Pun begitu, sebaik saja mereka ini meninggalkan rumah Allah, selepas selesai berjemaah mengerjakan fardu ain, untuk ­melaksanakan pula fardu kifayah, secara berjemaah, masih jauh untuk dicapai. Amalan solat berjemaah yang ­Allah janjikan dengan begitu banyak gandaan pahalanya, masih belum dapat diterjemah untuk berjemaah dalam apa jua aktiviti fardu kifayah.

Usahawan Islam ­misalnya, ma­sih sukar berjemaah dalam urusan bisnes mereka. Pemimpin Islam pula, masih sukar berjemaah dalam urusan ­kepimpinan, mungkin ke­rana di­bendung oleh ideologi politik yang berjaya mendahului ke­pentingan berjemaah ke­pimpinan sebagai salah satu dalam fardu kifayah yang dituntut Allah SWT.

Kegagalan meneruskan budaya berjemaah berlaku seolah-olah sebaik saja mereka meninggalkan rumah Allah. Maka ruginya umat Islam kerana gagal menghayati seruan azan yang disusun oleh Allah SWT begitu indah, selepas seruan bersama menunaikan solat dituruti dengan seruan bersama menuju kejayaan.

Saya ingin mengaitkan senario di atas itu dengan kemelut perpecahan ummah yang kini menjadi wabak yang dilihat seperti tiada jalan keluar bagi puak-puak yang bertelagah ini berdamai kembali bertaut sebagai kelompok ummah yang mengaku diri mereka sebagai ASWJ.

Saya melihat, jalan keluar dari kemelut ini adalah apabila mereka yang bertelagah itu bersedia kembali sebagai makmum dalam satu saf untuk sama-sama berjemaah. Sebaik saja selesai ibadat fardu ain secara berjemaah, mereka keluar meninggalkan rumah Allah itu bergandingan bagi meneruskan pula usaha berjemaah dalam fardu kifayah di luar sana. Dalam konteks ini fardu kifayah yang dimaksudkan adalah tugas kepimpinan masing-masing.

Jika naluri yang bertelagah ini dapat disatukan dalam rumah Allah, keberanian mereka untuk berdamai juga dapat kita satukan, dan menyelesaikan perbalahan tanpa kehadiran atau campur tangan pihak ketiga, waima, institusi raja-raja sekalipun. Kefahaman saya adalah sebagai umat Islam yang mengaku sebagai ASWJ, pastinya Allah SWT akan lembutkan hati mereka untuk berdamai. Ini mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa saja. Hanya yang perlu, semua umat Islam yang cintakan kedamai­an tanpa mengira fahaman politik mahupun kemarahan di atas apa yang berlaku, sanggup sama-sama membentuk gerakan Istighasah al Kubra di semua masjid dan surau setiap hari selepas solat Subuh, sehinggalah permuafakatan tercapai.

Melakukan gerakan ini setiap hari di semua surau dan masjid juga bukannya mudah. Ia memerlukan kekuatan luar biasa dari kita semua. Akan tetapi, jika inginkan sesuatu yang luar biasa terjadi, kita wajib komited ­melakukan sesuatu yang luar biasa juga. Pun begitu, sayugia kita semua ambil maklum bahawa halangan kepada usaha murni ini tetap ada, lebih-lebih lagi jika:

(i) Agenda atau kepentingan institusi masih diutamakan,

(ii) Masih ada batu api yang tidak mampu dipadamkan, dan

(iii)Ada juara yang hendak jadi orang tengah, kononnya mampu mempengaruhi pihak-pihak yang bertelagah

Ada usaha-usaha murni oleh banyak pihak. Ini bagus, cuma, ada kalanya usaha murni itu juga penyudahnya menjadi penghalang kepada usaha penyelesaian kemelut ini, ­misalnya:

(i) Usaha melibatkan institusi raja-raja kerana usaha sedemikian sebaliknya mencemari institusi itu dan belum pasti berkesan,

(ii) Usaha berdialog secara terbuka, dengan pihak bertelagah dalam siri berasingan ­kerana pihak yang bertelagah pastinya ghairah untuk tahu apa yang di­bincangkan dengan di luar pengetahuan, maka ini akan menimbulkan keraguan dan syak wasangka.

Pada hemat saya, pertelagahan ini adalah di antara dua individu yang ada pengaruh dan kedudukan. Mereka bertelagah atas sebab-sebab peribadi. Tidak perlu dikumpul fakta-fakta yang kononnya pertelagahan itu di­sebabkan perbezaan pendapat. Itu semua helah. Maka, penyelesaian terbaik adalah membina keinsafan untuk mereka kembali ke jalan yang diredai Allah SWT.

Untuk itu, marilah kita memohon ke hadrat Allah SWT untuk dilembutkan hati mereka, sebagai ASWJ, untuk berdamai demi perpaduan ummah. Kita belum gagal dalam usa­ha ini maka tidak perlulah mengandaikan apakah tindakan selanjutnya jika usaha-usaha ke arah ini masih menemui jalan buntu. Allah SWT saja yang amat mengetahui apakah kesudahannya usaha kita ini. Yakin dan tawakallah kepada-Nya.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).