Berbeza dengan cerita-cerita sadis pembantu rumah yang sering disensasikan di media Indonesia, bibik saya ini sudah membeli beberapa bidang tanah di kampung halamannya di Malang, Jawa. Balik setahun sekali naik Malaysia Airlines. Pergi balik tiket ditanggung sepenuhnya. Bilik disediakan televisyen skrin pipih. Tidak dibenarkan mencuci kereta.

Sebagaimana perjanjian lisan antara saya dengan pembantu rumah pada hari pertama bertugas dahulu, bahawa dia hanya perlu menjaga anak-anak dengan baik dan setia, dia akan diberi layanan sewajarnya. Tempoh 14 tahun menjadikan dia sebahagian daripada ahli keluarga. Dan ini amat dihargai.

Dia jarang dimarahi walaupun perkakasan elektrik mempunyai jangka hayat yang luar biasa singkat di tangannya. Cuma bulan lalu, dia kena sikit. Itu pun kerana kelekaannya memasukkan jaket ke dalam mesin pembasuh. Tahu jaket apa? Jaket Liverpool.

Saya marah kerana jaket tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam mesin pembasuh dan fakta, jaket itu dibeli era Kenny Dalglish, bermakna ia tidak dijual lagi di pasaran! Dia tahu saya tidak pernah meninggi suara bila dia rosakkan baju kerja. Tetapi ini jaket Liverpool!

Dia memberi notis penamatan kerja kira-kira April lalu (tiada kaitan rosakkan jaket). Sejak itu, kami mula mencari pengganti. Terdapat dua pilihan. Satu secara konvensional, satu lagi tidak berapa konvensional.

Konvensional ialah menerusi agensi pengambilan pekerja asing. Tahu berapa kos yang dikenakan? RM15,000. Ya, saya tidak sebak bibik balik, tapi sebak hendak ambil yang baharu.

Kaedah kedua, adalah 50 peratus daripada harga itu. Menarik, kata saya. Tetapi setelah ditanya lebih lanjut, ada sesuatu yang tidak kena. Bibik masuk dulu, kemudian mendapatkan permit. Tidak betul prosedur ini, kata hati saya. Ejen tersebut tidak tahu saya pernah menjadi pemberita hal-ehwal imigresen zaman Pasukan Petugas Pekerja Asing (PPPA) pada 1990-an.

Pilihan ini pantas saya tolak, walaupun harganya separuh. Bayangkan sesuatu buruk berlaku, misalnya bibik ditahan dan saya dipanggil ke balai. Esoknya terpampang berita `Editor Utusan ditahan kerana melindungi pendatang haram’.

Tidak mengapa, saya rela untuk tidak berani. Lagipun, jika menggunakan khidmat agensi bonafide, bila berlaku sesuatu tidak diingini, kita masih boleh membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa.

Lalu kembali semula sebak, untuk mengumpul dana RM15,000 bukan semudah mengeluarkannya di mesin ATM sebab duit sebesar itu tidak pernah menjelma pada hari gaji. Agensi kata boleh bayar dua kali. Kurang sikit sebak. Tapi mood hendak beraya memang ke laut. Niat hendak beraya ke Kuching, terpaksa dibatalkan.

Bila difikirkan secara analitikal, bagaimanakah yuran pengambilan pembantu rumah boleh mencecah RM15,000 sekarang ini? Nampak jelas tiada siapa hirau. Apakah pihak berwenang merasakan hanya mereka yang kaya-raya sahaja layak mengambil pembantu rumah?

Bagi kelompok `kaya hujung bulan, muflis pertengahan bulan’ seperti saya ini, hendak mencari RM15,000 adalah sesuatu yang amat menghibakan. Ini belum mengira gaji minimum RM900 sebulan kepada bibik yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia. Jika tidak, pegawai kedutaan tidak akan memperbaharui pasport.

Janganlah pantas anda seru agar saya batalkan saja menggaji pembantu rumah. Ini bukan opsyen pintar. Saranan ini tidak berpijak di bumi nyata. Kedua-dua suami isteri perlu keluar mencari nafkah untuk kelangsungan hidup hari ini, apatah lagi tinggal di Selangor yang beg plastik pun kena bayar 20 sen.

Memiliki pembantu rumah sudah menjadi keperluan, terutama bagi keluarga yang masih ada anak yang bersekolah sesi pagi dan petang, iaitu waktu ibu bapa bertugas.

Dalam konteks ini, keengganan pihak berkuasa melakukan apa-apa yang konkrit untuk menurunkan kadar bayaran pengambilan pembantu rumah ke paras di bawah RM10,000 adalah sama sekali bertentangan dengan dasar menggalakkan kaum wanita bekerja.

Tidak betulkah Merrepak saya ini? Berapa ramai keluarga mudah untuk mencari RM15,000 bagi mengambil pembantu rumah? Sudahlah mahal, kontraknya hanya dua tahun. Jika pembantu rumah itu mahu balik, kena cari RM15,000 lagi sekali.

Jadi bagaimana? Kena suruh isteri berhenti kerja? Dalam keadaan ekonomi sekarang dan pelbagai cukai diperkenalkan, apakah cukup dengan gaji suami seorang? Atau kita rela melihat rakan-rakan makin kerap mengusung anak ke pejabat. Ini bertentangan dengan prosedur pejabat. Tetapi siapa hendak menjaga anak di rumah? Pusat jagaan harian? Anak kecil bolehlah. Tetapi anak umur 10 tahun ke atas?

Bab inilah saya tegaskan, dasar prowanita bekerja sedikit karam bila dasar pembantu rumah asing tidak diambil perhatian sewajarnya, sehingga caj RM15,000 menjadi kadar semasa pasaran. Melampau dan amat menyulitkan.

Tidaklah saya berhasrat merosakkan mood Aidilfitri anda hari ini. Pengunjung yang datang ke rumah, mungkin diberikan pinggan polistrin sebab tiada siapa hendak basuh pinggan. Hidangan air semua jenis air kotak, agar tidak perlu kotorkan gelas. Duit raya jangan merungut jika angpau hanya berisi seringgit. Faham-faham sajalah, sudah bankrap bayar RM15,000.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua pembaca setia Merrepak. Maaf zahir dan batin.