwel.

Kaum Rohingya juga adalah manusia seperti kita semua dan sepatutnya dilayan sebagai manusia selayaknya.

DR. MOHD. HAZMI MOHD. RUSLI ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan profesor pelawat di Sekolah Undang-Undang Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.